Masyarakat dahagakan sentuhan pendakwah sebenar
Oleh Nukman Mazlan
SEREMBAN, Ahad – Pendakwah khususnya graduan pengajian Islam diseru supaya lebih proaktif mengambil peranan mendekati masyarakat dalam menyampaikan seruan dakwah.
Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) _ sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana, Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni, berkata masyarakat sememangnya menantikan kehadiran pendakwah kerana sikap mereka yang suka kepada kefahaman terhadap Islam.
“Masyarakat hari ini ingin mendengar penceramah yang menyampaikan mesej yang jelas, berilmiah, sahih dan membasahi jiwa mereka.
“Mereka sudah muak dan telah mula menolak penceramah yang datang tidak bersedia serta menjadikan masjid hanya sebagai pentas lawak jenaka,” katanya ketika merasmikan penutupan Persidangan Pendakwah Nasional yang menghimpunkan pendakwah-pendakwah Isma.
Katanya, pendakwah Isma harus terus mengambil kesempatan yang ada kerana masjid adalah pintu masuk utama untuk berada bersama masyarakat.
“Mana-mana gerakan Islam yang meninggalkan masjid dan surau, maka mereka akan ketinggalan.
“Pendakwah Isma yang berpengalaman luas dalam pelbagai bidang mestilah segera mengambil pentas dan menempatkan diri,” katanya.
Persidangan Pendakwah Nasional anjuran Biro Dakwah Isma bertujuan membincangkan bagaimana teknik dan bahan terbaik untuk menggencarkan dakwah Islam kepada masyarakat.
Pada majlis yang sama, Ustaz Muhammad Fauzi turut menyampaikan anugerah Cawangan Biro Dakwah Isma Terbaik 2015 kepada Ketua Biro Dakwah Isma Kota Bharu, Ustaz Abdul Rahman Iskandar di atas usaha dakwah Islam di seluruh negeri Kelantan untuk sepanjang tahun.
Di samping berperanan di lebih 35 buah masjid seluruh Kelantan, Biro Dakwah Isma Kota Bharu juga memberikan peluang kepada agensi-agensi Isma seperti Kelab Remaja Isma (KRIM), Kelab Anak-Anak Hebat (NAZIM), Yayasan Ikhlas dan IMedik untuk turut serta memberikan khidmat kepada masyarakat.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan