KPDNKK senarai 18 barangan skim kawalan harga sempena Deepavali
KUALA LUMPUR, Jumaat – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyenaraikan 18 jenis barangan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan bersempena Deepavali yang akan disambut 10 Nov ini.
Menterinya Datuk Hamzah Zainuddin berkata skim kawalan harga itu berkuat kuasa selama 10 hari dari 5 hingga 14 Nov.
“Antara barangannya adalah ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, B dan C, daging kambing tempatan bertulang, daging paha kambing biri-biri import bertulang, daging paha kambing biri-biri import tanpa tulang, daging paha kambing biri-biri import bertulang.
“Tomato, cili merah, kelapa biji, kelapa parut, bawang merah kecil (India), bawang besar import, ubi kentang (China) dan kacang dal (Australia),” katanya pada sidang media pengumuman senarai barangan itu, di sini hari ini.
Beliau berkata harga yang ditetapkan berdasarkan pemantauan harga di semua daerah di seluruh negara sepanjang tahun 2014, pandangan pelbagai agensi kerajaan dan perbincangan dengan pengeluar, pengimport, pembekal serta pemborong barangan tersebut.
Beliau berkata peniaga diwajibkan menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum yang ditentukan dan meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu bagi membezakan dengan barangan lain.
Bagaimanapun, Hamzah berkata peniaga digalakkan untuk menjual barangan tersebut lebih rendah daripada harga maksimum sekiranya barang itu diperoleh pada harga lebih rendah.
Beliau berkata skim itu dilaksanakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 dan penjara tidak melebihi tiga tahun bagi individu serta denda RM500,000 atau kompaun sehingga RM50,000 bagi syarikat yang gagal mematuhi harga ditetapkan.
Hamzah berkata bagi individu yang gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal pula boleh didenda sehingga RM10,000 atau kompaun sehingga RM5,000 manakala bagi syarikat didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.
Beliau menegaskan KPDNKK melalui 2,300 anggota penguat kuasa di seluruh negara akan melaksanakan pemantauan dengan agresif bagi melindungi pengguna daripada aktiviti pengambilan keuntungan yang berlebihan oleh peniaga tidak beretika.
Pengguna dan peniaga boleh membuat semakan harga barangan di laman web KPDNKK di www.kpdnkk.gov.my.- Bernama
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan