Masyarakat Dahagakan Sentuhan Pendakwah Sebenar
Oleh Ahmad Nu’man Mazlan
SEREMBAN, Ahad – Para pendakwah khususnya graduan pengajian Islam diseru supaya lebih proaktif mengambil peranan mendekati masyarakat dalam menyampaikan seruan-seruan dakwah.
“Masyarakat sememangnya menanti-nanti kehadiran para pendakwah kerana sikap mereka yang suka kepada kefahaman terhadap Islam.”
Demikian kata Ust Hj Mohd Fauzi Asmuni ketika merasmikan penutupan Persidangan Pendakwah Nasional yang menghimpunkan pendakwah-pendakwah ISMA.
“Masyarakat hari ini ingin mendengar penceramah yang menyampaikan mesej yang jelas, berilmiah, sahih dan membasahi jiwa-jiwa mereka. Mereka sudah muak dan telah mula menolak penceramah yang datang tidak bersedia serta menjadikankan masjid hanya sebagai pentas lawak jenaka.”
Justeru pendakwah ISMA harus terus mengambil kesempatan yang ada kerana masjid merupakan pintu masuk utama untuk berada bersama masyarakat. Mana-mana gerakan Islam yang meninggalkan masjid dan surau, maka mereka akan ketinggalan, ulas beliau.
“Pendakwah ISMA yang berpengalaman luas dalam pelbagai bidang mestilah segera mengambil pentas dan menempatkan diri”.
Persidangan Pendakwah Nasional merupakan persidangan anjuran Biro Dakwah ISMA untuk bersama berbincang dan bermuzakarah bagaimana teknik dan bahan terbaik untuk menggencarkan dakwah Islam kepada masyarakat.
Dalam majlis yang sama, ISMA Kota Bharu dinobatkan sebagai Cawangan Biro Dakwah ISMA Terbaik 2015, atas usaha dakwah Islam di seluruh negeri Kelantan sepanjang tahun. Di samping berperanan di lebih 35 buah masjid seluruh Kelantan, Biro Dakwah ISMA Kota Bharu juga memberikan peluang kepada agensi-agensi ISMA seperti KRIM, NAZIM, Yayasan Ikhlas dan IMedik untuk masuk memberikan khidmat mereka dalam masyarakat.
Anugerah disampaikan Ust M Fauzi kepada Ketua Biro Dakwah ISMA Kota Bharu, Ust Abdul Rahman Iskandar, mewakili YDP Ust Nik A Rahim Nik A Aziz.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan