Ramadhan peluang terbaik mendidik anak mencintai sunnah nabi



Anak-anak lahir sebagai penyeri rumahtangga dan penyejuk mata bagi kedua ibubapa yang membesarkan mereka. Ragam yang pelbagai sudah semestinya mendidik ibubapa mereka untuk sentiasa sabar dan tenang dalam menjalani kehidupan bersama. Fitrah anak-anak bukan untuk dimarahi tapi untuk ditarbiyah agar selari dengan syarak.

Sudah hampir dua minggu Ramadhan menyinari kehidupan kita. Ramai yang bertukar pola kehidupan dengan menjadi ahli ibadah yang tenang dengan amalan-amalan sunnah. Jika sebelum ini amat sukar sekali untuk menghabiskan satu juzuk dalam sehari, sekarang tidak lagi. Percakapan pun sudah semakin santun jauh daripada kemarahan yang melampau. Kini, tilawah al-Quran, zikir dan solat sunat sudah menjadi suatu kebiasaan. Alangkah indahnya, jika aktiviti yang sama digalakkan juga kepada anak-anak kita untuk turut sama melakukannya bukan? Rumah kita bakal meriah dengan naungan cahaya sunnah.

NABI KITA PUN MAKAN KURMA!

Kurma merupakan makanan sunnah yang terhebat dalam dunia! Kurma disunatkan untuk dimakan ketika sahur mahupun berbuka. Sumber tenaga yang tinggi dan kaya dengan kalium, magnesium, zat besi, gula dan serat ini lengkap secara nutrisinya. Selain itu, kurma juga disebut sebanyak 21 kali dalam al-Quran. Ibubapa bukan sahaja boleh menyampaikan maklumat kepada anak-anak tentang betapa hebatnya kurma ini, bahkan jangan dilupakan untuk khabarkan kepada mereka bahawa Rasulullah s.a.w yang dirindui juga makan kurma semasa berpuasa. Ibu kepada Nabi Isa juga makan kurma semasa bertarung nyawa melahirkan baginda!

Maksudnya: “Dan goyangkanlah pangkal pohon kurma itu ke arahmu, nescaya pohon itu akan menggugurkan buah kurma yang masak kepadamu.”

Surah Maryam (19): 25

Bagaimana Baginda boleh bertahan seharian hanya dengan minum air zamzam dan kurma semasa bersahur akan memberikan rasa kagum anak-anak terhadap makanan sunnah ini. Akan terbit rasa syukur dengan nikmat makanan yang mereka ada dan akan lebih berhati-hati daripada membazir.

SOLAT BERJEMAAH DI MASJID

Aktiviti berlari-lari dan membuat bising dalam masjid ataupun surau menjadi suatu kemestian jika ada dua orang atau lebih kanak-kanak di dalamnya. Fitrah anak-anak suka berlari dan bermain. Inilah juga antara alasan utama yang menyebabkan para ibubapa untuk tidak mengajak anak-anak turut sama ke masjid untuk solat berjemaah bersama masyarakat kampung atau taman perumahan.

Jika kita tidak mendidik mereka semenjak kecil ini selagi mereka masih ‘lembut’ untuk dibentuk, bilakah lagi masa yang sesuai untuk mendidik mereka untuk ke rumah Allah. Apabila sudah menjadi belia remaja, mereka sudah sukar untuk dibentuk dan disuruh. Sudah besar katanya dan boleh membuat keputusan sendiri untuk menentukan mana salah betulnya. Alangkah ruginya kita sebagai ibubapa tatkala itu.

Gunakanlah masa bersama mereka dengan baik seperti ketika moreh bersama untuk mendidik mereka soal bersolat jemaah dan surau. Ketika moreh anak-anak sedang bergembira menikmati manisan dan hatinya sedang berehat. Jika kita menyiramnya dengan didikan santai dengan izin Allah swt akan terserap ke hati kecil mereka. Kisahkan kepada mereka kelebihan solat sunat terawih dan malam al-Qadr. Sentiasa basahkan kelebihan-kelebihan jika mereka mempraktikkan amalan-amalan sunnah kerana mereka akan terdorong dengan sendiri untuk melakukannya tanpa disuruh. Contohnya bersikap sopan ketika di surau dan bersalaman dengan orang yang lebih berusia. Sentiasa memberi contoh dan bukan larangan yang menakutkan kerana kanak-kanak biasanya ‘tidak makan’ dengan perkataan “jangan”. Lagi dilarang lagilah dibuatnya. Penceritaan tentang kelebihan-kelebihan amalan akan memberi motivasi buat anak-anak untuk beramal!

IBUBAPA PENCETUS ANAK-ANAK BERAKHLAK NABI

Kain corak batik yang cantik dan ekslusif hanya akan terhasil daripada tangan yang hebat dalam mencanting. Pencanting yang teliti dan kreatif dapat menghasilkan batik yang unik dan bermutu tinggi. Begitu jugalah anak-anak pewaris barisan pimpinan pada masa akan datang. Bakal pemimpin yang hebat dan berakhlak hanya akan lahir daripada didikan yang sempurna oleh ibubapa mereka daripada segala segi serta kreatif dalam menggunakan metod pendidikan. Belum terlambat untuk kita merancang perjalanan masa hadapan anak-anak kita. Ibubapa yang hebat mampu membentuk dan mendidik peribadi anak-anak berakhlak kesayangan nabi pada bulan barakah ini. Semoga Ramadhan kali ini akan menjadi titik perubahan ibubapa sekalian dalam proses pentarbiyahan anak-anak.

Wallahua’lam.

Nur Farhana binti Zali
Aktivis NAZIM cawangan Kuala Terengganu

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?