Ringgit diunjur cecah RM4.45-RM4.50 jika China terus turunkan renminbi
KUALA LUMPUR, Selasa – Ringgit diunjur diniagakan antara RM4.45 dan RM4.50 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir tahun ini jika China, yang juga ekonomi kedua terbesar dunia mengulangi langkah menurunkan nilai mata wangnya.
Unit tempatan itu yang susut 16 peratus setakat tahun ini, diniagakan pada 4.1780 dan 4.1850 berbanding dolar AS, pagi ini.
Bagaimanapun, kata Pengarah/Ketua Penyelidikan Pasaran Kewangan Asia Pasifik Rabobank, Michael Every, ringgit tidak akan berdepan tekanan jika China tidak menurunkan renminbi menjelang akhir tahun ini.
Mengenai sama ada penurunan nilai renminbi itu memberi kesan lebih ketara berbanding kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan AS (FED), beliau menyifatkan kedua-dua faktor itu sama pentingnya.
“Jika pihak FED menaikkan kadar faedah, makan kesannya amat ketara. Namun pada masa sama, kita tidak boleh mengetepikan kepentingan China, khususnya di Asia dan kepada pengeluar komoditi seperti Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada wartawan di luar Forum Perniagaan Eksklusif Rabobank di sini, hari ini.
Malah, kata Every, harga komoditi akan terjejas teruk berikutan kelembapan dalam pasaran China.
Jelasnya, penurunan nilai mata wang China itu juga akan menjejaskan mata wang lain Asia, terutamanya Malaysia selaku pengeksport komoditi.
“Harga minyak mentah akan terus susut US$20 setong jika China memutuskan untuk sekal lagi menurunkan mata wangnya,” katanya.
Sehubungan itu, Every menyarankan semua pihak untuk akur dan menerima hakikat bahawa kelemahan pasaran kini menjadi satu kelaziman baharu.
“Bagi saya, semua perlu maklum dan memahami bahawa persekitaran yang lemah pada hari ini adalah sesuatu yang biasa.
“Malangnya, bukan saja Malaysia, tetapi negara lain turut mengalaminya. Banyak negara lain yang turut terjejas dan inilah hakikat yang perlu kita hadapi bagi tempoh beberapa tahun akan datang,” katanya. — Bernama
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan