Pengasas IRF dakwa bencana menimpa jika undang-undang sivil, syariah diharmonikan
BANGI, Jumaat – Pengasas Islamic Renaissance Front (IRF), Datuk Dr Ahmad Farouk Musa menganggap usaha mengharmonikan undang-undang sivil dan syariah di negara ini akan mendatangkan bencana.
Beliau mendakwa undang-undang syariah yang dilaksanakan di Malaysia sekarang ini tidak menyerlahkan keindahan.
Sambil memberikan contoh kesukaran dihadapi wanita Islam dalam kes cerai atau tuntutan nafkah, beliau menyifatkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai perkara itu adalah langkah untuk menarik pengundi Melayu dan Islam.
“Syariah, seperti diterjemahkan ramai ulama terkenal dunia, meliputi bukan sahaja hudud atau undang-undang keluarga, tetapi memelihara agama, harta, keturunan, akal dan nyawa.
“Tetapi jika kita bercakap mengenai undang-undang syariah semasa di Malaysia, terdapat banyak perkara yang tidak menyerlahkan keindahan Islam.
“Oleh itu, jika kita cuba ‘menyelaraskan’ undang-undang syariah yang kita ada, ia akan menjadi satu bencana. Ia hanya akan membawa salah faham dalam masyarakat.
“Orang bukan Islam khususnya akan melihat syariah seperti menceroboh dalam kehidupan mereka. Ia tidak mewujudkan keharmonian,” katanya seperti dilaporkan The Malaysian Insider yang menyifatkan beliau seorang aktivis Islam.
Ahmad Zahid sebelum ini dilaporkan berkata Malaysia kini dalam proses ‘mengharmonikan’ undang-undang sivil dan syariah.
Dr Farouk berkata, jika kerajaan ikhlas mengukuhkan Islam dan undang-undang syariah, ia perlu menumpukan usaha memastikan syariah di Malaysia mencerminkan maksud sebenar perkataan itu.
Beliau juga melihat kerajaan tidak ikhlas dalam menegakkan undang-undang syariah di negara ini.
“Saya tidak melihat apa-apa keikhlasan dalam kerajaan, kerana saya tidak melihat sebarang peningkatan dalam undang-undang syariah semasa kita.
“Jika kita tidak dapat melaksanakan undang-undang asas keluarga, bagaimana kita boleh mengharapkan mereka secara betul dapat menyelaraskan undang-undang syariah dan sivil?,” katanya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan