Muhasabah buat pejuang ‘Rahmat untuk Semua’

Keputusan mahkamah yang memihak kepada golongan LGBT disambut dengan penuh gembira.

Keputusan mahkamah Amerika yang memihak kepada golongan LGBT disambut dengan penuh gembira.

BARU-baru ini, saudara Wan Salman Wan Sallam, seorang aktivis Pertubuhan IKRAM Malaysia yang memperjuangkan konsep Negara Rahmah, telah menulis sebuah artikel yang merupakan sebuah ‘muhasabah’ buat pelobi anti-LGBT (http://ift.tt/1IF8zDE).

Pertama sekali, ingin saya mengucapkan tahniah kepada beliau atas ketekunan beliau mengajak orang ramai untuk bermuhasabah.

Saya bersetuju bahawa keputusan yang melalui garisan undang-undang sesebuah negara haruslah dipatuhi. Selaku seorang yang telah tinggal di Amerika Syarikat selama lebih kurang empat tahun, saya telah menyaksikan bagaimana kaum Muslim di sana sememangnya tidak ada pilihan selain daripada akur dengan ketetapan undang-undang.

Adapun begitu saya berasa gembira melihat rakan-rakan saya di AS teguh dengan prinsip mereka dan mereka saling mengingatkan rakan-rakan lain untuk berpegang kepada Al-Quran dan As-Sunnah dalam menghadapi peristiwa “kemenangan” bagi golongan LGBT ini.

BACA: Iktiraf perkahwinan sejenis: Amerika lebih teruk daripada binatang

Maka dengan itu ingin jugalah saya katakan bahawa seruan mematuhi garisan undang-undang ini haruslah bergema di Malaysia juga. Sebagaimana yang kita tahu, undang-undang tidak mungkin dapat memuaskan keinginan semua pihak.

Maka, selayaknya mereka yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah terhadap isu kalimah Allah juga akur sebagaimana orang Islam di AS terpaksa akur walaupun mereka tidak bersetuju.

Sepertimana keputusan mahkamah tinggi adalah sah, begitu juga keputusan mahkamah di Malaysia adalah sah kerana ianya telah melalui satu proses perundangan yang panjang dan tertib, menjunjung tinggi Perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan.

Harapnya saudara Wan Salman dapat mengajukan teguran ini kepada kumpulan-kumpulan tersebut juga supaya lebih adil dalam seruan saudara dan tidak hanya menghentam golongan pro-Islam dan melupakan pula golongan pelampau di barisan yang menentang keputusan tersebut sehingga ke hari ini.

Saya amat kesal dengan kenyataan saudara Wan Salman, selaku aktivis IKRAM kerana menyebut bahawa golongan pro-LGBT berhikmah dalam perjuangan mereka. Kenyataan ini adalah satu andaian yang tidak berasaskan ilmu dan kajian.

BACA: Pihak iktiraf kahwin sejenis ‘rosak otak’, kata pendakwah

Saya juga ingin perbetulkan beberapa kesilapan yang dibawa oleh saudara Wan Salman dalam keghairahan beliau membawa Rahmat buat semua melalui dakwah yang harmoni. Saya harap walaupun saudara sempat menyelit sedikit ayat kritikan terhadap Isma, Isma masih lagi tidak terkeluar daripada golongan yang perlu didekati dengan harmoni dan berhikmah oleh anda.

Beberapa isi penting untuk perhatian saudara Wan Salman.

1. Gerakan pro-LGBT penuh berhikmah?

Jika anda berpeluang untuk pergi ke Manhattan, anda bolehlah mengajak saya untuk pergi melawat ke sebuah bandar bernama Greenwich Village. Di situlah bermulanya satu siri demonstrasi ganas yang dinamakan Stonewall Riots.

Apakah Stonewall Riots, anda tanya? Stonewall Riots berlaku di sebuah bangunan bernama Stonewall Inn yang merupakan sebuah bar homoseksual yang dibina oleh kumpulan Mafia melalui rasuah kepada pihak polis.

Protes berlaku apabila premis diserbu oleh pihak polis dan akhirnya golongan pro-LGBT yang dikatakan berhikmah ini menterbalikkan kereta-kereta polis, mencampakkan tin-tin minuman, botol-botol kaca dan memecahkan tingkap memulakan sebuah pemberontakan yang berlangsung selama tiga hari.

Adapun kita harus akui bahawa pihak polis tidak terkecuali daripada menyumbang kepada pemberontakan tersebut, ia bukanlah alasan dan kita harus akui tindakan pro-LGBT tetap tidak mengikut saluran yang betul dan jauh daripada berhikmah seperti yang dicanangkan oleh saudara Wan Salman.

2. Penyakit yang sembuh kerana demokrasi.

Negara demokrasi yang disebut oleh Wan Salman itu sememangnya sebuah negara yang menjunjung keluhuran perlembagaan mereka. Saya harap begitu jugalah di Malaysia, sebuah negara yang mengiktiraf Islam sebagai agama persekutuan.

Demokrasi yang AS amalkan bukan sahaja terhenti di peringkat perundangan, tetapi masuk sehingga ke sudut perubatan sekalipun. Yang saya maksudkan ialah bagaimana penyakit LGBT boleh sembuh dalam tempoh satu malam apabila American Psychological Association (APA) mengambil undi untuk membuang penyakit LGBT tersebut daripada senarai penyakit mental pada tahun 1973.

Tanpa sebarang kajian atau penemuan baru yang mengesahkan LGBT bukan lagi satu penyakit mental, APA mengambil keputusan “demokratik” untuk menyelamatkan mereka daripada ditekan oleh pendemonstran Pro-LGBT.

Manakan tidak tertekan, golongan pro-LGBT secara terus menerus berdemonstrasi di hadapan konvensyen APA. Sebagai seorang pelajar sebuah universiti yang mengangkat sains dan Islam, seharusnya anda tidak bersetuju dengan tindakan ini. Masih berhikmah?

3. Solusi menang-menang untuk semua.

Mungkin yang dimaksudkan oleh aktivis IKRAM, saudara Wan Salman berkenaan rahmat ialah dengan mewujudkan solusi menang-menang untuk semua.

Ketahuilah bahawa solusi menang-menang tidak akan wujud selagi manusia dipandukan oleh hawa nafsu mereka. Hari ini mungkin solusi menang-menang yang dimaksudkan saudara ialah menangnya golongan LGBT.

Mungkin esok, solusi menang-menang pula ialah apabila aktivis gerakan “FreeTheNipple” pula yang merasai menang-menang apabila wanita pula dibenarkan untuk tidak memakai baju di khalayak ramai.

Mungkin kerana “menang-menang” itu lebih mudah dan selesa dengan hawa nafsu dan keinginan orang ramai, maka anda lebih kerap menjauhkan diri daripada hidup dengan prinsip yang teguh.

4. Gerakan Islam perlu berprinsip.

Saya tidak ingin tulisan ini menjadi jawab balas kepada aktivis IKRAM, saudara Wan Salman semata-mata, maka saya selitkan sebuah nasihat bagi saudara dan perjuangan saudara.

Hiduplah dengan berprinsip. Gerakan Islam haruslah memahami peranan mereka dalam masyarakat. Dalam sesebuah masyarakat, setiap NGO memainkan peranan mewakili suara fikrah mereka, bukan fikrah orang lain.

Maka seharusnya, NGO Islam menjadi suara kepada agama Islam. NGO Islam tidak seharusnya senyap-sunyi, diam seribu bahasa apabila Teresa Kok mempertikaikan kod etika pakaian yang menggariskan ciri-ciri adab yang menjadi identiti negara ini, tetapi bising pula apabila golongan pro-LGBT “menang” di sebuah negara yang beribu kilometer jauhnya.

NGO Islam haruslah memuji usaha NGO-NGO lain yang mengikut saluran perundangan membantah kalimah Allah dan menghantar wakil ke PBB untuk menolak COMANGO, bukannya mengagungkan gerakan pro-LGBT dengan mengatakan mereka lebih berhikmah.

Jika yang dilakukan oleh anda itu yang dimaksudkan dengan dakwah Islam yang harmoni serta membawa Rahmat buat semua, nescaya saya menegur anda sebagai seorang saudara Muslim, bahawa saya tidak pasti anda faham apa maksud dakwah Islam, dan apa pula maksud rahmat.

Mungkin yang anda maksudkan sebagai dakwah ialah langkah-langkah untuk memenangi pilihan raya, dan rahmat pula ialah apabila semua orang rasa gembira kerana tuntutan nafsu mereka dituruti.

Oleh itu, daripada anda meraung tidak tentu hala, lebih baik anda memikirkan langkah seterusnya agar golongan LGBT ini dapat didakwahkan untuk menerima hukum Islam yang sepatutnya diyakini oleh pendokong gerakan Islam sebagai solusi bagi permasalahan yang ada di dunia kini.

Ini adalah tulisan kedua saya memperbetulkan kesilapan Wan Salman. Saya harap tidak perlu artikel susulan ketiga pula.

Yusri Jamaluddin

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam sederhana mahupun Ismaweb.net.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?