Berjayakah pembentukan negara bangsa Malaysia?

Hari malaysia 2

Hari Malaysia disambut pada 16 September setiap tahun adalah untuk memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia di tarikh yang sama pada tahun 1963. Ia menandakan penyertaan bersama Tanah Melayu, Borneo Utara (kini Sabah), Sarawak dan Singapura bagi membentuk Malaysia. Perisytiharan dibuat di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur yang disaksikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Gabenor-Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Sarawak dan Sabah serta 30,000 rakyat berbilang kaum.

Generasi muda, tidak kira apa jua kecenderungan serta minatnya, perlu dibawa bersama dalam arus menghayati erti Hari Malaysia kerana kesannya yang bukan sedikit terhadap pembangunan negara dari dulu sehingga kini. Justeru, pengetahuan terhadap sejarah adalah kata kuncinya. Orang cerdik pandai sering berkata, sejarah merupakan guru terbaik untuk mendidik manusia menjadikan sesuatu yang lalu sebagai teladan atau sempadan. Sejarah adalah kebijaksanaan silam yang boleh dimanfaatkan untuk membina masa depan.

Tokoh sejarah, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim berkata, pengetahuan dan pemahaman dalam sejarah negara adalah amat penting kerana ia adalah akar tunjang sesuatu bangsa. Kerana itu, katanya, pengetahuan tentang sejarah negara ini adalah kunci kepada perpaduan dan persefahaman antara kaum. Sebab itu, sejarah perlu dijadikan bahan rujukan dalam apa jua isu berbangkit mengenai ‘ negara bangsa’ ini. Pun begitu, katanya, apa yang berlaku kini adalah cabaran dalam menegak dan memperkasa sejarah negara, bukan sahaja terhadap golongan muda tetapi golongan terdahulu. Jelas Kay Kim, terdapat generasi terdahulu yang buta sejarah, tetapi pada masa sama berkecenderungan untuk campur tangan dalam mempertikaikan sejarah sekali gus mengelirukan ramai pihak.

Bagaimanapun, penubuhan Persekutuan Malaysia ditentang hebat oleh Indonesia dan Filipina. Indonesia tidak senang dengan penubuhan Persekutuan Malaysia lantas, melancarkan konfrontasi ketenteraan di bawah slogan “Ganyang Malaysia” yang berlanjutan sehingga 1966.

Filipina pula menuntut haknya ke atas Sabah atas hujahan perjanjian yang dimeterai antara Kesultanan Sulu dengan pihak British.  Brunei yang turut termasuk dalam rancangan penubuhan Persekutuan Malaysia membatalkan penyertaannya setelah berdepan dengan pemberontakan besar-besaran di Brunei pada penghujung 1962.

Bagaimanapun, akhirnya pada 9 Julai 1963, Perjanjian penubuhan Persekutuan Malaysia dimeterai di London hanya setelah Laporan Suruhanjaya Cobbold yang dikeluarkan menyatakan lebih 80 peratus rakyat Sarawak dan Sabah bersetuju dengan cadangan kemerdekaan melalui penggabungan bersama Persekutuan Tanah Melayu.

Tarikh perasmian pengisytiharan Persekutuan Malaysia telah ditangguhkan daripada 1 Jun 1963 kepada 31 Ogos 1963 kerana menunggu Laporan Suruhanjaya Cobbold.  Namun tarikh itu pula ditangguhkan setelah Indonesia dan Filipina memperhebatkan tentangan mereka terhadap penubuhan Persekutuan Malaysia. Dan akhirnya 16 September 1963 menjadi hari secara rasminya Persekutuan Malaysia ditubuhkan.

Dalam usaha mewujudkan masyarakat berbudaya beridentiti Malaysia, dan bermoral tinggi, kita harus sedar bahawa Perlembagaan dan Rukun Negara atau dasar kerajaan seperti Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan bukanlah sebagai faktor pengikat yang mematikan tradisi dan kepentingan kaum, tetapi sebagai garis panduan bermasyarakat dan berbudaya.

Tujuannya semoga kita mempunyai tanggungjawab membina martabat bangsa dan negara dalam semua lapangan. Dengan itu kewujudan masyarakat berbudaya dan bangsa bertamadun bukan sahaja mampu mempertahankan keutuhan dan survival politik, ekonomi, dan sosial, tetapi juga menayangkan rupa dan wajah, serta keperibadian Malaysia di mata dunia.

Mengikut pengasas pertubuhan Ikhwan Muslimin, Imam Hassan Al-Banna berkata bahawa jika patriotisme yang dimaksudkan oleh para pejuang patriotisme ialah cintakan tanah air, rasa kasih dan rasa rindu seumpanya, perasaan ini sememangnya tertanam dalam fitrah manusia dan bertepatan dengan perintah islam.

Bilal walaupun beliau telah mengorbankan segala galanya demi akidah dan agamanya, Bilal ini jugalah yang telah meluahkan rasa rindunya terhadap Mekah ketika berada di Madinah melalui rangkap rangkap syair yang amat indah dan sayu. Jika apa yang mereka maksudkan ialah kewajiban berusaha sedaya upaya untuk membebaskan negara daripada penjajahan kolonialisme atau melakukan sesuatu ke arah mencapai kemerdekaan negara atau menanamkan harga diri dan semangat kemerdekaan di dalam jiwa anak bangsa, jika ini yang mereka maksudkan ia bermakna kita turut bersama mereka. Malah Islam amat amat menegaskan perkara ini.

Perlembagaan merupakan asas utama kepada pembentukan sesebuah negara yang berdaulat.  Tujuan dan fungsi utama perlembagaan adalah untuk mewujudkan satu bentuk pemerintahan yang adil, mengelakkan penyalahgunaan kuasa oleh pemerintah, mengawal pergerakan kerajaan dan rakyat, alat untuk menyelesaikan masalah, menjamin riwayat negara bangsa serta mengekalkan keamanan dan kestabilan Negara.

Terdapat empat paksi utama atau ‘tiang seri’ yang membentuk Perlembagaan Persekutuan iaitu Agama Islam sebagai Agama Persekutuan, Hak dan kedudukan Istimewa Orang Melayu, Kedaulatan Raja-raja Melayu dan juga Bahasa Melayu sebagai rasmi.  Paksi-paksi ini tidak dimasukkan secara tidak sengaja ke dalam perlembagaan melainkan adanya sejarah yang unik dan tersendiri yang membawa kepada perkara tersebut. Empat perkara tersebut telah dirangkumkan dalam sebuah perjanjian lisan yang dikenali sebagai kontrak sosial.

Kontrak Sosial merupakan satu permuafakatan antara kaum yang dicapai sebelum merdeka melalui satu persetujuan di kalangan rakyat dan pemimpin yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India. Istilah kontrak sosial sebenarnya tidak ditulis di dalam perlembagaan persekutuan 1957.

Walaubagaimanapun, kita wajib memahami bahawa kontrak sosial ini telah menjadi asas utama dalam perlembagaan tersebut, yang merangkumi empat perkara iaitu kedudukan Islam, Raja-raja Melayu, Hak istimewa orang melayu dan Bahasa Melayu. Secara mudahnya, kontrak sosial adalah satu istilah yang mewakili kesediaan orang Melayu untuk memberi kewarganegaraan kepada orang bukan Melayu dengan bayaran keempat-empat perkara yang telah dinyatakan tadi.

Antara isi Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang perlu direnungkan bersama ialah:

  • Berteraskan kepada Kebudayaan Rakyat Asal rantau ini yang merangkumi kawasan Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Brunei, Thailand dan Kampuchea serta Kepulauan Selatan Pasifik (Polynesia, Melanesia dan Oceania) sehingga Malagasi adalah merupakan bahagian utama dari kawasan tamadun atau budaya Melayu. Rantau ini merupakan pusat pemancaran, pengembangan dan warisan Kebudayaan Melayu sejak zaman berzaman dan ditandai pula oleh kegemilangan dan keagungan tamadun Melayu yang berpusat di Melaka yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan antarabangsa (linguafranca). Kebudayaan serantau ini digambarkan oleh persamaan-persamaan di bidang bahasa yang berasaskan keluarga bahasa Melayu – Austronesia, kedudukan geografi, pengalaman sejarah, kekayaan alam, kesenian dan nilai-nilai keperibadiannya. Budaya Melayu pada hari ini merupakan cara hidup, lambang identiti dan asas ukuran keperibadian kepada lebih 200 juta umat manusia yang menuturkan satu rumpun bahasa yang sama. Dengan yang demikian, kebudayaan rakyat asal rantau ini dalam pengertian sempit atau luasnya kebudayaan Melayu telah dijadikan teras kepada Kebudayaan Kebangsaan.
  • Unsur-unsur Kebudayaan Lain Yang Sesuai dan Wajar boleh diterima Kebudayaan sebagai sesuatu yang dinamik, sentiasa berubah-ubah melalui proses penyerapan dan penyesuaian secara berterusan. Prinsip ini bertepatan dengan situasi penduduk berbilang kaum yang mewarisi pelbagai budaya. Dengan itu unsur-unsur budaya Cina, India Arab, Barat dan lain-lain yang sesuai dan wajar diberi penimbangan dan penerimaan dalam pembentukan Kebudayaan Kebangsaan. Kesesuaian penerimaan dalam penyerapan ini adalah bergantung kepada tidak wujudnya percanggahan dengan Perlembagaan dan prinsip-prinsip Rukun Negara dan kepentlngan nasional serta asas-asas moral dan kerohanian sejagat pada amnya dan pada Islam sebagai agama rasmi negara khasnya.
  • Islam Menjadi Unsur Yang Penting Dalam Pembentukan Kebudayaan Kebangsaan – Agama atau kepercayaan kepada Tuhan merupakan unsur penting dalam proses pembangunan negara serta pembentukan rakyat yang berakhlak dan berperibadi mulia. Agama Islam memberi panduan kepada manusia dalam mengimbang dan memadukan usaha bagi mengisi kehendak-kehendak emosi dan fizikal dan kerana itu patut menjadi unsur yang penting dalam pembentukan Kebudayaan Kebangsaan memandangkan kedudukannya sebagai agama rasmi negara, di samping telah wujudnya fakta sejarah dan nilai-nilai Islam yang telah sedia didukung oleh sebahagian besar rakyat rantau ini. Ketiga-tiga prinsip asas di atas adalah melambangkan penerimaan gagasan Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971.

Rukun Negara adalah ideologi kebangsaan Malaysia. Ia adalah satu susunan cara ataupun prinsip hidup bermasyarakat yang mengandungi nilai-nilai kenegaraan dan norma-norma sosial yang meliputi semua aspek kehidupan bernegara. Rukun Negara juga adalah satu doktrin untuk mencapai perpaduan kaum demi keharmonian dan kemakmuran Negara Malaysia. Ideologi negara ini menggariskan lima prinsip yang lahir daripada aspirasi masyarakat dan negara Malaysia, dibentuk mengikut acuan Malaysia dan dimiliki bersama oleh rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama. 5 prinsip itu ialah kepercayaan kepada Tuhan, kesetiaan kepada raja dan Negara, keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan kesopanan dan kesusilaan. Rukun Negara yang menjadi pedoman kepada seluruh rakyat Malaysia jelas merupakan kunci kepada masyarakat pelbagai kaum di Negara ini untuk membentuk warga berintegriti.

Artike ini tidak muat untuk menceritakan kesemua rentetan sejarah Negara Malaysia dari zaman Kesultanan Melayu Melaka sehingga penubuhan Malaysia pada tahun 1963. Tetapi, saya ingin mengajak agar generasi muda benar-benar memahami dan menghayati sejarah negara agar keharmonian kaum dan agama di tanah air kita dapat dipertahan dan dikekalkan. Secara ringkasnya, saya berpendapat, sekiranya dasar-dasar seperti kontrak sosial, perlembagaan persekutuan, dasar kebudayaan kebangsaan dan rukun Negara betul-betul difahami, dihayati dan ditanam ke dalam hati sebagai pegangan hidup setiap rakyat Malaysia, nescaya impian kita untuk mewujudkan Malaysia sebagai sebuah Negara maju dengan acuan sendiri akan tercapai pada akhirnya.

Mohd Syahmi Mohd Shaari
Ijazah sarjana Sains Kejuruteraan Rel

Aktivis Isma Batu Pahat

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?