Barat Berurusan dengan Sesebuah Kerajaan untuk Kuasai Umat Islam
Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
KUALA LUMPUR, Jumaat – Setiausaha Agung KL Summit, Dr Abdul Razzaq Maqri berkata, kuasa Barat kini berurusan dengan kerajaan sesebuah negara Islam untuk menguasai umatnya.
“Demokrasi Barat… kita dapat lihat kesannya sekarang. Salah satu bencana yang paling besar masa kini adalah pihak yang berkuasa ke atas segala-galanya sekarang adalah penindas dan penceroboh,” katanya berucap pada perasmian KL Summit, hari ini.
Katanya, kuasa dunia sudah bersetuju bahawa tidak ada mana-mana model yang boleh menjadi tamadun kerana mereka gentar ia akan menjadi contoh kepada manusia.
Oleh itu, katanya, dapat dilihat bahawa Barat menubuhkan rejim yang tidak telus di negara-negara Arab bagi memusnahkan ideologi Islam dengan mewujudkan keganasan dan ekstremisme.
“’Tangan-tangan mereka yang ‘berdosa’ membunuh mimpi kita,” kata Abdul Razzaq.
Beliau berkata, permasalahan umat Islam ini tidak dapat diselesaikan dengan hanya mengadu, melatah atau sebagainya.
Beliau menyeru supaya umat Islam bangun untuk menyelesaikan masalah dari pihak bawah sehingga pihak atasan.
“…Dan ianya bukan hanya melibatkan beberapa orang tertentu sahaja, tetapi semua, umat Islam keseluruhannya turut terlibat sama dalam usaha ini,” katanya.
Sehubungan itu, KL Summit muncul dalam kalendar ummah bagi menjadi pusat pelbagai pemikiran dan refleksi untuk mewujud dan mengumpulkan ilmu dan idea supaya tindakan diambil berjaya dan menjurus kepada kemenangan.
Anggota Kesatuan Ulama Islam Antarabangsa dari Maldives, Sheikh Muhammad Hasan Dadew yang turut memberi ucapan perasmian berharap program ini mampu memberi manfaat kepada umat Islam seluruhnya.
“Saya berharap program hari ini dapat memberikan manfaat yang banyak kepada ummah.
“Program ini bukan sahaja tertumpu kepada isu politik, tetapi juga isu-isu lain dalam pelbagai bidang contohnya seperti sosial, ekonomi dan akademik,” katanya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan