Bencana datang jika tak laksana undang-undang syariah: MUIS
BANGI, Jumaat – “Kalaulah benar mereka ingin menolak bencana, maka yang patut ditentang bukannya gabungan undang-sivil dan syariah, sebaliknya mereka perlu tentang gerakan LGBT, syiah, kristianisasi, budaya hidonisme barat dan penyebaran Islam liberal,” kata Pegawai Majlis Ulama Isma (MUIS), Ustaz Muhammad Firdaus Zalani.
Beliau berkata demikian membidas tuduhan Pengasas Islamic Renaissance Front (IRF), Datuk Dr Ahmad Farouk Musa yang menganggap usaha mengharmonikan undang-undang sivil dan syariah di negara ini akan mendatangkan bencana.
Ustaz Firdaus berkata, apa yang diperkatakan Farouk langsung tidak mempunyai asas sekaligus menunjukkan dia jahil akan sumbangan undang-undang dan mungkin juga dia tidak mengetahui intipati sebenar kepada undang-undang ini.
Katanya, kalaulah mereka ingin menolak bencana maka yang patut ditentang adalah gerakan fahaman LGBT, fahaman syiah, kristianisasi, budaya hidonisme barat, penyebaran fahaman Islam liberal dan banyak perkara lagi yang secara jelas dan pasti akan membawa bencana kepada kita semua.
“Namun malangnya mereka jugalah pejuang kepada fahaman-fahaman yang bakal mengundang bencana ini,” katanya kepada Ismaweb.
Farouk hari ini mendakwa undang-undang syariah yang dilaksanakan di Malaysia sekarang ini tidak menyerlahkan keindahan.
“Syariah, seperti diterjemahkan ramai ulama terkenal dunia, meliputi bukan sahaja hudud atau undang-undang keluarga, tetapi memelihara agama, harta, keturunan, akal dan nyawa.
“Tetapi jika kita bercakap mengenai undang-undang syariah semasa di Malaysia, terdapat banyak perkara yang tidak menyerlahkan keindahan Islam.
“Oleh itu, jika kita cuba ‘menyelaraskan’ undang-undang syariah yang kita ada, ia akan menjadi satu bencana. Ia hanya akan membawa salah faham dalam masyarakat,” kata Farouk.
Bidas Ustaz Firdaus, sepatutnya kita sebagai seorang muslim hendaklah beriman dan yakin bahawa undang-undang (syariah) Allah adalah yang terbaik untuk manusia bagi menjamin kesejahteraan serta keadilan sejagat.
Katanya, undang-undang Islam bukanlah hanya berkait soal kekeluargaan dan keperibadian, ianya lebih luas daripada hal tersebut meliputi semua perkara samada jenayah (hudud), qisas dan segala perkara undang-undang yang dibuat oleh pemerintah demi maslahat agama, rakyat dan negara itu sendiri (takzir).
“Lalu usaha kerajaan ke arah memperluaskan skop bidang kuasa syariah dalam bentuk diharmonikan sivil dan syariah adalah suatu usaha yang lebih baik daripada sebelum ini di mana syariah hanya tersekat pada perkara-perkara kekeluargaan dan peribadi sahaja serta hukuman yang sangat terhad.
“Namun usaha ini hendaklah dilihat dalam kerangka ke arah jangka masa panjang iaitu menjadikan undang-undang syariah sebagai undang-undang utama bagi negara ini kelak iaitu selari dengan sejarah tanah Melayu ini seperti di zaman Melaka.
“Pada waktu itu, kesejahteraan serta keadilan seksama dapat dinikmati hasil berdirinya undang-undang ini,” katanya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan