Peluh dan air mata menjejak tapak kaki Rasulullah SAW

jabal-nur-2

MAKKAH, Isnin – Tubuh mereka bermandikan peluh, pipi disimbah air mata, namun puluhan jemaah haji gagah melangkah mendaki Jabal Al-Nur, merasai bagaimana sukarnya baginda Nabi Muhammad SAW suatu ketika dulu mendaki ‘gunung cahaya’ itu.

Masing-masing menuju ke sebuah gua yang terletak di puncak berbatu menghadap kota Makkah di mana umat Islam percaya ayat al-Quran kali pertama diturunkan kepada Rasulullah SAW di dalam Gua Hira, ketika baginda berusia 40 tahun.

Ibadah haji akan bermula esok dan jutaan umat Islam sudah mula memenuhi kota Makkah di mana bagi mereka ia adalah kemuncak kepada kepatuhan terhadap perintah Allah SWT.

Dengan memakai kasut sukan atau selipar, malah ada juga yang bertongkat, lelaki dan wanita dalam semua peringkat usia menyahut cabaran melalui jejak tapak kaki baginda, mendaki puncak setinggi 642 meter, biarpun panas terik mencengkam tubuh. gua-hira-1

Nabi Muhammad dilaporkan kerap mendaki gunung itu untuk berkhalwat di dalam Gua Hira.

Jemaah haji dari Senegal, Fuad Tajelddin berkata, Rasulullah ‘sudah tua’ dan baginda boleh mendaki gunung itu.

“Malah, isteri baginda Khadijah juga mendaki gunung itu dua kali sehari untuk menghantar makanan kepada baginda. Jadi buat kami, ia adalah satu kewajipan,” katanya.

Kebanyakan pendaki yang agak berusia bagaimanapun, terpaksa berhenti rehat sebelum meneruskan perjalanan yang biasanya dimulakan pada waktu Subuh atau sebelum matahari terbenam.

Di puncak gunung, jemaah beratur untuk memasuki Gua Hira di mana Nabi Muhammad SAW dikatakan menghabiskan kebanyakan masanya untuk berfikir mengenai alam dan penciptaannya.

Di dalam dan kawasan gua itu pendaki berdoa, menangis dan sesetengahnya menyentuh dan mencium dinding gua itu kononnya untuk mendapat berkat.

Bagaimanapun, anggota polis Arab Saudi yang ditempatkan di kawasan itu melarang mereka berbuat demikian dan menasihatkan supaya tidak terlalu emosi.

Lawatan ke gua itu bukan suatu syarat mengerjakan haji.

“Tetapi, tempat ini adalah ‘sebahagian daripada iman’ kami,” kata jemaah haji dari Lubnan, Shawqi Haydous.

Nabi Muhammad, katanya, menerima ayat suci al-Quran dan malaikat datang kepadanya di dalam gua ini.

“Ini adalah kali kelima saya melawat gua ini. Saya gembira setiap kali datang.

“Ianya indah sekali untuk membayangkan bagaimana Khadijah datang membawa makanan kepada baginda,” katanya. – Agensi

jabal-nur-1

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian