Suara dari Palestin (Siri 3)
EKSKLUSIF – Pada pandangan zahir, Israel nampak hebat sehingga menjadi kiblat kepada negara-negara Barat termasuk Amerika Syarikat.
Namun hakikatnya, bangsa Yahudi Zionis di negara itu sebenarnya ‘penakut’ dan hanya berselindung di sebalik kecanggihan persenjataan yang dimiliki tentera mereka.
Fakta itu didedahkan Ahmad Ma’zouz Muhammad Al-Haj Ali, 34, seorang Imam dari Palestin yang kini berada di Malaysia dalam misi mengumpul dana bersama NGO Aman Palestin.
Ahmad Ma’zouz berkata, keadaan itu berbeza dengan rakyat dan pejuang Palestin, walaupun tidak mempunyai senjata canggih, namun memiliki jiwa dan keberanian yang kuat untuk melawan tentera penjajah.
“Jiwa mereka (Yahudi) kosong. Mereka tidak seberani seperti yang digambarkan di media yang dikuasai mereka. Hakikatnya, mereka takut bila berdepan dengan semangat juang pejuang dan rakyat Palestin.
“Kami pula kuat kerana di pihak mempertahan tanah air kami sendiri, sedangkan mereka hanya penjajah,” katanya kepada ISMAweb.
Ketika regim Zionis melancarkan serangan ke atas Gaza, Ramadan tahun lalu, ratusan askar mereka menarik diri dan berhenti serta-merta kerana takut untuk berhadapan pejuang Hamas.
Lebih teruk daripada itu, ramai juga di kalangan askar regim, mengambil keputusan membunuh diri kerana tidak sanggup diserang hendap pasukan Briged al-Qassam yang disifatkan seperti ‘hantu’.
Itu tidak termasuk lagi, ratusan askar mereka yang trauma dan ‘gila’ sehingga Israel menamatkan selepas 51 hari melancarkannya.
Ahmad Ma’zouz (tengah) menyerahkan cenderamata mewakili Aman Palestin kepada pihak pengurusan Surau Al-Ikhlas, Kota Seriemas Nilai.
Dibelenggu hadis Nabi
Mengulas lanjut, Ahmad Ma’zouz berkata, Yahudi juga dibelenggu ketakutan ekoran janji Allah bahawa kaum mereka akan dihancurkan suatu masa nanti.
“Malah mereka juga percaya pada hadis Rasullah bahawa sebelum kiamat, kaum Muslimin akan memerangi Yahudi dan membunuh mereka sekalipun lari bersembunyi di sebalik batu dan pokok, kecuali pokok “Gharqad’.
“Sebab itu, mereka kini menanam pokok Gharqad banyak-banyak, kononnya pokok ini akan menyelamatkan mereka nanti,” katanya.
Bapa kepada tiga orang anak itu berkata, sebenarnya tiada istilah “Yahudi baik” di Palestin seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Sebaliknya, majoriti Yahudi yang menetap di Palestin adalah bangsa penjajah yang bersekongkol dengan tentera Zionis.
“Mereka sebenarnya menjadi tali barut Zionis. Bekerjasama dengan Zionis untuk membantai umat Islam dan menjajah Palestin.
“Mereka suka melihat rakyat Palestin dizalimi dan dibunuh,” katanya.
Ahmad Ma’zouz berada di Malaysia sehingga 26 Ramadan ini, menjadi imam tarawih di masjid dan surau di seluruh negara yang disusun oleh pertubuhan Aman Palestin.
Beliau adalah antara 30 orang imam dari Palestin yang dibawa NGO itu dalam misi mengumpul dana bagi membantu saudara Islam di sana sepanjang Ramadan ini.
ARTIKEL BERKAITAN:
Suara dari Palestin (Siri 1)
Suara dari Palestin (Siri 2)
Ulasan
Catat Ulasan