PAC tak boleh siasat 1MDB selagi tiada pengerusi

pandikar

KUALA LUMPUR, Khamis – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), tidak boleh meneruskan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selagi pengerusi baru tidak dilantik menggantikan Datuk Nur Jazlan Mohamad.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, berkata mesyuarat biasa PAC juga tidak boleh dijalankan bagi mengelakkan sebarang pertikaian atau isu berbangkit mengenai kesahihan prosiding pada masa akan datang.

“Peraturan Mesyuarat 77(3) memang membolehkan seorang anggota jawatankuasa dipilih bagi mempengerusikan mesyuarat apabila Pengerusi atau Naib Pengerusi tiada atas sebab keuzuran atau sebab lain.

“Namun, peruntukan tersebut hanya terpakai dalam hal ketiadaan Pengerusi atau Naib Pengerusi tidak dapat hadir mesyuarat atas sebab-sebab tertentu dan bukannya atas sebab pengosongan jawatan.

“Tambahan pula bagi maksud menghindarkan apa-apa pertikaian atau isu berbangkit mengenai kesahan atau kesahihan prosiding PAC yang dijalankan semasa jawatan Pengerusi dikosongkan pada masa akan datang, adalah wajar mesyuarat PAC diadakan selepas jawatan Pengerusi baru diisi,” kata sebagaimana dilaporkan portal anggota Parlimen Malaysia, BNBBC.my.

Pandikar Amin berkata, ini termasuk pengisian tiga lagi kekosongan anggota PAC membabitkan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Mas Ermiyati Samsudin dan Datuk Wilfred Madius Tangau yang turut dilantik menganggotai Kabinet.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Naib Pengerusi PAC, Dr Tan Seng Giaw yang menyatakan mesyuarat PAC boleh diteruskan walaupun kehilangan empat anggotanya dalam rombakan Kabinet Datuk Seri Najib Razak, kelmarin.

Selasa lalu, Nur Jazlan dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri dalam rombakan Kabinet yang menyaksikan penyingkiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri.

PAC dijadualkan memanggil Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy serta bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi pada 4 dan 5 Ogos ini.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Hazem Abdul Rahman yang berkhidmat dari Mac 2013 hingga Januari 2015 pula akan dipanggil pada keesokannya.

Jawatankuasa Parlimen bi-partisan itu sebelum ini mempunyai 13 ahli, terdiri daripada lapan wakil rakyat Barisan Nasional dan lima pembangkang dilantik oleh Parlimen.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?