Untouchable prime minister, kepala-kepala angguk dan konspirasi halal
MENCANTAS dahan yang disangka berulat sedangkan akar sudah lama berpenyakit. Itu kata seorang rakan facebook saya ketika merujuk tindakan Datuk Seri Najib Razak ‘memecat’ rakan seperjuangannya dalam Umno dan kerajaan, gara-gara tidak tahan dengan ‘nasihat’.
Mungkin rakan saya maksudkan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Shafie Apdal dan menteri lain yang disingkirkan daripada Kabinet ‘Kerajaan Najib’ adalah dahan, sedang dalam Kabinet dan Umno itu sudah lama ada penyakit dan boleh pula berjangkit.
Namun, biarlah dulu cerita dahan, ulat, perdu dan penyakit itu. Biarlah pokok yang dulunya merimbun itu mereput dan akhirnya menyembah bumi. Biarlah pokok itu menumbuhkan benih baru. Sementara itu, bolehlah kita berteduh di bawah pokok lain buat sementara.
Alkisah sekarang ini, apa saja laporan yang negatif mengenai kerajaan sudah dicop sebagai ‘konspirasi untuk menjatuhkan sebuah kerajaan demokrasi’ atau ‘konspirasi untuk menjatuhkan seorang Perdana Menteri yang dilantik secara demokrasi’ atau dicop juga sebagai ‘konspirasi menjatuhkan Najib’. – Konspirasi adalah daripada perkataan Inggeris, Melayunya ialah komplot.
Hatta, kenyataan atau ulasan Transparency International Malaysia (TI-M) mengenai rombakan Kabinet dan 1MDB juga sudah dianggap ‘konspirasi’ menjatuhkan Najib, kerana ulasan TI-M itu adalah bersifat negatif dan tidak menyokong ‘Kerajaan Najib’.
Mungkin kenyataan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana, Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman, yang menyatakan Najib melakukan kesilapan dalam rombakan Kabinet itu, juga satu komplot untuk menjatuhkan Najib.
Betullah kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sekarang ini jika bercakap mengenai 1MDB dianggap jenayah.
Sebut saja atau berilah apa saja ulasan serta komen yang tidak memihak kepada ‘Kerajaan Najib’ sekarang ini, maka anda akan dicop sebagai berkomplot.
Penyampai maklumat, pemberi maklumat dan pendedah maklumat juga kini sudah dianggap berkomplot menjatuhkan ‘Kerajaan Najib’ jika memberi atau menyebarkan maklumat negatif mengenai Najib, isteri atau keluarganya.
Semuanya adalah kerana pendedahan negatif itu membabitkan seorang Perdana Menteri, isteri Perdana Menteri atau anak pinak Perdana Menteri.
Maka di dalam sebuah negara merdeka sekarang ini wujudlah ‘untouchable prime minister’.
Anda beri dan sebar maklumat mengenai salah laku agensi kerajaan, anda akan dianggap berkomplot menjatuhkan ‘Kerajaan Najib’. Anda akan dihukum sebagaimana yang berlaku ke atas The Edge atau seperti yang berlaku terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Apalagi jika anda ‘kacau’ agensi atau syarikat kerajaan yang diletakkan atau dikawal terus oleh Perdana Menteri, seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sedang menanggung beban hutang berjumlah RM42 bilion. Hutang yang dibuat daripada bank-bank tempatan dan luar negara, maka anda akan dicop berkomplot menjatuhkan ‘Kerajaan Najib’.
Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, konspirasi bermaksud “rancangan rahsia untuk melakukan sesuatu yang menyalahi undang-undang (terutamanya yg berbau politik); berkonspirasi melakukan (menganjurkan, mengadakan dan sebagainya) konspirasi, berkomplot.
Nampaknya sekarang ini, ada usaha yang dilakukan untuk menanam dalam fikiran rakyat bahawa sesiapa sahaja yang memberi maklumat, menyalurkan maklumat, menyebarkan maklumat atau mendedahkan maklumat negatif dan tidak sehaluan dengan Najib, akan dituduh terbabit dalam komplot untuk menjatuhkan Najib atau ‘Kerajaan Najib’.
Kini, tahun keenam Najib menjadi Perdana Menteri, rakyat kena jadi ‘pak angguk’, pemimpin Umno kena jadi ‘ketua angguk’, wakil rakyat kena jadi ‘YB angguk’, menteri Kabinet kena jadi ‘menteri angguk’ atau ‘Kabinet angguk’. Semua kepala mesti menjadi ‘kepala angguk’.
Namun, dalam diam rupa-rupanya wujud komplot yang akhirnya menjatuhkan Muhyiddin daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri. Sama ada komplot itu dilakukan seorang atau bersama orang lain, ia tetap seperti ‘mengata dulang paku serpih…’.
Kita tunggu selepas ini komplot menyingkirkan Muhyiddin daripada jawatan Timbalan Presiden Umno pula. Bagi mereka, konspirasi mereka ada tanda ‘halal’.
P/S: Mungkin penulis juga dituduh berkonspirasi kerana menulis artikel ini yang tidak memihak kepada ‘Kerajaan Najib’ dan Ismaweb.net pula dituduh sebagai jentera konspirasi kerana menyiarkan artikel ini. Apapun, terima kasih kepada murid Tahun Dua yang membantu penulis menjawab komen pembaca berkaitan artikel bertajuk ‘Cerita pelik lima pengumuman serentak hari ini…Apakah kebetulan atau konspirasi?‘.
Razali bin Zakaria
Pengarang Kanan Ismaweb.net
Penafian: Artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Isma, sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan