Vape bukan aspirasi anak muda, kata Pemuda Isma kepada menteri
BANGI, Sabtu – Pemuda Isma hari ini membidas pendirian Kabinet yang tidak mahu mengharamkan vape atau rokok elektronik.
Timbalan Ketua Pemuda Isma, Mohd Zul Alwi Mat Adam turut menyelar kenyataan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub bahawa keputusan Kabinet adalah selari dengan aspirasi anak muda.
“Bagi saya Datuk Seri Ismail tersilap. Vape bukan aspirasi anak muda, begitu juga rokok. Majoriti anak muda hari ini benci kepada vape dan rokok.
“Jadi nak kata kerajaan memenuhi aspirasi anak muda adalah tidak betul,” katanya ketika dihubungi Ismaweb hari ini.
Katanya, keputusan membenarkan penggunaan vape hanya sekadar meraikan kehendak orang muda tanpa mengendahkan agenda pembangunan umat.
Mohd Zul Alwi juga mendesak pihak kerajaan meneliti semula keputusan tersebut supaya ia selari dengan fatwa.
“Keputusan yang dikeluarkan menteri hari ini jelas bersikap populis, tidak endah dengan pembangunan umat.
“Mereka hanya lihat dari sudut ekonomi dan ingin merai kehendak orang muda,” katanya.
Katanya, kegilaan vape dalam kalangan masyarakat terutama golongan muda dilihat sebagai gejala yang tidak sihat.
“Kerajaan tidak wajar ikut kehendak mereka (anak muda).
“Ia sudah menjadi trend budaya tidak sihat dan budaya sosial termasuk golongan remaja serta wanita dan bukan lagi dilihat sebagai alternatif untuk mereka yang mahu berhenti merokok,” katanya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan