Malaysia rakan strategik komprehensif China, kata Duta
KUALA LUMPUR, Selasa – Malaysia adalah rakan strategik komprehensif bagi China, kata Duta China di Malaysia Dr Huang Huikang.
Sambil menyifatkan Malaysia sebagai rakan yang boleh diharapkan dan boleh dipercayai, Dr Huang berkata kedua-dua negara telah bersama-sama melalui pelbagai cabaran yang dihadapi satu sama lain.
“Kita bersama-sama mengharungi krisis kewangan Asia pada tahun 1997 dan krisis kewangan antarabangsa pada 2008, gempa bumi Wenchuan, kemalangan tragis MH370 dan banjir besar di Pantai Timur Malaysia.
“Kita saling memberi sokongan pada masa sesetengah pihak cuba meremehkan kekuatan dan melemahkan semangat kita. Kita sentiasa bersama-sama mengharungi saat-saat yang sukar,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan ulang tahun ke-66 Penubuhan Republik Rakyat China di sini, semalam.
Beliau juga mengucapkan terima kasih berikutan sokongan negara rakan, termasuk Malaysia, untuk China menjadi bandar tuan rumah pertama bagi temasya Olimpik musim sejuk dan musim panas pada 2022.
“Saya amat gembira dengan keputusan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa yang dibuat di Kuala Lumpur pada 31 Julai, dan taman ski hasil pelaburan ahli perniagaan Cina Malaysia akan menjadi venue utama sukan salji bagi Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022,” katanya.
Dr Huang juga berkata China amat sedar tentang tanggungjawab antarabangsanya dan akan terus menyumbang sebanyak yang boleh untuk membina keharmonian dan kemakmuran di dunia.
Kira-kira 500 tetamu menghadiri majlis itu, antaranya Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II Datuk Seri Ong Ka Chuan, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamad dan Duta Khas Malaysia ke China Tan Sri Ong Ka Ting. – Bernama
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan