Jerebu tebal dijangka reda sementara sehingga Ahad ini

jerebu (1)

PUTRAJAYA, Selasa — Jerebu tebal yang melanda negara ini dijangka reda sehingga Ahad ini berikutan keadaan cuaca lebih lembap dan tiupan angin lemah di rantau ini, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata Ribut Tropika Mujigae, yang memasuki kawasan daratan dan kini berada dalam lingkungan 500 kilometer ke arah barat Guangzhou, China, menyebabkan angin lemah dan bertiup pelbagai hala di rantau ini.

Katanya keadaan cuaca lembap di seluruh negara akan disertai dengan hujan dan ribut petir di satu atau dua tempat pada sebelah petang dan senja.

“Dijangka dari sekarang sehingga Ahad ini, Semenanjung Malaysia tidak akan mengalami jerebu.

“Namun, Sarawak dijangka mengalami keadaan jerebu bermula esok hingga Jumaat tetapi keadaan itu akan berkurangan apabila perubahan tiupan angin bermula Sabtu ini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas mengenai jerebu di sini, hari ini.

Masalah jerebu, yang berpunca daripada kebakaran ladang dan hutan di Indonesia, akan berakhir pada penghujung November ini, katanya.

Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata kementerian akan merangka rang undang-undang bagi mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang mencetuskan jerebu berdasarkan Bidang Kuasa Luar Wilayah.

“Undang-undang itu tidak banyak bezanya dengan undang-undang yang diwartakan di Singapura…kita akan membuat penambahbaikan apabila kita merangka undang-undang itu nanti,” katanya.

Beliau turut menafikan laporan bahawa undang-undang telah dirangka dan ia membolehkan Malaysia mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang mencetuskan jerebu termasuk syarikat dimiliki negara asing.

Singapura telah mewartakan Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan 2014 dan menggunapakainya tahun ini, yang membolehkan republik itu bertindak terhadap syarikat milik negara itu yang terbabit dengan kebakaran di Indonesia.

Sementara itu, Wan Junaidi juga mengedarkan topeng hidung dan mulut kepada pengguna-pengguna lebuh raya dan penunggang motosikal di Plaza Tol Maju Expressway (MEX) Putrajaya dalam usaha menggalakkan mereka menjaga kesihatan semasa jerebu.- Bernama

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian