Skim Sewa Beli rumah pertama bermula tahun depan
KUALA LUMPUR, Isnin – Skim Sewa Beli akan dilaksanakan oleh kerajaan mulai tahun hadapan khusus bagi mereka yang mempunyai masalah dalam mendapatkan pinjaman daripada pihak bank.
Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohd Sadique berkata skim ini hanya layak dimohon oleh rakyat Malaysia yang berpendapatan RM2,500 dan ke bawah.
“Skim ini dijangka akan dilaksanakan pada tahun hadapan dan akan membantu mereka untuk membeli rumah mampu milik yang pertama,”
“Unit-unit rumah yang dijual setelah keputusan dibuat oleh kementerian, kementerian akan laksanakan skim untuk memberi kemudahan kepada mereka yang tidak mampu untuk membuat pinjaman dan pada mereka yang mempunyai masalah untuk mendapatkan pinjaman daripada bank,” katanya yang dipetik dari portal BNBBC hari ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa kerajaan setakat ini tidak bercadang untuk menjual rumah mampu milik yang disewakan.
“Dasar kementerian memang tidak akan menjual mana-mana rumah mampu milik di kawasan bandar untuk pastikan supaya bekalan dan inventori rumah PPR di kawasan bandar akan sentiasa ada bagi memenuhi keperluan rakyat yang sebelum ini tinggal di kawasan setinggan dan berpendapatan rendah,”
“Ini kerana, masih ramai penyewa di rumah mampu milik tersebut tidak mampu membayar sewa bulanan mengikut tempoh yang ditetapkan dan kerajaan faham akan perkara tersebut.
Halimah berkata demikian bagi menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Jumat Idris sama ada kerajaan bercadang untuk menjual rumah PPR yang sebelum ini disewakan.
“Kita letak harga yang rendah pun, masih ramai lagi yang tidak mampu membayar sewa bulanan, sebab itu kita kekalkan rumah sewa ini bagi memenuhi keperluan mereka yang berpendapatan RM2,500 ke bawah,” katanya.
Penyewa hanya perlu membayar sewa sebanyak RM124 sebulan dan duit tersebut akan disalurkan bagi tujuan penyelenggaraan bangunan berkenaan.
Sementara itu, rumah mampu milik pula dijual dengan harga RM35,000 sebulan bagi Semenanjung dan RM42,000 bagi Sabah dan Sarawak.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan