Ada makanan halal dan masjid di Beijing untuk pengunjung beragama Islam

Wangfujing_street,_Beijing

Oleh Samantha Tan Chiew Ting

Koresponden Bernama di Beijing, Samantha Tan Chiew Ting berkongsi diari kehidupannya di ibu negara China.

BEIJING, Rabu — Meskipun melancong satu pengalaman yang menyeronokkan tetapi lazimnya ada dua perkara yang pasti akan menjadi kebimbangan iaitu bahasa dan makanan.

Saya percaya sesetengah rakan Melayu saya yang beragama Islam mungkin berasa ragu-ragu untuk melancong ke negara yang tersohor dengan Tembok Besar China ini kerana memikirkan pastinya sukar untuk mendapatkan makanan halal.

Tunggu dulu! Tidak perlu bimbang kawan-kawan.

Sebenarnya saya sendiri macam tidak percaya dengan kewujudan masyarakat orang Islam serta budaya mereka di Beijing, ibu negara China ini.

Baru-baru ini saya berkesempatan menjelajah Beijing dengan sekumpulan wartawan Malaysia.

Mereka berada di ibu negara China ini selama tiga hari untuk membuat liputan Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri Pertahanan China-ASEAN (10+1) serta Forum Xiangshan keenam yang turut dihadiri Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Memandangkan ada dua wartawan beragama Islam dalam kumpulan itu, saya membantu untuk mencarikan premis menjual makanan halal untuk mereka.

Secara jujurnya saya pun tidak tahu sangat tentang restoran orang Islam atau mencari premis yang menjual makanan halal. Tambahan saya sendiri mengamalkan pemakanan sayuran ‘vegetarian’.

BANYAKNYA KEDAI HALAL

Saya membuat keputusan membawa mereka ke tempat tarikan pelancong di Yonghegong Lama Temple, Gulou (Drum Tower) dan Houhai, sebuah tasik di belakang ‘forbidden city” untuk tujuan bersiar-siar.

Kami berasa kagum dengan keindahan seni bina campuran Arab serta China yang memaparkan ciri-ciri tradisional di tempat-tempat itu.

Paling menggembirakan ada beberapa buah restoran yang diusahakan oleh orang Islam dan saya diberitahu sebenarnya ada lebih 2,000 kedai halal daripada penjaja makanan tepi jalan hinggalah restoran mewah di Beijing.

Pastinya restoran Muslim ini tidak menghidangkan daging khinzir dan minuman keras di samping mematuhi keperluan halal lain.

Mudah untuk mengenal pasti kedai-kedai orang Islam ini kerana kebanyakannya
dihias dengan motif Islam atau hamparan dengan gambar atau tulisan Arab.

Antara makanan yang dijual adalah Lamian, mi buatan sendiri yang disediakan dengan sup daging lembu atau kambing.

Mi ini juga digoreng kering dengan sos berasaskan tomato, sate daging lembu, itik panggang, roti bijan kukus dan pelbagai lagi.

Di samping makanan, terdapat juga banyak tarikan Islam yang menarik untuk dikunjungi seperti Masjid Niujie yang terkenal, sebuah masjid zaman purba dan dianggap antara masjid tertua di China.

ORANG ISLAM AMAT DIALU-ALUKAN

Masjid tersohor yang lain adalah Masjid Dongsi Mosque yang pada asalnya dibina semasa Dinasti Yuan dan menjadi ibu pejabat Persatuan Islam Beijing.

Sebuah lagi masjid yang terkenal adalah Masjid Huashi yang menjadi tempat perhimpunan jemaah utama untuk orang Islam di Beijing.  Masjid-masjid mula dibina di China hampir 1,400 tahun lepas dan kini terdapat lebih 20,000 buah masjid di seluruh China.

Wilayah yang paling banyak terdapat masjid adalah barat Gansu, Xinjiang, Yunnan dan Qinghai.

Memandangkan China dilihat sebagai kuasa ekonomi penting dunia, negara ini secara berterusan menambah baik kemudahan serta perkhidmatan pelancongan dalam usaha menarik lebih ramai pelancong luar negara.  

China dilaporkan akan muncul sebagai destinasi pelancongan keempat terbesar
dunia menjelang 2020.

Oleh yang demikian, banyak pakej pelancongan juga ditawarkan untuk menarik
pelancong beragama Islam.

Bahasa bukan halangan untuk melancong di negara ini meskipun Mandarin menjadi bahasa pertuturan utama dan bukannya Bahasa Inggeris. Petunjuk arah serta brosur untuk tempat-tempat menarik di Beijing mudah difahami.

Untuk rakan-rakan Melayu saya yang beragama Islam, pastinya sudah tidak
perlu bimbang tentang makanan halal. Oleh itu, jom melancong ke Beijing!. — Bernama

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?