Kibar bendera koyak cemar imej, kedaulatan negara

jalur gemilang koyak
KUALA LUMPUR, Selasa – Bulan kemerdekaan, yang menyaksikan kibaran Jalur Gemilang di merata tempat, baru sahaja berlalu.

Malangnya sikap sesetengah masyarakat mengibarkan Jalur Gemilang yang usang dan koyak di premis-premis perniagaan, kawasan-kawasan perumahan dan tempat-tempat awam menjejaskan maruah dan kedaulatan negara, mencacatkan semangat kenegaraan.

Pemerhatian dan tinjauan Bernama di sekitar ibu kota dan Selangor mendapati ada di antara mereka tidak menggantikan bendera yang telah pudar warnanya, bahkan ada yang rosak.

Apakah bendera yang dikibarkan sekadar menyahut seruan supaya mengibarkannya sempena sambutan bulan kemerdekaan dan bukan kerana semangat patriotik dan kenegaraan yang tinggi? Mungkinkah terlepas pandang bendera yang dikibarkan sejak beberapa waktu lalu itu sudah lusuh dan mereput?

Melihatkan bukan sedikit bilangan bendera yang menerima ‘nasib’ sedemikian, Bernama menghubungi Pemegang amanah Yayasan 1Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye, dan beliau meluahkan kekesalannya dengan sikap tidak prihatin sesetengah pihak terutamanya rakyat Malaysia yang tidak bertanggungjawab berbuat begitu.

Beliau menegaskan bahawa Jalur Gemilang adalah lambang kepada negara yang mesti dijaga dan dipertahankan daripada sebarang kecacatan.

“Bukanlah mudah bagi tokoh-tokoh negara kita untuk mendapatkan kemerdekaan, maka dengan mengibarkan bendera yang koyak samalah seperti memperlekehkan usaha mereka yang telah membebaskan negara daripada jajahan kuasa asing.

“Saya sendiri melihat ada yang masih mengibarkan Jalur Gemilang yang rosak… ini tak wajar berlaku kerana bendera kebangsaan sepatutnya menjadi kebanggaan rakyat dan negara,” katanya kepada Bernama.

Beliau meminta rakyat Malaysia supaya tidak membiarkan bendera koyak berkibar dan sebaliknya mengantikan Jalur Gemilang baharu demi tanggungjawab memelihara kedaulatan negara.

Bendera kebangsaan adalah simbol kedaulatan sesebuah negara. Disebabkan itu, mengikut amalannya, bendera dikibarkan tinggi. Upacara mengibar dan menurunkan bendera juga dijalankan dengan teliti dan penuh istiadat sebagai tanda penghormatan terhadap bendera yang menjadi kemegahan negara.

“Sebenarnya, bendera kita tidak begitu mahal untuk dibeli pun. Ia mampu dibeli oleh semua golongan masyarakat, jadi sesiapa yang mengibarkannya perlu lakukan dengan cara yang betul agar tidak menjejaskan imej negara,” katanya.

Jalur Gemilang bukan sahaja perlu dikibarkan pada bulan kemerdekaan tetapi secara berterusan bagi menunjukkan semangat patriotisme rakyat Malaysia kepada dunia.

“Inisiatif mengibarkan Jalur Gemilang sememangnya sesuatu yang perlu dibanggakan tetapi jika bendera itu dah lama dan tidak digantikan, menunjukkan kita tidak pedulikannya, bayangkanlah pula persepsi pelancong asing ke negara ini bila melihatnya,” ujar Lee.

Sudah tiba masa untuk rakyat Malaysia mengubah sikap dan benar-benar memahami kepentingan mengibarkan bendera yang sempurna keadaannya selain menghayati sejarah di sebalik kemegahan Jalur Gemilang.

Selain itu, Lee juga mengingatkan segelintir rakyat Malaysia yang gemar mengaitkan ketidakfahaman politik dengan Jalur Gemilang. Tegas beliau, “ia tidak mempunyai kaitan sama sekali.”

“Saya tengok sekarang premis-premis perniagaan tidak peduli menggantikan bendera baru dan kalau ditanya akan sebabnya, mereka menyentuh mengenai politik negara.

“Apa kaitannya dengan politik, mahupun pihak pembangkang atau pemerintah?” soalnya.

Generasi muda pula hendaklah mengimbas kembali sejarah negara dan menerapkan ‘isi dan makna’ Jalur Gemilang dalam sanubari mereka.

Berbeza di Sabah dan Sarawak, Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosio Budaya Majlis Profesor Negara (MPN) Profesor Datuk Dr Zainal Kling berkata penduduk di kedua-dua negeri itu lebih menghayati kepentingan Jalur Gemilang.

Beliau turut mengimbas masa lampau di kala Bendera Malaysia pertama kali dikibarkan dengan rasminya di seluruh negara pada 16 Sept 1963 untuk melambangkan lahirnya Malaysia di mana Sabah dan Sarawak secara rasminya bebas daripada jajahan British.

“Sebab itulah orang Sabah dan Sarawak kerap memastikan Jalur Gemilang yang dikibarkan berada dalam keadaan sempurna kerana pada mereka, pengibaran bendera menandakan kedaulatan negara yang tidak boleh dijajah oleh kuasa asing,” katanya.

Walaupun kerajaan masih berusaha untuk meningkatkan kesedaran, Zainal berpendapat usaha tersebut tidak diambil serius oleh sesetengah pihak.

“Memang ada kesedaran tetapi bukanlah kesedaran yang sepenuh hati,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa ibubapa memainkan peranan penting dalam memupuk kepentingan menghormati dan mengibarkan bendera yang sempurna keadaannya bukan sahaja pada bulan kemerdekaan tetapi juga untuk sepanjang masa.

“Kita mesti letak bendera di mana-mana yang sesuai bagi menunjukkan kebanggaan terhadap negara sendiri… kita sepatutnya sedar akan makna kedaulatan negara Malaysia dan hakikat bahawa jumlah kependudukannya semakin bertambah,” katanya.- Bernama

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian