Ramadhan Outreach Seremban : Ajar erti pengorbanan sebenar
SEREMBAN, 29 Jun – 56 warga penghuni Pusat Penjagaan Anak Yatim dan Miskin Murad Foundation diraikan dalam satu program khidmat bersama masyarakat dan kebajikan yang diberi nama Ramadhan Outreach anjuran Kelab Remaja ISMA Malaysia ( KRIM) cawangan Seremban baru-baru.
Puan Hazlin binti Baharom, Timbalan Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Murad Foundation berkata, dia mengucapkan jutaan terima kasih kepada KRIM kerana telah sudi untuk menganjurkan program dan aktiviti-aktiviti yang menarik bersama anak-anak yatim di sini.
“Saya bersyukur dan ingin mengucapkan ucapan terima kasih dari pihak kami kepada sukarelawan-sukarelawan KRIM kerana dapat meluangkan masa dan menggembirakan hati anak-anak kami di sini,” katanya yang ditemui sejurus selepas program.
Antara aktiviti menarik yang dijalankan adalah pertandingan mewarna, permainan, kuiz Ramadhan dan lain-lain.
Pengarah KRIM cawangan Seremban, Cikgu Al-Hafiz bin Salleh pula berkata Program Ramadhan Outreach ini telah mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan remaja dan berharap agar lebih ramai remaja di luar sana melibatkan diri dalam kegiatan bersama masyarakat seperti ini.
“Sesungguhnya program ini adalah bertujuan mengajak para belia mensyukuri nikmat kurniaan Allah swt dan menginsafi diri bahawa ada golongan di luar sana yang mendapat ujian yang lebih besar,” ujarnya.
Hafiz juga berharap dengan adanya program sebegini para remaja dapat memahami erti sebenar pengorbanan puasa itu sendiri.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan