Melayu sekali lagi digesa bangkit sekat ultra kiasu sebelum terlambat
Oleh Siti Fatimah Ishak
BANGI, Isnin – Pendakwah bebas, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah sekali menyeru umat Islam untuk bangkit bersatu menyekat kemaraan puak ultra kiasu yang lantang bersuara tanpa menghiraukan kedudukan Islam, Raja Melayu, bangsa dan bahasa Melayu serta hak keistimewaan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.
Tidak menolak kemungkinan Malaysia bakal kehilangan identiti negara Melayu, beliau berkata, psywar dan psyop ultra kiasu menggunakan ruang dan peluang yang ada secara strategik dan terancang untuk melakukan perkara tersebut.
“Apakah tidak perlu ada langsung identiti? Malang sungguh negara ini yang asal-usul berasaskan sistem kenegaraan Melayu, identiti hilang begitu sahaja, disebabkan oleh tangan-tangan jahat. Akhirnya, kita rugi, ultra kiasu untung besar dan menjadi semakin bongkak.
“Wakil-wakil mereka berada merata tempat, dalam kerajaan, luar kerajaan. Lihatlah bagaimana mereka memanipulasikan isu Jakim, BM vs bahasa Inggeris (BI), sehinggakan negara ini seolah-olah tidak ada Perlembagaan.
“Apa sudah jadi dengan Melayu? Justeru, bangunlah wahai umatku, sekat kemaraan mereka ini sebelum terlambat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam tulisan terbarunya bertajuk ‘Uruslah perbezaan dengan segera’ yang disiarkan Sinar Harian hari ini.
Sambil mengingatkan bahawa komposisi Melayu ada 50 peratus di negara ini, Prof Ridhuan Tee berkata, negara tercinta ini mesti dielakkan daripada jatuh ke tangan puak ultra kiasu.
Katanya, jika puak-puak ini berkuasa nanti, jawatan penting akan dibolot adalah Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Menteri Kerjaraya, Menteri Kesihatan, Menteri Luar dan lain-lain kementerian strategik.
“Segala polisi mereka yang tentukan seperti Pulau Pinang.
“Lebih dari itu, negara ini akan menjadi semakin sekular. Akan bermaharajalelalah segala kemungkaran dan kemaksiatan.
“Bahkan agensi Islam yang sedang beroperasi seperti Jakim, Yadim, Yapeim, jabatan agama dan lain-lain berkaitan dengan Islam tidak mustahil akan ditutup.
“Dalam masa yang sama peruntukan sekolah-sekolah agama akan dikurangkan. Begitu juga dengan masjid dan surau. Akan melambaklah lagi rumah ibadat bukan Islam dikatakan masih tidak cukup, walaupun di kawasan yang sangat minoriti,” katanya.
Selain itu katanya, tidak mustahil dengan kuasa yang ada pada ultra kiasu ini maka lebih banyak sekolah jenis kebangsaan, sekolah persendirian dan sekolah antarabangsa akan dibina.
“UEC diiktiraf tanpa syarat. Mereka akan masuk dalam semua perkhidmatan kerajaan, meskipun gagal Bahasa Melayu. Ketika itu, orang Melayu menggigit jari.
“Bahasa Melayu akan pupus, kerana bagi mereka tidak penting. Bahasa Inggeris dan bahasa ibunda sahaja yang penting. Lihatlah kenyataan ultra kiasu Sarawak dalam Parlimen.
“Antara lain ultra kiasu akan terus membina banyak rumah sehingga tidak mampu dibeli oleh orang Melayu. Jika adapun yang mampu, Melayu mengambil keputusan berhijrah. Lihatlah taman perumahan hari ini, berapa ramai Melayu yang ada daya tahan tinggal di sana.
“Dan akhirnya, mereka akan berpakat dengan ultra kiasu negara jiran, untuk menghenyak orang Melayu agar tidak boleh bangun lagi,” katanya.
Prof Ridhuan Tee mengakui memang sukar menyatukan Melayu, namun tidak mustahil perkara itu boleh berlaku jika Melayu pandai mengurus perbezaan.
“Pada saya, politik Pas, Umno dan segelintir Melayu PKR, mutakhir ini semakin matang. Kenal siapa kawan dan lawan. Perkara ini juga hendaklah berlaku dalam jabatan kerajaan dan NGO Melayu. Bila saya sebut Melayu itu bermaknanya orang Islamlah. Jangan tuduh saya lebih Melayu dari Melayu. Tidakkah kita mengambil iktibar bagaimana kedutaan Amerika mengumpul orang-orang tertentu berjumpa Obama?
“Lawan sebenar kita adalah ultra kiasu. Saya tidak merujuk ultra kiasu ini kepada orang Cina. Tetapi kepada mereka yang mahu menghancurkan Melayu dan Islam, dan perkara berkaitan dengannya,” katanya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan