Rusia buat kesilapan besar di Syria: Erdogan
ANKARA, Isnin – Kempen pengeboman Rusia di Syria adalah kesilapan besar, kata Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.
Bercakap kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Esenboga sebelum berlepas ke Perancis semalam, Erdogan berkata Turki menolak tindakan itu.
“Saya jangka langkah ini akan menyebabkan Rusia diasingkan di rantau ini,” kata Erdogan.
Rusia memulakan serangan udara pada Rabu lepas untuk membantu rejim Bashar Al-Assad.
Moscow mendakwa serangan itu hanya menyasarkan kumpulan militan IS dan kumpulan pengganas berkaitan.
Sebaliknya negara-negara lain melihat serangan bom itu menjadikan orang awam sebagai sasaran.
“Apakah yang mahu dicapai oleh Rusia? Di sana Assad sedang lakukan keganasan, malangnya Rusia dan Iran menyokong individu ini.
“Negara-negara yang berpakat dengan rejim Assad akan dihukum oleh sejarah,” katanya lagi.
Sementara itu, Erdogan turut mempersoalkan berapakah bilangan pelarian Syria yang mendapat perlindungan di Rusia dan Iran.
“Turki sudah menyambut dua juta pelarian Syria sejak perang Mac 2011.
“Sehingga hari ini, Turki telah belanja sebanyak 7.5 bilion dolar AS untuk pelarian,” katanya.
Selain itu, Erdogan mengulangi cadangannya supaya diwujudkan satu zon selamat di utara Syria.
“Wajib ada kawasan yang dilarang penerbangan. Jika tidak, kawasan itu akan terbuka kepada pembunuhan,” katanya. – Agensi
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan