TARBIYYAH: Kenapa kena puasa 9 dan 10 Muharram?
KEBIASAANNYA bagi orang Melayu, hari 10 Muharram disambut dengan amalan berpuasa dan membuat jamuan bubur Asyura.
Akan tetapi, sebenarnya terdapat hadis yang menyebut Nabi Muhammad SAW berniat untuk berpuasa pada 9 Muharram juga.
(Dalam bahasa Arab, 9 Muharram dipanggil Tasu’aa dan 10 Muharram dipanggil Asyuraa)
Dalam hadis sahih riwayat Abu Daud ra, telah berkata Abdullah ibn Abbas ra, ketika Rasulullah berpuasa pada 10 Muharram dan menyuruh para sahabat berpuasa pada hari itu, para sahabat berkata, “Hari itu (10 Muharram) diagungkan oleh Yahudi dan Nasrani.” Nabi Muhammad pun berkata, “Kalau begitu, jika diizinkan Allah kita berpuasa pada hari 9 Muharram.” Tetapi Rasulullah telah wafat sebelum datang tahun berikutnya.
Imam Syafie ra ketika menghuraikan hadis ini berkata, disunatkan berpuasa pada hari 9 dan 10 Muharram kerana baginda berpuasa pada 10 Muharram dan baginda berniat untuk berpuasa pada 9 Muharram.
Ketika ditanya apakah hikmat berpuasa 9 dan 10 Muharram, Imam Nawawi ra berkata, Nabi Muhammad mahu umat Islam melakukan ibadah yang bercanggah dengan Yahudi dan Nasrani.
Syeikhul Islam Imam Ibnu Taimiyah ra pula berkata, baginda Nabi SAW melarang umatnya tasyabbuh (menyerupai) Ahli Kitab dalam amalan hari Asyura.
Berdasarkan dalil-dalil di atas, jelaslah kepada kita Nabi menggalakkan kita untuk berpuasa pada 9 dan 10 Muharram.
Satu pengajaran yang kita perolehi ialah menyanggahi amalan Yahudi dan Nasrani termasuk dalam soal ibadah adalah digalakkan dalam Islam.
Namun, tidaklah sampai ke tahap haram jika berpuasa pada 10 Muharram sahaja. Menurut Ibnu Taimiyyah dalam kitab Majmuk Fatawa Jilid 5, adalah dibolehkan berpuasa pada 10 Muharram sahaja tanpa diawalkan dengan puasa 9 Muharram.
Soalan yang penting untuk ditanya, apakah kelebihan hari Asyura (10 Muharram)?
Jawabnya ialah pada hari itu diselamatkan Nabi Musa daripada dikejar oleh Firaun dan tenteranya. Disebabkan peristiwa besar itu, Nabi Musa pun berpuasa sebagai tanda kesyukuran kepada Allah yang menyelamatkannya dengan mukjizat membelah lautan.
Oleh kerana itu, orang Yahudi dan Nasrani berpuasa pada 10 Muharram manakala umat Islam digalakkan berpuasa pada 9 dan 10 Muharram supaya tidak dianggap meniru amal ibadah Yahudi dan Nasrani.
Abu Nizar
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan