‘Sistem beg sembilan bulan’ untuk hadapi banjir: JPAM
BENTONG, Jumaat – Melihat situasi mangsa banjir yang kebiasaannya hanya sehelai sepinggang dan terpaksa kelaparan sebelum bantuan tiba di pusat pemindahan, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) tampil memperkenalkan ‘sistem beg sembilan bulan’.
Ketua Pengarah JPAM Datuk Zaitun Ab Samah berkata, inisiatif itu antara langkah yang diatur oleh jabatan dalam menghadapi banjir tahun ini selaku agensi yang diamanahkan untuk menerajui pengurusan bencana.
“Lazimnya kita dapati mangsa banjir mudah panik apabila air naik secara tiba-tiba di rumah menyebabkan mereka tidak sempat menyelamatkan barangan termasuk dokumen penting dan datang ke pusat pemindahan hanya sehelai sepinggang sahaja.
“Jadi kita perkenalkan sistem ini dengan mengambil konsep persiapan orang hendak bersalin yang beg dipersiapkan dengan barangan yang diperlukan dan hanya perlu dicapai apabila tiba masanya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas majlis penyampaian pangkat dan watikah Pegawai Bersekutu Pertahanan Awam kepada Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia yang juga pemilik eco-resort Tanah Aina Resort Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil di sini.
Pada majlis itu, Tanah Aina Resort turut menyumbangkan sebuah bot penyelamat untuk kegunaan JPAM.
Zaitun berkata bagi mempromosikan inisiatif itu, anggota JPAM telah turun padang dan bertemu dengan penduduk serta ketua kampung di kawasan yang berisiko dinaiki air untuk menerangkan tentang kepentingan persiapan awal tersebut.
“Dalam beg berkenaan kita minta mereka letak sepersalinan pakaian, makanan ringan yang boleh mengalas perut sebelum bantuan tiba seperti biskut, lampin pakai buang khusus untuk bayi dan wanita serta dokumen penting,” katanya.
Dalam pada itu, Zaitun berkata sebagai persediaan menghadapi banjir, JPAM bersedia menggerakkan 11,000 anggota dan asetnya dalam tempoh tiga jam.
“Daripada aspek logistik JPAM mempunyai sebanyak 95 buah lori pelbagai muatan, 152 buah kenderaan pacuan empat roda dan 245 buah bot dengan jumlah keanggotaan 850,000 sukarelawan JPAM yang berada di seluruh negara pada masa kini,” katanya.
Katanya, selain itu JPAM juga akan menempatkan anggotanya bertugas di pusat-pusat pemindahan banjir untuk menyelaras aktiviti memasak bagi mangsa banjir serta mengendalikan aktiviti untuk kanak-kanak. – Bernama
Ulasan
Catat Ulasan