MH370 (3): Bolehkan serpihan pesawat hanyut hingga ke timur Afrika?
BANGI, Khamis – Selagi belum mendengar pengesahan rasmi bahawa serpihan pesawat yang ditemui di Pulau Le Reunion itu adalah milik MH370 – atau daripada pesawat Boeing 777 – adalah tidak mustahil bahawa penemuan itu adalah satu klu kepada pencarian pesawat yang hilang.
Kebanyakan pakar pengangkutan dan penerbangan, walaupun, menyatakan penemuan itu berkemungkinan besar adalah sebahagian daripada pesawat MH370, dan jika ianya benar, akan dapat menentukan keadaan sebenar nasib penumpang pesawat malang itu.
Bolehkan serpihan seperti itu bergerak sehingga ke timur Afrika?
Ahli Geologi Marin Universiti James Cook di Australia, Robin Beaman, tidak menolak kemungkinan objek besar mampu bergerak dalam jarak dan lingkungan yang luas di seluruh Lautan Hindi.
Katanya, tahun lalu seorang lelaki kehilangan sebuah bot di perairan barat Australia selepas terbalik ketika laut bergelora.
“Lapan bulan kemudian, bot itu muncul di perairan Pulau Mayotte di Perancis, barat Madagascar kira-kira 7,400 kilometer dari tempat ianya dilaporkan hilang.
“Saya tidak fikir kita perlu menolak andaian bahawa serpihan yang ditemui di Le Reunion adalah milik pesawat MH370,” katanya.
Beliau berkata, Lautan Hindi adalah terlalu luas, namun hakikatnya sebuah bot boleh bergerak sejauh itu dan dijumpai pula di bahagian lautan lain maka segalanya adalah kemungkinan.
Jika ia adalah daripada pesawat MH370, adakah ia akan membantu penemuan bangkai lain pesawat itu?
Semua pihak memahami bahawa selepas pesawat itu hilang, dan jika ada mana-mana serpihan yang terapung, arus Lautan Hindi akan menghanyutkannya ke perairan timur Afrika, kata pakar keselamatan penerbangan, John Goglia yang juga bekas anggota Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat.
“Tetapi, serpihan itu tidak banyak membantu dalam mengesan pergerakan arus lautan bagi mengenal pasti lokasi sebenar serpihan utama.
“Adalah amat sukar untuk mengatakan dengan pasti di mana sumber ini. Cuma yang dapat disahkan ialah pesawat itu berada di dalam air dan tidak dirampas atau mendarat di mana-mana tempat. Kita tidak pernah kehilangan pesawat 777 di mana-mana tempat lain sebelum ini,” katanya.
Adakah ia akan membantu mengenal pasti sebab kehilangan pesawat itu?
Jika bahagian serpihan yang ditemui itu adalah pesawat MH370, ia mampu memberi klu kepada penyiasat untuk cuba mengenal pasti punca pesawat itu hilang, kata Profesor Penerbangan Universiti New South Wales di Sydney, Australia.
Katanya, sifat kerosakan pada serpihan itu boleh membantu menunjukkan sama ada pesawat berkenaan pecah di udara atau ketika terkena air.
“Pakar biologi marin juga boleh membuat anggaran berapa lama serpihan itu berada di dalam air dengan mengkaji siput yang melekat padanya,” katanya. – Agensi
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan