Jadikan pengalaman anak yatim piatu di luar negara sebagai pengajaran
Oleh Shuhaimi Shaedon
Kuantan, 28 Jun – Jadikanlah pengalaman anak-anak yatim di luar negara sebagai pengajaran kepada kita semua kerana mereka ini menjadi yatim piatu akibat peperangan yang menyebabkan kematian ibu dan ayah mereka, kata Dr Mohamad Nor Sundari, Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Kuantan.
“Sebagai contoh apa yang berlaku di negara Syria dan Palestin serta negara lain yang berhampiran dengan kita.
“Adik-adik kita di sini masih beruntung lagi kerana dapat tinggal di bangunan yang cantik dan selesa serta masih ada keluarga untuk menumpang kasih,” ucap beliau.
Beliau berkata demikian ketika memberikan ucapan di program Sumbangan dan Iftar ISMA bersama anak-anak Yatim di Rumah Anak Yatim Taman Pengasih Sultan Haji Ahmad Shah (TPSHAH) disini semalam.
Dr Mohamad Nor sempat mengambil peluang untuk menerangkan mengenai latar belakang ISMA dan agensi-agensi dibawahnya seperti Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) serta Kelab Remaja ISMA (KRIM) yang mana ISMA boleh menawarkan pemeriksaan kesihatan percuma dan program-program yang sesuai untuk remaja pada masa akan datang bersama anak-anak yatim ini.
Menurut beliau, ini adalah hasrat ISMA sebagai sebuah pertubuhan sederhana untuk berkongsi dan membantu masyarakat terutama di sekitar Daerah Kuantan.
Beliau juga telah menyampaikan sumbangan kepada 40 orang anak yatim disitu dan berharap supaya dapat memberikan lebih banyak lagi sumbangan pada masa akan datang.
Sementara itu, Pengetuanya, Hajjah Rubiah Haji Sidin berkata, TPSHAH ini dibina atas keprihatinan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dalam usaha membantu anak-anak yang kurang bernasib baik.
Menurutnya, anak-anak yang ditempatkan di situ terdiri daripada anak yatim kurang berkemampuan yang berasal dari daerah Kuantan, Rompin, Jengka, Maran, Pekan dan lain-lain lagi.
“Seramai 14 penghuni lelaki dan 26 perempuan berusia antara 10 hingga 17 tahun ditempatkan di sini dan bilangannya mungkin akan bertambah pada masa akan datang,” jelasnya.
Beliau juga sempat meluahkan perasaan mengenai pandangan masyarakat luar mengenai TPSHAH yang dianggap sebagai rumah yatim kaya kerana berada di bawah seliaan Pejabat Sultan Pahang.
Hal ini kerana, jelas beliau, Pejabat Sultan Pahang hanya menyediakan tempat tinggal dan makanan kepada anak-anak yatim ini tetapi keperluan harian mereka untuk bersekolah dan lain-lain lagi adalah bergantung kepada sumbagan masyarakat.
Oleh itu, beliau berharap agar masyarakat dapat menyedari akan hal ini dan dapat meneruskan untuk memberikan sumbangan ikhlas kepada TPSHAH ini.
Beliau juga mengucapkan rasa penghargaan terima kasih kepada pihak ISMA Kuantan kerana sudi berprogram di TPSHAH dan berharap program ini dapat dijadikan sebagai acara yang berterusan pada masa-masa akan datang.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan