Tubuh suruhanjaya khas bendung peningkatan gejala sosial
BANGI, Selasa – Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) hari ini menyarankan kepada pihak kerajaan untuk menubuhkan sebuah suruhanjaya khas untuk mengkaji peningkatan gejala sosial yang semakin membimbangkan.
Hasil daripada kajian tersebut adalah penting bagi kerajaan untuk mengambil tindakan yang betul untuk menyelesaikan masalah yang berlaku dan tidak hanya menyelesaikan simtom masalah.
Menjelaskan cadangan itu, Presidennya, Ustaz Ibrahim Mohd Hasan Al-Hafiz berkata, kerajaan tidak boleh bersikap serkap jarang dan memandang ringan gejala ini dengan menunding jadi kepada pihak lain seperti restoran 24 jam.
“Kalau nak bendung masalah sosial bukan kedai mamak tetapi kelab-kelab malam, pusat hiburan, sekat konsert artis luar negara dan laman porno di internet. Itu semua yang perlu dikawal dan dipantau,” katanya kepada Ismaweb.
Beliau berkata demikian mengulas apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, baru-baru ini dilaporkan mencadangkan restoran dan kedai makan tidak dibenarkan beroperasi sehingga lewat tengah malam kerana dianggap sebagai punca peningkatan gejala sosial dalam kalangan generasi muda.
BACA: Tangani punca masalah sosial belia lebih mendasar, holistik – Pemuda Isma
Ujar Ustaz Ibrahim, hakikatnya belia begitu mudah untuk mengakses laman-laman pornografi tanpa sekatan yang menyeluruh.
“Selain itu, kerajaan perlu meneliti sesetengah filem dan rancangan TV yang menampilkan pelakon berpakaian seksi serta adegan intim pasangan suami isteri.
“Begitu juga dengan pub, pusat hiburan dan rumah urut yang masih bebas beroperasi sehingga lewat malam.
“Ini semua perlu dipertimbangkan oleh pihak kerajaan dan diambil kira dalam indeks maqasid Syariah yang diwar-warkan sebelum ini,” jelasnya.
Tambah beliau, kerajaan juga perlu menilai semula polisi penganjuran konsert hiburan terutamanya yang melibatkan artis luar negara kerana ia melibatkan pergaulan bebas dan dalam sesetengah konsert melibatkan penggunaan arak dan dadah.
“Penemuan kondom dan botol arak yang bersepah selepas konsert sambutan tahun baru antara indikator bahawa konsert menyumbang kepada gejala sosial.
“Ini kerana belia dan remaja adalah aset besar kepada negara. Jika kita ingin melihat masa depan sesebuah negara maka lihatlah pada belia masa kini,” katanya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan