Canselor Jerman buat gadis Palestin menangis dikritik
BERLIN, Khamis – Seorang gadis Palestin, Reem Sahwil, 14 tahun yang tinggal di timur laut Jerman, mendapat perhatian media dunia apabila Canselor Jerman, Angela Merkel telah membuatnya menangis dalam satu rancangan televisyen.
Sahwil menangis apabila Merkel memberitahunya bahawa dia tidak boleh selamanya menjadi pelarian di Jerman.
Kenyataan Canselor Jerman itu dalam satu rancangan televisyen yang turut dihadiri Sahwil yang menyebut bahawa tidak semua warga Palestin yang menjadi pelarian di Jerman boleh tinggal di negara itu, menyebabkan ramai yang mengkritik beliau.
Merkel dikritik selepas menjawab soalan dengan cara demikian menyebabkan gadis Palestin yang bertutur dengan fasih dalam bahasa Jerman itu menangis.
Sahwil sebelum itu memberitahu Merkel bahawa dia tidak tahu mengenai masa depannya selagi dia menjadi pelarian di Jerman, sedangkan dia mahu meneruskan pelajaran.
“Tidak semua yang boleh datang dan ada yang akan dipindahkan dari Jerman”. Jawapan Merkel itu membuatkan Sahwil menangis hingga cuba ditenteramkan oleh Merkel.
Selepas kejadian itu, Merkel telah dikritik hebat di media social dan video berkenaan kini telah menjadi viral.
Ditanya seorang wartawan dalam program berkenaan “apakah Palestin?”, Sahwil menjawab:
“Harapan saya adalah pada suatu hari nanti (Israel) tidak lagi wujud dan hanya ada Palestin di sana”.
“Tanah itu tidak lagi digelar Israel, tetapi Palestin.
Apabila wartawan itu bertanya lagi “adakah awak tahu Israel dan Jerman mempunyai sejarah yang istimewa” beliau menjawab:
“Ya, di sini ada kebebasan bersuara, saya dibenarkan untuk berkata begitu dan saya bersedia untuk berbincang mengenai segala-galanya.”
Ketika ditanya adakah Jerman tempat asalnya, Sahwil yang dilahirkan di sebuah kem pelarian Lebanon berkata:
“Tidak, rumah saya di Palestin dan saya akan tinggal di sana suatu hari nanti”.
Sahwil yang telah menetap di Jerman selama lima tahun merupakan seorang yang fasih berbahasa Jerman dan kini membantu pelarian atau pendatang yang menghadapi masalah bahasa di negara itu. – Agensi
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan