TARBIYYAH: Silap faham ayat ‘La Ikraha Fiddin’
Telah berkata Syeikh Muhammad Soleh Al-Munajjid Hafizahullah:
Firman Allah Taala ‘La Ikraha Fiddin’ (Al-Baqarah, ayat 256), tidak menafikan perintah memerangi orang musyrikin yang menolak agama Allah, dan berbuat kerosakan di muka bumi dengan menyebarkan kekufuran, kesyirikan dan kerosakan. Memerangi mereka adalah sebesar-besar amal kebajikan yang boleh memakmurkan bumi Allah, dan memberikan keamanan dan ketenangan.
Seperti firman Allah ‘Qaatiluhum hatta la takuna fitnah’ (Al-Anfaal, ayat 39).
Syeikh berkata demikian ketika menjawab soalan seorang pembaca yang berbunyi:
Seolah-olah terdapat percanggahan antara ayat ‘La ikraha fiddin’ (Tak boleh paksa orang kafir masuk Islam) dengan ayat ‘Lanukhrijannahum minha wahum soghirun’ (Nabi Sulaiman berkata kepada Balqis dan tenteranya, Kami akan keluarkan mereka daripada negara mereka dalam keadaan mereka tunduk kepada kerajaan Nabi Sulaiman – Dengan maksud Nabi Sulaiman seolah-olah memaksa Balqis dan tenteranya memeluk agamanya)
Adapun maksud ayat ‘La Ikraha Fiddin’ ialah:
Disebabkan jelasnya agama ini, dan wujud banyak bukti kebenarannya dan hujah-hujah yang tak boleh dipatahkan, maka adalah tidak perlu memaksa seseorang bukan Islam memeluk agama Islam.
Sesiapa yang terbuka hatinya melihat hakikat Islam, dia tidak akan sombong dan bongkak, lalu dia akan memeluk agama Islam dengan penuh ketundukan dan kepatuhan.
Adapun orang yang sombong, bongkak dan membesar diri, dia tidak akan reda dengan Allah sebagai Rabbnya, dia tidak akan reda dengan Nabi Muhammad sebagai Rasulnya, dan tidak akan reda dengan Al-Quran sebagai imamnya.
Disebabkan itulah, diperintahkan memerangi orang musyrikin kerana batilnya pegangan mereka dan kerana sombong dan bongkaknya mereka di bumi Allah ini.
Abu Nizar
Rujukan: Laman web soal jawab agama Islamqa.info
Ulasan
Catat Ulasan