Sunnatullah Menepis Parti-Parti
Dalam Muktamar PAS Jun 2015, berlaku perubahan besar dalam kepimpinan JKP PAS Pusat. Ia bukan sahaja menggugurkan sebahagian besar dari kalangan mereka, bahkan ia membawa kepada keluarnya sebilangan tokoh-tokoh besar dari PAS buat selamanya, dan selepas ini akan diikuti oleh pengikut-pengikut mereka di bandar dan kampung.
Isu 1MDB, rentetan dan kesan-kesan dominonya memberi kocakan kepada UMNO, parti Melayu-Islam terbesar dan paling berpengaruh di Tanahair. Jika berlarutan, ia bakal menyingkap lebih banyak maklumat kepada rakyat Malaysia amnya, dan kepada ahli-ahli UMNO khasnya untuk memudahkan mereka membuat penilaian dan keputusan.
Kocakan yang berlaku adalah ibarat kocakan dulang penapis yang mengayak tepung. Ia mesti dikocak agar tepung yang halus dan bermenfaat untuk dibuat kuih, diasingkan dari tepung kasar, pasir, seredak dan lain-lain bahan asing. Dengan ini kek yang dihasilkan adalah baik dan bermutu.
Begitulah sunnatullah ke atas mana-mana badan Islam yang mahu atau mendakwa ingin menegakkan syiar Islam. Mereka akan terus melalui proses penapisan ahli dan pimpinan, sehingga hanya yang bersih dan layak sahaja akan terus berada dalam saf perjuangan. Sunnah Allah akan terus berjalan ke atas kedua-dua parti besar UMNO dan PAS, serta ke atas mana-mana badan-badan Melayu-Islam yang lain. Firman Allah swt :
مَا كَانَ اللَّهُ لِيَذَرَ الْمُؤْمِنِينَ عَلَىٰ مَا أَنْتُمْ عَلَيْهِ حَتَّىٰ يَمِيزَ الْخَبِيثَ مِنَ الطَّيِّبِ ۗ
“Allah tidak sekali-kali akan membiarkan orang-orang yang beriman dalam keadaan yang kamu ada sekarang (bercampur aduk mukmin dan munafik, bahkan Ia tetap menguji kamu) sehingga Ia memisahkan yang buruk (munafik) daripada yang baik (beriman)”.
Tulisan ini adalah umum kepada semua tanpa cuba untuk menuding dengan penilaian siapa bersih dan siapa tak bersih, siapa yang ditapis dan seumpamanya. Cukuplah Allah swt dan orang-orang beriman melihat dan menilai amal kerja kita.
وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ ۖ وَسَتُرَدُّونَ إِلَىٰ عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ
“Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu, maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan”.
Adapun kepada rakyat dan ahli, agar segala perkembangan dan penapisan ilahi yang berlaku membawa kearah yang positif, mereka hendaklah memastikan perkara-perkara di bawah :
1- Meningkatkan penghayatan Islam dan taqwa kepada Allah kerana ia adalah sebaik-baik persediaan dan kelengkapan untuk menghadapi situasi-situasi sebegini. Allah swt akan memberi Al-Furqan kepada rakyat yang bertaqwa. Dengan Al-Furqan anugerah Allah ini, mereka dapat membezakan diantara mana yang benar untuk mereka pilih dan mana yang salah untuk dihindari. Firman Allah swt :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ تَتَّقُوا اللَّهَ يَجْعَلْ لَكُمْ فُرْقَانًا وَيُكَفِّرْ عَنْكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ۗ وَاللَّهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيمِ
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Ia mengadakan bagi kamu Al-Furqan (petunjuk yang membezakan antara yang benar dengan yang salah), dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah mempunyai limpah kurnia yang besar”.
2- Mengambil berat segala yang berlaku melalui berita, pembacaan, perkongsian dan lain-lain serta sering merujuk kepada para Ulamak untuk mendapat pandangan Islam terhadap sesuatu isu. Hadis Nabi saw :
من لم يهتم بامر المسلمين فليس منهم
“Siapa yang tidak mengambil berat urusan umat Islam, dia bukan dari kalangan mereka”.
3- Membuat pemilihan ketua, wakil rakyat dan lain-lain peringkat kepimpinan dengan pemilihan yang terbaik demi kepentingan Agama, kesatuan umat Melayu-Islam dan penegakkan Syariat dan Negara Islam. Hadis Nabi saw :
من استعمل رجلا على عصابة وفيهم من ارضى لله والرسول فقد خان الله والرسول
“Siapa yang memilih seseorang (menjadi ketua) untuk memimpin, sedang di kalangan mereka ada orang (lain pada penelitiannya) yang lebih diredhai Allah dan Rasul (pada agama dan kelayakannya), maka dia telah mengkhianati Allah dan Rasul”.
Tiga prinsip di atas bakal menyelamatkan pertubuhan, parti, masyarakat dan negara, iaitu prinsip-prinsip :
1- taqwa pada diri, ahli dan rakyat
2- mengambil berat persekitaran yang berlaku, dan
3- memilih pemimpin dari kalangan yang terbaik akan membawa Umat Islam maju kehadapan serta mampu memimpin dan membimbing dunia dan umat yang lain.
Moga Allah swt terus memelihara umat dan negara kita serta dijauhkan dari segala mara bahaya ancaman pengaruh asing dari luar dan dalam negara. Ameen.
Ustaz Abdul Halim Abdullah
Ketua Penerangan Biro Politik ISMA
30 Julai 2015
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan