Ringgit jatuh paras terendah hari ini dalam 10 tahun
KUALA LUMPUR, Isnin – Ringgit jatuh ke paras terendah bagi tempoh 10 tahun hari ini dalam dagangan berhati-hati susulan kebimbangan isu hutang Greece, kata peniaga.
Pada jam 5 petang, nota tempatan itu diniagakan pada 3.7825/7855 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), daripada 3.7660/7690 pada Jumaat.
Kebimbangan akan kemungkinan Fitch Ratings menurunkan penarafan Malaysia turut mempengaruhi mata wang tempatan.
Seorang peniaga berkata, dolar AS meneruskan momentum aliran menaik dengan perbelanjaan pengguna AS bagi Mei mencatat peningkatan tertinggi dalam tempoh hampir enam tahun dan ini disokong oleh unjuran kenaikan kadar faedah AS dalam tahun ini juga.
Nota tempatan turut ditutup rendah berbanding mata wang utama lain kecuali euro.
Ia jatuh berbanding dolar Singapura kepada 2.8004/8045 daripada 2.7996/7020 pada Jumaat lepas dan merosot berbanding yen kepada 3.0762/0799 daripada 3.0516/0543.
Ringgit lemah berbanding pound British pada 5.9400/9459 daripada 5.9318/9369, namun mengukuh berbanding euro kepada 4.2016/2061 daripada 4.2194/2235 Jumaat lalu. – Bernama
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan