Bangkit tentang penyelewengan, pertahan harta negara: Muhyiddin

Muhyiddin

Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, Rabu – Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa setiap ahli, pemimpin dan pejuang Umno bangkit untuk menentang penyelewengan dan perompakan harta negara oleh pihak-pihak tertentu.

Sambil menyifatkan pihak tertentu itu adalah petualang, Muhyiddin berkata, beliau tidak setuju apabila SOSMA digunakan dalam kes penahanan ahli perniagaan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguam, Matthias Chang.

“Saya menyokong SOSMA untuk menangani kesalahan-kesalahan keselamatan yang menggugat keamanan dan ketenteraman awam.

“Yang saya tidak bersetuju ialah penyalahgunaan SOSMA yang bercanggah dengan tujuan asal akta ini digubal sepertimana yang berlaku dalam kes penahanan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan Matthias Chang,” katanya.

Susulan itu Muhyiddin berkata, pemimpin UMNO perlu bangkit mempertahankan hal ini dan tidak harus berdiam diri.

“Apakah pemimpin UMNO harus berdiam diri dalam hal ini dan bersekongkol dengan para petualang? Janganlah dibiarkan jiwa perjuangan yang mengalir dalam darah setiap pejuang UMNO dibeli dengan harga yang murah.

“Adalah menjadi tanggungjawab setiap pejuang UMNO untuk bangkit menentang penyelewengan dan perompakan harta negara oleh pihak-pihak tertentu.

“Barulah UMNO akan disegani dan dihormati oleh rakyat seluruhnya dan diberkati perjuangannya oleh Allah,” katanya.

yahudi-tppa (1)

Beliau turut menyelar tindakan pihak berkuasa mendakwa individu berkenaan mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan apabila membuat laporan berhubung dakwaan salah laku 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, tindakan mereka membuat laporan kepada pihak berkuasa di dalam dan luar negara tidaklah boleh dikatakan sebagai satu tindakan sabotaj mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan iaitu satu kesalahan keselamatan yang membolehkan penggunaan SOSMA.

“Bukankah mereka sekadar melaksanakan tanggungjawab sebagai warganegara yang prihatin? Adakah 1MDB terlalu kebal sehinggakan pihak yang mengkritik dan membuat laporan terhadapnya didakwa di mahkamah?

“Seorang yang berfikiran waras pastinya akan bertanya siapakah yang sebenarnya mensabotaj sistem perbankan dan perkhidmatan kewangan negara?

“Adakah orang yang membuat laporan kepada pihak berkuasa supaya menyiasat dakwaan salah laku 1MDB atau orang yang mengakibatkan berbillion ringgit wang rakyat dalam 1MDB lesap?,” soalnya melalui status yang dimuat naik di Facebook beliau hari ini.

Semalam, Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali mengesahkan Khairuddin dan Mathias Chang didakwa mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan kerana cubaan sabotaj sistem kewangan negara dan perbankan Malaysia.

Tuduhan itu disabitkan apabila sebelum ini mereka membuat laporan mengenai 1MDB kepada pihak berkuasa Perancis, Hong Kong, Singapura, United Kingdom dan Switzerland.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian