Mempertegas Kesultanan dan Kerajaan bersempena Hari Malaysia: Aidil Khalid

merdeka 1
PADA tahun 1977, seorang hakim Mahkamah Persekutuan pernah mengungkapkan seuntaian kata-kata yang amat penting dalam menetapkan hala tuju negara ini sebagai sebuah negara bangsa yang merdeka lagi berdaulat. Hakim tersebut, yang kemudiannya diangkat menjadi Ketua Hakim Negara dan telah menulis begitu banyak penghakiman penting yang menjadi rujukan sehingga ke hari ini, juga kemudiannya telah ditabalkan sebagai Sultan yang berdaulat bagi memerintahkan negeri Perak Darul Ridzuan, iaitu Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Shah, ayahanda kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak yang memerintahkan negeri bertuah lagi berdaulat tersebut pada hari ini.

Dalam penghakimannya pada tahun 1977, dalam kes Loh Kooi Choon lwn Kerajaan Malaysia [1977] 2 MLJ 187, baginda telah menyatakan bahawa Perlembagaan Persekutuan yang menjadi tapak asas kepada tata-kelola negara ini adalah sebuah perlembagaan yang mandiri, iaitu berdiri atas kakinya sendiri — atau stands in its own right — tanpa sebarang keterikatan kepada tafsiran ataupun sistem keperlembagaan yang diamalkan oleh mana-mana negara lain, atau terhadap mana-mana pengaruh dari luar.

“Whatever may be said of other Constitutions,” kata baginda dalam penghakiman tersebut, “they are ultimately of little assistance to us because our Constitution now stands in its own right and it is in the end the wording of our Constitution itself that is to be interpreted and applied, and this wording ‘can never be overridden by the extraneous principles of other Constitutions.’” (Apapun yang diperkatakan berkenaan Perlembagaan-Perlembagaan dari negara lain, hakikatnya Perlembagaan negara kita hendaklah berdiri pada kakinya sendiri, serta ungkapan-ungkapan yang terkandung di dalamnya mesti ditafsirkan ‘tanpa membenarkan unsur-unsur asing dari Perlembagaan negara lain mengatasi peruntukan dalam Perlembagaan kita sendiri’).

Kata-kata baginda ini menjadi titik bersejarah, kerana selama ini kita sering dipasung dalam suatu kefahaman bahawa kononnya Perlembagaan Persekutuan yang kita terima pakai sebagai undang-undang tertinggi negara, dan perundangan-perundangan lainnya yang berkuat kuasa, adalah berasaskan kepada sistem yang diwarisi daripada kerajaan British, dan oleh yang demikian tafsiran dan tata-kelolanya hendaklah mengikut acuan dan cara yang ditinggalkan oleh kerajaan British. Tetapi dengan untaian penghakiman oleh baginda yang arif lagi bijaksana ini, maka naratif perundangan negara kita sebagai negara yang merdeka lagi berdaulat telah diberikan nafas baharu yang segar dan bebas daripada pasungan fahaman kepenjajahan.

Bahkan kalau diteliti penghakiman-penghakiman lampau berkenaan dengan tafsiran keperlembagaan kita, keputusan oleh baginda Almarhum D.Y.M.M Sultan Azlan Shah itu sebenarnya bukanlah pertama kali dan bukanlah tanpa duluan. Lebih awal daripada itu lagi, iaitu tepatnya pada 14 September tahun 1963 (hanya dua hari sebelum perjanjian Malaysia dikuat-kuasakan pada 16 September) Mahkamah telah diletakkan dengan tanggungjawab untuk memutuskan suatu kes penting di antara Kerajaan Kelantan lwn Persekutuan Tanah Melayu dan Tunku Abdul Rahman (1963) 29 MLJ 355.

Pada asasnya dalam kes terebut, Kerajaan Kelantan mencabar hak kerajaan persekutuan Tanah Melayu untuk masuk ke dalam perjanjian Malaysia, tanpa terlebih dahulu mendapatkan persetujuan dan perkenan daripada kerajaan Negeri Kelantan. Tanpa perlu untuk masuk ke dalam isu-isu yang rumit lagi ruwet dalam kes tersebut, apa yang relevan untuk dipetik di sini adalah ungkapan oleh Ketua Hakim pada ketika itu, Thomson C.J., yang senada dengan apa yang bakal diungkapkan oleh Almarhum D.Y.M.M. Sultan Azlan Shah sedekad setengah kemudiannya seperti yang telah dipetik di atas.

“[T]he Constitution,” kata Thomson C.J., “is primarily to be interpreted within its own four walls and not in the light of analogies drawn from other countries such as Great Britain,  the United States of America or Australia.” (Perlembagaan kita hendaklah ditafsirkan menurut tafsirannya sendiri tanpa mengambil analogi daripada negara-negara lain seperti Great Britain, Amerika Syarikat atau Australia).

Kedudukan ini amat penting untuk kita amati dan fahamkan, dan setelah itu hayati dan terapkan, terutamanya dalam menerajui masa depan negara, lebih-lebih lagi pada hari ini dalam suasana yang begitu rencam, dan dalam pada pelbagai aliran dan fahaman serta pandangan dan pemikiran berebut-rebut untuk mengisi makna dan naratif negara-bangsa yang kita cintai ini, sehingga keretakan kepada perpaduan semakin hari menjadi semakin parah.

Orang-orang yang bijaksana sering menyatakan bahawa langkah awal bagi menyelesaikan sesuatu permasalahan adalah dengan terlebih dahulu mengenal pasti akan masalah tersebut sebagai sedia adanya, tanpa sekali-kali membenarkan diri berada dalam keadaan penafian. Justeru amatlah penting agar kita tidak berada dalam penafian terhadap hakikat bahawa negara kita sedang dirundung krisis perpaduan yang amat teruk, dan kita mestilah memperakuinya seperti sedia adanya, kerana dari situ barulah jelas dan mudah bagi mencari jalan penyelesaiannya.

Setelah 58 tahun kita lewati tarikh keramat kemerdekaan tanah air dan 52 tahun persekutuan ini dikenali sebagai Malaysia, kita menyaksikan pergelutan sengit tentang identiti negara ini. Kita pergaduhkan dan tidak sepakat akan tuju dan arah yang wajar diambil dalam melangkah ke hadapan sebagai sebuah negara-bangsa yang merdeka. Kita umpama bahtera yang membedah lautan bergelora dan taufan, tetapi alangkah malang kerana nakhodanya tidak tahu membaca peta dan arah, manakala para kelasinya pula saling berebut bagi membawa kapal ke arah yang berlainan dan bertentangan antara sesamanya, apatah para penumpangnya terpinga-pinga tidak tahu ke mana akan dibawa.

Sungguhpun kita tahu bahawa kita adalah sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, tetapi demokrasi yang bagaimana tidaklah pula dapat disepakati, bahkan dipergaduhkan pula apakah demokrasi dalam erti membiarkan kebebasan tanpa batasan sehingga hilangnya adab dan adat leluhur bangsa, ataukah demokrasi dalam erti yang mesti disemak dan diimbangkan secara murni dengan sejarah kita yang bukan sahaja panjang dan kaya, tetapi juga besar dan megah?

Kita juga menyaksikan percanggahan mengenai makna Raja Berperlembagaan yang menaungi tatakelola negara ini, apakah cukup sekadar mengangkat seorang Raja itu sebagai hiasan dan simbol semata-mata dengan mengambil tradisi asing Constitutional Monarchy ala British sebagai acuan, ataukah Raja Berperlembagaan dalam erti yang difahamkan dalam psyche masyarakat tempatan yang telah berakar-umbi berkurun lama seperti yang pernah diikrarkan di antara Demang Lebar Daun dan Raja Sri Tri Buana dalam Sejarah Melayu? Demikian juga dalam pada kita menerima Islam adalah agama persekutuan dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, tetapi tidaklah pula kita sepakati apakah makna, kesan dan sejauh manakah pengaruhnya dalam menentukan sistem tatakelola negara.

Maka amatlah penting untuk kita kembali menghayati semangat Perlembagaan Persekutuan dalam rohnya yang sebenar, iaitu bukan sebagai sebuah dokumen yang dipasung oleh tafsiran dan sistem keperundangan British (seolah-olah kita sebuah negara yang belum merdeka), tetapi sebagai sebuah dokumen perjanjian yang pengisian dan tafsirannya hendaklah berasaskan kepada sistem kesultanan dan keRAJAan yang berdaulat.

Seperti yang diungkapkan oleh Thomson C.J.:

“[A]lthough the Constitution forms an important part of the municipal law of the country,” kata beliau dalam Kerajaan Negeri Kelantan melawan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, “it is also part of an Agreement between the previously sovereign States that went to make up the Federation of Malaya…” (Selain Perlembagaan kita menjadi perkara utama dalam tatakelola negara ini, ia juga adalah sebahagian daripada Perjanjian di antara negeri-negeri yang sememangnya berdaulat yang kemudiannya menjadi Persekutuan Tanah Melayu).

Kata kuncinya di sini adalah “negeri-negeri yang sememangnya berdaulat” dan oleh yang demikian bukanlah negeri-negeri yang berada dalam jajahan. Hal ini bererti Perlembagaan Persekutuan adalah dokumen yang dimasuki dan dipersetujui oleh pihak-pihak yang masing-masingnya adalah ketua di negeri masing-masing.

Dalam kes yang sama, Thomson C.J. turut menyatakan:

“The parties to that Agreement were Her Britannic Majesty, as the Sovereign of the then British Settlements (which later became States) of Penang and Malacca, and the Rulers of the nine Malay States of Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Trengganu and Perak.” (Pihak-pihak dalam Perjanjian tersebut adalah Raja British sebagai ketua di negeri Pulau Pinang dan Melaka, serta Raja dan Sultan di sembilan negeri-negeri Melayu, termasuk Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu dan Perak).

Hal ini menunjukkan bahawa Mahkamah kita mengiktiraf hakikat bahawa sejarah negara ini tidak bermula dengan tahun 1957, atau tahun 1963, sebaliknya keRAJAan dan ketamadunan negara ini — walaupun sebagai sebuah negara seperti yang ada pada hari ini belumlah terbentuk sebelum daripada tahun 1957 — sebenarnya telah pun lama wujud sebagai negeri-negeri yang berdaulat atas nama dan takhta Raja-Rajanya sendiri.

Perkara ini bahkan diperakui oleh kerajaan British sendiri pada tahun 1894, iaitu 63 tahun sebelum daripada kita menyambut hari kemerdekaan tanah air. Seperti yang dilaporkan dalam sebuah kes Mighell v Sultan of Johore [1894] 1 Q.B 149, ketika diminta penjelasan berkenaan status kedaulatan negeri Johor dan sultannya pada ketika itu, Setiausaha Negeri bagi Tanah Jajahan British telah memberikan jawapan seperti berikut:-

“[T]hat Johore was an independent state and territory in the Malay peninsula, and that the defendant was the present sovereign ruler thereof; that the relations between the Sultan and Her Majesty the Queen, which were relations of alliance and not of suzerainty and dependence, were regulated by a treaty made on December 11, 1885, of which a copy was enclosed; that the Sultan had raised and maintains armed forces by sea and land, had organised a postal system, dispenses justice through regularly constituted courts, had founded orders of knighthood, confers title of honour; and, generally speaking, exercised without question the usual attributes of a sovereign ruler.” (Bahawa Johor adalah negeri dan wilayah yang merdeka di semenanjung Tanah Melayu, dan bahawa defendan dalam kes ini adalah Sultan yang berdaulat terhadap negeri tersebut; bahawa hubungan di antara Sultan tersebut dengan Ratu British yang merupakan hubungan di antara rakan perikatan dan bukan penguasaan atau penjajahan adalah diikat oleh perjanjian bertarikh 11 Disember 1885, yang sesalinannya dikepilkan disini; bahawa Sultan tersebut ada memiliki kekuatan tenteranya sendiri di lautan dan di daratan, ada memiliki sistem postalnya sendiri, serta turut mengendalikan perundangan dan keadilan melalui Mahkamah yang sah, ada memberikan dan menganugerahkan tingkat-tingkat penghargaan dan pangkat kenamaan; dan secara umumnya tanpa syak lagi sememangnya memegang, melaksanakan dan mempunyai ciri-ciri serta sifat-sifat seorang raja yang berdaulat.)

Atas hakikat ini, Hakim British yang membicarakan kes tersebut telah memutuskan bahawa Mahkamah Britain tiada bidang kuasa bagi mendengar dan membicarakan seorang Raja yang berdaulat. Penting untuk diulangi di sini bahawa keputusan ini diputuskan lama sebelum daripada 31 Ogos tahun 1957 mahupun 16 September tahun 1963.

Demikian juga dalam sebuah lagi kes, Duff Development Company Limited v Government of Kelantan and Another [1924] A.C. 797 di mana cubaan untuk menyaman Kerajaan Kelantan di Mahkamah Britain yang dibicarakan pada tahun 1924 telah dibuang atas sebab sama, iaitu Mahkmah Britain tiada hak apa lagi bidangkuasa bagi membicarakan Kerajaan Kelantan sebagai keRAJAan yang berdaulat dan boleh disaman di Mahkamah di negerinya sendiri.

Mengingat dan menginsafi akan hakikat ini — iaitu bahawa Raja dan Sultan Melayu adalah Raja dan Sultan yang berdaulat atas nama dan takhtanya sendiri — amatlah penting untuk kita mempertegas kedudukan negara bangsa yang kita cintai dan kenali sebagai Malaysia pada hari ini: iaitu bahawa negara ini dibentuk atas persetujuan oleh Raja-Raja Melayu, atas kedaulatan dan takhta mereka masing-masingnya, untuk kemudiannya bergabung dan bersatu bagi membentuk sebuah persekutuan.

Persekutuan yang dibentuk oleh Raja-Raja dan Sultan-Sultan Melayu ini kemudiannya diperkuatkan lagi ikatannya, apabila perjanjian Malaysia dimeteraikan dengan Sabah dan Sarawak (dan Singapura yang kemudiannya keluar daripada persekutuan), sehingga terbentuklah Malaysia seperti hari ini.

Seperti mana laungan kemerdekaan tujuh kali pada 31 Ogos tahun 1957 diiringi kemudiannya dengan laungan azan oleh Datuk Hassan Azhari sebagai simbolik tunduk dan patuhnya negara ini dengan hukum-hukum dan perintah-perintah Allah SWT, maka amatlah molek dan wajar kiranya sekalian warga Malaysia pada hari ini, tanpa mengira bangsa dan agama, juga dapat memperingati kembali akan doa yang dibacakan oleh Al-Marhum Syeikh Haji Ahmad bin Muhammad Said, mufti Pertama Negeri Sembilan, ketika pengisytiharan Kemerdekaan Negara di Stadium Merdeka oleh Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj:

“Ya Allah! Anugerahkanlah taufiq kepada sekalian pentadbir awam, jemaah menteri, para sultan dan raja, serta pemimpin negara bagi memelihara kehendak-kehendak agama, memelihara hak keistimewaan umatnya, menegakkan keadilan dalam undang-undang dan berpegang kepada keindahan Islam.

“Ya Allah! Jadikanlah mereka agen perubah hal keadaan orang-orang Melayu, agar bangsa ini meningkat maju dan kehadapan sehingga tercapai cita-cita yang diidam-idamkan. Ya Allah! Bantulah bangsa Melayu, bimbinglah serta jadikanlah kami menjadi sebaik-baik manusia. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus, jalan yang telah Engkau kurniakan kepada umat Islam yang telah menikmatinya, bukan sebagaimana orang yang Engkau murkai dan bukan juga orang yang sesat.

“Ya Allah! Hindarilah kami daripada sebarang kesusahan, sejahterakanlah kami daripada segala yang boleh memudharatkan, peliharalah kami daripada segala buruk lagi keji dan tunaikanlah segala yang diharap dan dihajati. Harmonikanlah antara kami dan bangsa lain selain kami hingga kami sentiasa dalam keamanan dan keselamatan. Bebaskanlah kami dengan segera daripada segala kepayahan dengan rahmatMu wahai Tuhan yang Maha Merahmati segala yang penyayang.

“Ya Allah! Jadikanlah bagi bangsa kami, kaum yang lain dan negara ini penjaga daripada segala bala, yang menghalang kami dan mereka daripada sebarang pencerobohan. Bantulah kami menewaskan segala musuh dan orang yang dengki. Zahirkanlah kemarahanMu dan kemurkaanMu kepada orang yang melampau dan yang melakukan kerosakkan. Ya Allah! Awasilah dengan penglihatanMu yang tidak pernah lena dan bentengilah dengan perlindungan dan bentengMu yang tidak mudah diterima.”

*Aidil Khalid ialah peguam yang beramal di Kota Damansara, dan aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ).

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia(Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana, ia juga tidak mewakili pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian