Himpunan Baju Merah: Polis anggar 28,500 hadir, bersurai dengan aman

merah 4
KUALA LUMPUR, – Himpunan ‘Baju Merah’ di Padang Merbok di sini berakhir dengan aman pada kira-kira 5.30 petang dengan 14 resolusi, memberi tumpuan untuk menegakkan demokrasi dan menghormati pemimpin-pemimpin negara, yang diterima secara sebulat suara.

Puluhan ribu peserta berbaju merah menyertai perhimpunan yang dikenali secara rasmi sebagai ‘Himpunan Rakyat Bersatu’, mendengar ucapan pemimpin-pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) dan bacaan puisi.

Mereka melaungkan slogan sambil memegang sepanduk dan kain rentang bagi menunjukkan perasaan benci terhadap perhimpunan Bersih dan politik melampau.

Antara penceramah terlibat ialah Pengasas Yayasan Kemiskinan Kelantan Tan Sri Annuar Musa, Presiden Persatuan Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka) Tan Sri Ali Rustam dan Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Jamaluddin Yusof.

Polis menganggarkan kehadiran peserta sekitar 28,500 orang. Ketika perhimpunan berlangsung dengan lancar di Padang Merbok, sekumpulan orang didapati menimbulkan masalah di Petaling Street dengan cuba melepasi sekatan polis di sekeliling destinasi pelancongan popular berkenaan.

Pasukan Polis Simpanan Persekutuan bertindak melepaskan meriam air sebanyak sekali untuk menyuraikan kumpulan berkenaan yang tidak pernah pergi ke Padang Merbok dan berkumpul secara sendirian di kawasan itu, sejak 2 petang tadi.

Ketika perhimpunan berakhir, Datuk Jamal Md Yunus telah pergi dan memujuk kumpulan berkenaan untuk bersurai. Sehingga 7.30 malam, kebanyakan anggota kumpulan terbabit meninggalkan kawasan berkenaan namun masih ada segelintir yang tidak berganjak.

Jamal dan penganjur-penganjur lain bertindak memisahkan diri mereka daripada kumpulan berkenaan.

“Mereka tidak bersama-sama dengan kami. Saya percaya mereka cuba untuk sabotaj perhimpunan kami,” katanya.

Annuar Musa berkata: “Sesiapa sahaja boleh membeli kameja-T merah dan mendakwa sebahagian daripada kami serta menimbulkan masalah.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis akan mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar undang-undang.

“Kita ‘buta warna’. Kuning ke, Merah ke, yang tak mematuhi undang-undang akan dikenakan tindakan,” katanya dalam catatan di laman Twitternya.

Khalid turut mengucapkan syabas kepada Polis Kuala Lumpur dan semua pasukan bantuan yang menjalankan tugas hari ini.

Dalam pada itu, laluan di hadapan Jalan Petaling telah dibuka semula kepada orang ramai malam ini dengan trak-trak polis dilihat bergerak meninggalkan kawasan itu. – Bernama

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian