Kekeliruan liberalis memahami isu ‘Tiada paksaan dalam agama’ dan ‘Tunduk kepada sistem Islam’

ahmad khairuddin
MEMBACA artikel bertajuk “Penipuan Abdullah Zaik berkenaan liberalisme” yang disiarkan di portal liberal The Malaysian Insider, menambahkan lagi kasihan saya terhadap Farouk A Peru yang sebenarnya sedang keliru berkenaan konsep kebebasan dalam Islam dan ayat “Tiada paksaan dalam Agama” yang disebut Al-Quran lantas mendakwa penipuan Ustaz Abdullah Zaik sambil menerangkan dengan akal sendiri berhubung ayat لا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ dan konsep kebebasan.

Farouk A Peru nampaknya tidak dapat membezakan antara isu paksaan memeluk agama Islam dan mengikuti sistem Islam. (Syariah Islamiyyah).

Semua ulama memang bersepakat bahawa memaksa bukan Islam untuk memeluk agama Islam adalah tidak dibenarkan berdasarkan ayat  لا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ dalam Surah Al-Baqarah ayat 256.

Hukum larangan ini Ustaz Abdullah Zaik sudah lama maklum. Rata-rata masyarakat Malaysia pun sudah maklum akan hukum ini. Sebab itu kita tidak jumpa walau satu kes pun di Malaysia, orang Islam memaksa orang bukan Islam supaya memeluk agama Islam.

Namun perlu kita fahami, larangan paksaan tersebut adalah dalam konteks I`tiqod dan keimanan di mana dilarang untuk memaksa orang bukan Islam untuk memeluk agama Islam. Ia bukan dalam konteks hukum hakam atau undang-undang Islam seperti mana yang dimaksudkan Imam Al-Qurtubi dalam tafsirnya.[1] Hal ini dikuatkan lagi dengan kata-kata Ibn Kathir ketika mentafsirkan ayat tersebut;

يقول تعالى: { لا إِكْرَاهَ فِي الدِّين } أي: لا تكرهوا أحدًا على الدخول في دين الإسلام

Bermaksud: “Allah berfirman; “Tiada paksaan dalam Agama”, iaitu bermaksud Janganlah kalian memaksa seseorang supaya memasuki agama Islam.”[2]

Ya, larangan dalam ayat tersebut bukan dalam konteks hukum hakam atau undang-undang Islam. Apabila Islam sudah menjadi sistem dan asas perlembagaan atau undang-undang sesebuah negara, maka semua orang tidak kira agama apa sekalipun wajib mematuhi perlembagaan dan undang-undang tersebut.

Ini sebenarnya sama saja seperti mana-mana perlembagaan di dunia ini dari segi keterikatannya (bindingness) ke atas semua rakyat tidak kira bangsa dan agama. Sesuatu sistem atau undang-undang sebuah negara dikira berdaulat apabila rakyat tunduk kepadanya.

Perlu diketahui juga bahawa ulama bersepakat bahawa sistem undang-undang Islam wajib ditegakkan di atas muka bumi dan semua manusia termasuk orang bukan Islam wajib mematuhi undang-undang Islam tersebut.

Para Liberalis jangan hanya mengambil ayat “La Ikrah fi al-Din” (itupun disalah tafsir) tetapi menutup mata daripada melihat banyak ayat Al-Quran yang lain berkenaan kewajipan berhukum dengan apa yang Allah turunkan iaitu Islam.

Bacalah beberapa Firman Allah swt di bawah ini:

وَأَنِ احْكُم بَيْنَهُم بِمَا أَنزَلَ اللَّـهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَن يَفْتِنُوكَ عَن بَعْضِ مَا أَنزَلَ اللَّـهُ إِلَيْكَ ۖ فَإِن تَوَلَّوْا فَاعْلَمْ أَنَّمَا يُرِيدُ اللَّـهُ أَن يُصِيبَهُم بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْ ۗ وَإِنَّ كَثِيرًا مِّنَ النَّاسِ لَفَاسِقُونَ

Bermaksud: “Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu daripada sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik.”[3]

أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ ۚ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّـهِ حُكْمًا لِّقَوْمٍ يُوقِنُونَ

Bermaksud: “Maka patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal – kepada orang-orang yang penuh keyakinan – tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih pada daripada Allah.”[4]

وَمَن لَّمْ يَحْكُم بِمَا أَنزَلَ اللَّـهُ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْكَافِرُونَ

Bermaksud: “Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir”[5]

وَمَن لَّمْ يَحْكُم بِمَا أَنزَلَ اللَّـهُ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

Bermaksud: “Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”[6]

وَلْيَحْكُمْ أَهْلُ الْإِنجِيلِ بِمَا أَنزَلَ اللَّـهُ فِيهِ ۚ وَمَن لَّمْ يَحْكُم بِمَا أَنزَلَ اللَّـهُ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

Bermaksud: “Dan hendaklah Ahli Kitab Injil menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah di dalamnya; dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.”[7]

Lihatlah juga sirah, mengapa adanya jihad? Mengapa Rasulullah saw dan para Sahabat ra mengangkat senjata menentang orang bukan Islam yang menentang sistem Islam?

Jihad tersebut bukan untuk memaksa kafir supaya memeluk Islam.[8] Ia adalah untuk memastikan sistem Islam tertegak di muka bumi, supaya semua manusia tunduk kepada sistem Islam.

Dalam masa yang sama Rasulullah sesekali tidak memaksa orang kafir untuk memeluk agama Islam bahkan bermuamalah dengan baik (tasamuh) dengan mereka dengan syarat mereka tunduk kepada sistem Islam.

Semua orang tidak kira puak Yahudi, Kristian, munafiqin masih boleh hidup aman bersama umat Islam apabila mereka tunduk kepada sistem Islam yang sentiasa mengangkat keadilan.

Ini selari dengan mesej “liberalisme boleh wujud dengan harmoni bersama Islam kalau tunduk kepada sistem Islam. Ini adalah kerana liberalisme itu ideologi manusia yang berubah-ubah walhal berbanding Islam yang dikurniakan Tuhan sendiri” yang diperkatakan Ustaz Abdullah Zaik.

Adakah pernah kita saksikan dalam sejarah, Rasulullah dan keempat-empat khalifah selepas itu yang mentadbir negara dengan sistem Islam, mempunyai pemerintahan yang kejam, sektarian, zalim? Tidak sama sekali. Yang kita jumpa dalam sejarah adalah kezaliman yang dahsyat berlaku dalam pemerintahan yang tidak tunduk kepada sistem Islam !

Islam sentiasa mempromosi kebebasan. Sebab itu hukum harus dalam fiqh jauh lebih banyak daripada hukum haram malah menjadi hukum asal bagi setiap perkara selain ibadat sehingga keluar satu kaedah yang amat masyhur;

الأصل في الأشياء الإباحة حتى يدل الدليل على التحريم

Bermaksud: “Pada asalnya, hukum bagi sesuatu benda itu adalah harus sehingga terdapat dalil yang menunjukkan akan keharamannya.”[9]

Namun kebebasan tersebut perlu ditadbir sebaiknya dengan undang-undang yang dicipta sendiri oleh Allah swt yang menciptakan manusia.

Para liberalis yang busuk hatinya akan melihat undang-undang Islam sebagai menyekat kebebasan, tapi orang Islam yang murni hatinya akan melihat undang-undang tersebut sebagai jaminan untuk selamat dan berjaya di dunia dan akhirat.

Wallah A’lam.

Ustaz Ahmad Khairuddin

Ustaz Ahmad adalah graduan Fakulti Syariah di Universiti Yarmouk, Jordan dan ahli Ulama Muda Majlis Ulama Isma (MUIS).

Rujukan:

[1] Tafsir Al-Qurtubi, jil. 3, m/s 279.

[2] Tafsir Al-Quran Al-`Azim, jil. 1, m/s 682.

[3] Surah Al-Maidah, ayat 49.

[4] Surah Al-Maidah, ayat 50.

[5] Surah Al-Maidah, ayat 44.

[6] Surah Al-Maidah, ayat 45.

[7] Surah Al-Maidah, ayat 7.

[8] Lihat Tafsir Al-Razi, jil. 3, m/s 454 dan Tafsir Al-bahr Al-Muhith, jil. 3, m/s 24

[9] Al-Asybah wa Al-Nazo’ir, As-Suyuti, m/s 60.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?