‘Tindakan Saifuddin hadir majlis pembangkang tak salah’
BANGI, Rabu – Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas menyifatkan tindakan Datuk Saifuddin Abdullah menghadiri meja bulat penubuhan pembangkang baharu, Pakatan Harapan, minggu lalu bukan satu kesalahan.
Beliau berkata, ia akan menjadi salah jika Saifuddin hadir dan kemudian mengutuk Umno, namun ia tidak berlaku.
“Kalau setakat nak hadir dalam acara pembangkang saya rasa tidak ada masalah. Biasalah itu. Tapi kalau dia hadir, kemudian aktif kutuk Umno, itu lain cerita.
“Kalau hanya hadir, tidak ada apalah. Kita pun nak dengar juga apa fakta, peranan dan hujah pembangkang di sana,” katanya.
Terdahulu, bekas timbalan menteri itu hadir ke persidangan meja bulat pembentukan pembangkang atas kapasiti sebagai pengerusi Akademi Belia.
Berikutan itu, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Saifuddin kerana menyifatkan kehadirannya ke persidangan berkenaan sebagai satu kesalahan dan mencemarkan imej parti.
Surat berkenaan dihantar kepada Saifuddin pada 22 September lalu, menuntut penjelasan bekas Ahli Parlimen Temerloh itu mengenai tindakannya dalam tempoh 14 hari.
Kegagalan mengembalikan maklum balas dalam tempoh yang ditetapkan ujar Tengku Adnan, bakal menyebabkan perkara berkenaan dibawa ke lembaga disiplin.
Saifuddin bagaimanapun pada Isnin lalu berkata, beliau masih belum menerima surat berkenaan.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan