Ringgit meningkat semula selepas rendah dua hari
KUALA LUMPUR, Rabu – Ringgit kembali ditutup tinggi berbanding dolar US hari ini selepas penyusutan dua hari berturut-turut, berikutan sentimen positif susulan laporan bahawa Malaysia meningkat dua anak tangga kepada kedudukan ke-18 daripada 140 ekonomi dalam daya saing global.
Pada 5 petang, ringgit disebut harga pada 4.3935/3975 berbanding dolar daripada 4.4540/4590 pada Selasa.
Seorang peniaga memberitahu Bernama bahawa laporan itu mengangkat Malaysia, dengan daya saing negara telah meningkat dan sekali gus membantu meningkatkan sentimen pasaran.
Selain ringgit, mata wang pesat membangun serantau turut kukuh hari ini walaupun Rizab Persekutuan US menangguhkan kenaikan kadar faedah pada September, dengan kemungkinan peningkatan itu akan dibuat lewat tahun ini.
Semalam, mata wang tempatan mencecah 4.4770 berbanding dolar, paras terendah sejak Januari 1998 semasa krisis kewangan Asia.
Ringgit juga diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain.
Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0866/0914 daripada 3.1175/1221 pada Selasa, dan didagangkan tinggi berbanding yen pada 3.6539/6576 daripada 3.7126/7183 semalam.
Mata wang tempatan meningkat berbanding euro kepada 4.9321/9384 daripada 5.0001/0066 pada Selasa, dan tinggi berbanding pound sterling kepada 6.6676/6754 daripada 6.7661/7759 semalam. – Bernama
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan