Menghayati hakikat tarbiyah di bulan Ramadhan
Ramadhan mengingatkan saya akan nukilan pengalaman peribadi Lauren Booth, adik ipar kepada Tony Blair ketika di Gaza pada tahun 2008 sebelum beliau memeluk Islam dua tahun kemudiannya. Beliau dan 46 rakan-rakan aktivis “Selamatkan Gaza” terperangkap di Gaza pada tahun 2008 dan melihat sendiri kesengsaraan umat Islam di Gaza. Pada masa tersebut, beliau sempat menziarahi sebuah keluarga di Rafah di penghujung bulan Ramadhan. Beliau merasa tersentuh dalam suasana kedaifan tersebut wanita Gaza itu masih mampu mengukir senyuman ikhlas menerima seorang tetamu yang tidak diundang.
Lauren bertanya kepada wanita Gaza tersebut, “bagaimanakah suasana berpuasa Ramadhan di Rafah di dalam keadaan serba kekurangan ini?”. Mungkin Lauren menjangkakan wanita tersebut akan memberikan jawapan bahawa kami tidak langsung berpuasa kerana Allah memberikan keringanan untuk kami dalam suasana sebegini namun jawapan sebenar yang diberikan wanita tersebut memeranjatkan Lauren. Wanita tersebut dengan spontan menjawab, “Alhamdulillah, segala puji bagi Allah!” tanpa kelihatan sedikitpun perasaan putus asa mahupun kekecewaan terhadap tuhan.
Lauren hairan, bagaimana dengan hanya berbekalkan sedikit hummus dan beberapa keping roti, mereka masih memilih untuk berpuasa kerana Allah? Beliau hairan, bagaimana dengan kehidupan yang serba kekurangan tersebut wanita itu masih mahu memuji tuhannya, Allah swt? Lauren marah dengan jawapan wanita Gaza tersebut yang seakan-akan tidak masuk akal. Ini kerana Lauren tidak dapat menerima hakikat penduduk Gaza yang sentiasa hidup dalam kekurangan masih memilih mahu menambahkan kesusahan diri dengan melaksanakan ibadat puasa. Bagaimanakah penduduk yang dizalimi, ditindas dan dipulau dengan kejam oleh rejim zionis Israel ini masih mahu mengikut syariat Allah dan sanggup berlapar untuk menunaikan fardhu puasa?
Lauren lalu berkata, “izinkan saya bertanya, mengapakah tuhan kamu masih mewajibkan kepada kamu berpuasa di Ramadhan? Mengapa kamu memilih untuk berpuasa…bolehkah kamu terangkan kepada aku?”. Wanita Gaza tersebut dengan tulus dan ringkas menjawab, “kami berpuasa untuk mengingati orang yang miskin”.
Saat itulah hati Lauren tersentuh. Wanita dan keluarga yang yang hidup serba daif ini yang sudah pasti tidak mempunyai sebarang beg tangan berjenama, apatah lagi peluang hidup bermewahan hatta kasut yang selesa, malah sebatang pensil atau kertas melukis untuk anak-anaknya masih mahu memikirkan orang yang lebih susah dari beliau dan pentingnya menjaga syariat Allah swt. Malah, keluarga Gaza ini masih sanggup berkongsi makanan yang serba sedikit bersama tetamu luar. Tanpa disangka, jawapan ikhlas dari wanita Gaza tersebut membuka pintu hati Lauren untuk lebih mempelajari tentang Islam dan akhirnya beliau sendiri memeluk agama suci ini pada tahun 2010.
Itulah sebenarnya keistimewaan tarbiyah jiwa di bulan Ramadhan. Bulan ini mengajar kita menginsafi makna kehidupan dan menanamkan perasaan empati terhadap mereka yang hidup lebih susah dari kita. Bulan ini mengajar, serumit apapun cabaran hidup yang kita lalui, yakinlah ada manusia yang hidup lebih daif dari kita.
Bulan ini juga mengajar agar kita sentiasa hidup dalam kesederhanaan, mengelakkan pembaziran dan kehidupan bermewahan yang melampaui batas. Bulan ini membuka kepada kita akan hakikat hidup sebagai suatu perjuangan dan kepentingan bersikap tabah dalam apa jua keadaan. Bulan ini mendidik kita meletakkan segala pengharapan kepada Allah swt, Tuhan yang Maha Esa dan yang selayaknya disembah. Bulan ini menuntut umat Islam agar merenung hakikat hidup yang sebenar sebagai hamba abdi kepada Allah. Bulan ini melatih kita agar memahami makna bersikap belas ihsan sesama umat manusia dan erti kemanusiaan yang hakiki.
Itulah hakikat tarbiyah di bulan Ramadhan, bulan rahmah dan bulan pelepasan dari azab neraka. Puasa yang dilakukan secara ikhlas berdasarkan sunnah Rasulullah saw akan “mengosongkan” buat sementara waktu tuntutan fizikal kita daripada makanan yang mengenyangkan dan rohani kita daripada perkara yang melalaikan, lalu mewujudkan satu ruang kosong di dalam jiwa kita untuk diisi dengan perasaan tawadhu’, rendah diri dan kehambaan kepada Allah swt. Hanya apabila kita mengosongkan diri kita daripada sebarang keegoan nafsu, maka kita mampu mengisi dan melatih jiwa ini agar kembali kepada Allah, satu-satunya tuhan yang layak disembah.
Selamat menyambut bulan Ramadhan. Selamat beramal di bulan yang mulia ini. Semoga Allah swt menerima segala amal soleh kita dan moga-moga puasa kita pada tahun ini menjadikan kita lebih bertakwa.
“Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu kefardhuan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas umat-umat sebelum kamu, mudah-mudahan kamu lebih bertakwa.” Surah Al-Baqarah: 183
Ramadhan Kareem.
Abu Ameen
Biro Dakwah
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Ulasan
Catat Ulasan