Kanak-kanak mangsa dera tunjuk perkembangan positif

dera-3KOTA BAHARU, Selasa – Kanak-kanak perempuan lima tahun yang cedera serius dipercayai didera, semakin menunjukkan perkembangan positif dari segi tahap kesihatannya.

Ibu saudara kanak-kanak itu berkata anak saudaranya itu yang menjalani pembedahan usus semalam hari ini sudah mula bercakap dengan ibunya.

“Dia dah mula bercakap, dia ada cakap ingin makan dan berjalan-jalan serta ingin berjumpa sepupunya yang lain. Kami ucap terima kasih kepada pihak hospital.

“Dia semakin sihat, cuma kesan daripada pembedahan usus semalam dia tidak boleh makan lagi. Kita doakan dia kembali sihat seperti sedia kala,” kata wanita berumur 32 tahun itu kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini, hari ini.

Katanya anggota keluarga menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa berhubung tindakan terhadap ibu tiri serta bapa kanak-kanak itu yang dipercayai menderanya.

“Anggota keluarga tidak mahu masuk campur, kami serah kepada pihak berkuasa yang lebih arif dengan undang-undang,” katanya.

Kanak-kanak malang itu ditemui ibu kandungnya dalam keadaan wajahnya cengkung manakala seluruh badannya didapati lebam dan dipenuhi parut, sementara kepalanya pula didapati luka manakala belakangnya dalam keadaan membongkok dipercayai akibat patah tulang belakang, rusuk serta paha.

Kanak-kanak itu kini ditempatkan di HRPZII untuk rawatan dan berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Bapa kandung dan ibu tiri kanak-kanak berusia 39 dan 25 tahun yang menjaga kanak-kanak itu sebelum ini telah ditahan reman oleh polis selama empat hari bermula semalam untuk siasatan lanjut. – BERNAMA

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?