Fiqh Hari Raya

Di sini saya kongsikan beberapa fiqh berkaitan hari raya. Semoga bermanfaat insyaAllah.

1. Hukum Solat Jumaat jika Hari Raya jatuh pada hari Jumaat.

Barangsiapa yang telah menghadiri Solat Sunat Aidil Fitri maka hukum solat jumaat baginya adalah harus berdasarkan satu Hadis :

فعن زيد بن أرقم قال: صلى النبي صلى الله عليه وسلم ثم رخص في الجمعة فقال: (من شاء أن يصلي فليصل) رواه الخمسة وصححه ابن خزيمة والحاكم.

Ertinya : Daripada Zaid bin Arqam, Rasulullah SAW menunaikan solat Sunat hari raya dan memberi rukhsah bagi solat Jumaat dan Baginda Bersabda : Barangsiapa yang ingin menunaikannya maka hendaklah ia berbuat demikian. Riwayat oleh Imam Kitab Sunan Hadis 5 ( al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, Annasaie, Tarmizi) dan di tashihkan oleh Ibnu Khuzaimah dan juga al-Hakim.

Tetapi bagi pihak Masjid hendaklah merencanakan seperti biasa solat Jumaat. Rukhsah bagi kaum Muslimin yang lain sama ada untuk hadir ataupun tidak. Wallahuallam.

2. Solat Sunat hari Raya di syariatkan pada tahun pertama Hijrah Baginda SAW di Madinah al-Munawwarah.

3. Disunatkan mandi, memakai wangi wangian, dan memakai pakain yang paling cantik.

وعن الحسن السبط قال: أمرنا رسول الله صلى الله عليه وسلم في العيدين أن نلبس أجود ما نجد وأن نتطيب بأجود ما نجد وأن نضحي بأثمن ما نجد. الحديث رواه الحاكم وفيه إسحاق ابن برزخ، ضعفه الازدي ووثقه ابن حبان.

Daripada al-Hasan berkata : Rasulullah SAW menyuruh kami pada hari Raya memakai pakain yang paling baik, memakai wangian yang paling wangi, menyembelih binatang yang paling baik (ketika raya Aidil Adha)

Hadis riwayat al-Hakim. Dalam riwayat terdapat Ishaq bin Barzakh yang telah di tadhifkan oleh al-Azdi namun Ibnu Hibban mentausiqkannya.

4. Disunatkan Makan sebelum pergi menunaikan Solat Sunat Aidil Fitri. Dan disunatkan memakan buah tamar dengan bilangan witir (ganjil).

قال أنس: كان النبي صلى الله عليه وسلم لا يغدو يوم الفطر حتى يأكل تمرات ويأكلهن وترا رواه أحمد والبخاري.

Berkata Anas : Sesungguhnya Rasulullah SAW tidak akan keluar pagi pada hari raya Aidil Fitri sehinggalah Baginda memakan beberapa biji buah tamar. Dan Baginda memakannya dengan bilangan Witir (ganjil). Riwayat Imam Ahmad dan Imam Bukhari

5. Disunatkan keluar beramai sama ada wanita, kanak-kanak, dewasa dan remaja. Bagi wanita yang Haid juga disunatkan keluar tetapi tidak berada dalam kawasan Solat.

وعن ابن عباس أن رسول الله صلى الله عليه وسلم كان يخرج نساءه وبناته في العيدين. رواه ابن ماجه والبيهقي.

Hadis Daripada Ibnu Abbas RA bahawasanya Rasulullah SAW mengarahkan supaya semua Isteri-Isteri Baginda dan anak perempuan Baginda keluar pada Hari Raya. Hadis riwayat Ibnu Majah dan Baihaqi.

6. Disunatkan pergi dan pulang menunaikan Solat Sunat Hari Raya dengan jalan yang berlainan.

فعن جابر رضي الله عنه قال: كان النبي صلى الله عليه وسلم إذا كان يوم عيد خالف الطريق. رواه البخاري.

Daripada Jabir RA berkata : bahawasanya Rasulullah SAW ketika Hari Raya akan berlainan perjalanan pergi dan pulang.

7. Waktu Solat Sunat Hari Raya Aidil Fitri :

Waktunya adalah ketika matahari telah menjangkaui 3 meter di langit sehinggalah matahari tegak di langit.

أخرج أحمد بن الحسن البناء من حديث جندب قال: كان النبي صلى الله عليه وسلم يصلي بنا الفطر والشمس على قيد رمحين والاضحى على قيد رمح.
قال الشوكاني، في هذا الحديث: إنه أحسن ما ورد من الابحاث في تعيين وقت صلاة العيدين.

Ertinya: Telah dikeluarkan daripada Ahmad bin al-Hasan al-banna daripada Hadis Jundub telah berkata : Sesungguhnya Rasulullah SAW menunaikan Solat Sunat Aidil Fitri dan Matahari terpacak di langit dengan ukuran 2 anak panah (ukurannya 3 meter), dan pada Solat Sunat Aidil Adha satu anak panah.

Assyaukani berkata tentang Hadis ini, sesungguhnya Hadis ini merupakan paling terbaik dalam menentukan waktu solat Sunat Hari Raya.

8. Tidak perlu Azan dan Iqamat ketika ingin Solat Sunat Hari Raya.

وعن ابن عباس وجابر قالا: لم يكن يؤذن يوم الفطر ولا يوم الاضحى. متفق عليه.

Daripada Ibnu Abbas dan Jabir RA telah berkata : bahawasanya tidak di azan hari raya Aidil Fitri dan Aidil Adha. Muttfaqun alaih.

9. Bilangan Takbir dalam Solat Sunat Hari Raya. Rakaat pertama 7 kali selepas takbiratul Ihram. Rakaat kedua 5 kali selepas takbir Intiqaliah (bangun dari sujud pada rakaat pertama)

وفي رواية أبي داود والدارقطني قال: قال النبي صلى الله عليه وسلم: (التكبير في الفطر سبع في الاولى وخمس في الاخرة، والقراءة بعدهما كلتيهما) .

Dalam Hadis Riwayat Abu Daud dan Addaraqutni Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda : Takbir pada Sunat Aidil Fitri 7 pada rakaat pertama dan 5 pada rakaat yang terakhir (kedua), bacaan adalah selepas takbir pada kedua-dua rakaat.

Tiada riwayat khusus berkenaan pembacaan ketika dua takbir, namun disunatkan berhenti sejenak antara dua takbir dan membaca tahmid dan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW kerana telah datang riwayat-riwayat para sahabat telah melakukannya.

روى الطبراني والبيهقي بسند قوي عن ابن مسعود من قوله وفعله أنه كان يحمد الله ويثني عليه ويصلي على النبي صلى الله عليه وسلم وروي كذلك عن حذيفة وأبي موسى.

Riwayat Attabrani dan Baihaqi dengan sanad yang kuat daripada perbuatan Ibnu Mas’ud RA, Huzaifah bin Yaman, Dan Abi Musa al-Asya’ri RA Bahasawanya daripada perbuatan mereka (antara dua takbir) Bertahmid dan berselawat atas Nabi Muhammad SAW.

Takbir dalam solat sunat hari Raya (selain dari takbiratul Ihram) merupakan sunat, tidak membatalkan sama ada terlupa atau sengaja ditinggalkan.

10. Tidak disunatkan solat (apa-apa solat sunat yang lain) sebelum atau selepas solat Sunat Hari raya.

قال ابن عباس: خرج رسول الله صلى الله عليه وسلم يوم عيد فصلى ركعتين لم يصل قبلهما ولا بعدهما. رواه الجماعة.

Ibnu Abbas telah berkata : Rasullullah SAW keluar menunaikan solat Hari Raya maka Baginda menunaikan Solat Sunat Hari Raya (dan) tidak solat apa-apa sebelum atau selepasnya. Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Abu daud, Tarmizi, Nasaie, Ibnu Majah.

11. Solat Sunat Hari raya diterima oleh semua sama ada yang musafir, yang bermukim, beramai-ramai ataupun seorang-seorang. Dan barang siapa yang terlepas Solat hendaklah dia solat sendiri dua Rakaat.

12. Bekhutbah dan mendengar khutbah hukumnya sunat.

وعن عبد الله بن السائب قال: شهدت مع رسول الله صلى الله عليه وسلم العيد فلما قضى الصلاة قال: (إنا نخطب فمن أحب أن يجلس للخطبة فليجلس ومن أحب أن يذهب فليهذب) رواه النسائي وأبو داود وابن ماجه.

Daripada Abdullah bin Assaib berkata : aku menjadi saksi ketika bersama-sama dengan Rasulullah SAW hari raya. Apabila selesai solat Baginda Bersabda : Sesungguhnya kami akan memulakan khutbah, barangsiapa yang suka untuk mendengar khutbah maka hendaklah dia duduk, dan barangsiapa yang ingin pergi hendaklah dia pergi. Riwayat Annasaie, Abu Daud, dan Ibnu Majah.

13. Diharuskan bermain, berseronok, makan, menyanyi pada hari raya.

14. Disunatkan memberi ucapan tahniah pada hari raya.

عن جبير بن نفير قال: كان أصحاب رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا التقوا يوم العيد يقول بعضهم لبعض: (تقبل منا ومنك) . قال الحافظ إسناده حسن.

Daripada Jubair bin Nufair berkata : Sesungguhnya sahabat-sahabat Baginda SAW apabila bertemu pada hari Raya mereka saling ucap satu sama lain : semoga Allah terima daripada kami dan daripada kamu (segala amalan). Berkata al-Hafiz (Ibnu Hajar) Sanadnya Hasan.

15. Takbir pada hari raya adalah amalan sunat yang di galalakkan. Disunatkan mula daripada malam hari raya sehinggalah menunaikan solat sunat hari raya Aidil Fitri.

Wallahualam.

Terjemahan dan Ringkasan daripada kitab Fiqh Sunnah Syeikh Sayyid Sabiq r.h ulama Azhar.

Disediakan oleh:
Ustaz Muhammad Ikram Bin Abu Hassan
Ketua Biro Belia,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Seberang Perai Selatan (SPU)

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?