Cara berdakwah harus menjuarai jiwa pemuda
SEREMBAN, Isnin – Pendakwah disaran menggunakan pelbagai cara yang kreatif bagi memikat hati golongan muda, kata aktivis Ikatan Muslimin Malaysia, sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana, Dr Muhammad Irfan Mohamad Salmi.
Aktivis Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana, Dr Muhammad Irfan Mohamad Salmi, berkata peranan pemuda amat penting dalam kebangkitan Islam dan semangat mereka perlu dipandu.
“Semangat dan kesungguhan ini harus terpandu agar tidak tersasar dan terbazir segala kudrat mereka kerana kita mahukan pemuda-pemuda inilah yang kembali membangkitkan agama ini untuk terus tersebar dan mencurahkan rahmat ke sekalian alam,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada para perserta Persidangan Pendakwah Nasional dalam sesi ‘Dialog Pendakwah Nasional’, di sini, semalam.
Dr Muhammad Irfan mengambil contoh pengalamannya ketika menziarahi Gaza, di mana pendakwah di sana menceritakan bagaimana mereka menarik pemuda untuk ke masjid.
“Syeikh Ahmad Yassin berperanan dalam mengembalikan para pemuda kepada masjid selepas melihat pemuda-pemuda Gaza semakin menjauhi masjid. Beliau menyusun supaya masjid dijadikan medan pemuda berkumpul.
“Segala aktiviti dilakukan di kawasan masjid. Masjid dilengkapi dengan padang bola sepak, tempat-tempat bersukan dan kelas-kelas latihan. Akhirnya hari ni pemuda-pemuda di Gaza kembali memenuhi masjid. Inilah contoh bagaimana pendekatan baharu yang diambil oleh Syeikh Ahmad Yassin dalam usaha untuk mendekati para pemuda,” katanya.
Katanya, pendekatan dakwah masjid di Malaysia juga mesti menjurus kepada pemuda kerana inilah pemangkin dakwah pada masa hadapan.
“Kita juga sebagai seorang pendakwah seharusnya begitu dengan berusaha untuk mempelbagaikan metode dakwah dan kreatif dalam merencana aktiviti dakwah agar ia dekat di hati para pemuda,” katanya.
Persidangan Pendakwah Nasional adalah program anjuran Biro Dakwah Isma bertujuan membincangkan bagaimana teknik dan bahan terbaik untuk menggencarkan dakwah Islam kepada masyarakat.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan