Tiada tempoh akhir untuk siasat 1MDB
KUALA LUMPUR, Isnin – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berkata tiada tempoh masa yang ditetapkan untuk Pasukan Petugas Khas menyiapkan laporan siasatan berhubung kes syarikat pelaburan bermasalah, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ini berikutan katanya, siasatan itu melibatkan ramai saksi dari dalam dan luar negara.
Bagaimanapun Nancy berkata, Pasukan Petugas Khas masih lagi dalam proses melengkapkan siasatan dan perkara itu hanya akan selesai setelah keterengan kesemua saksi dirakamkan serta dokumen berkaitan diperolehi.
“Memandangkan kes ini melibatkan ramai saksi dan dokumen yang banyak, termasuk berada di luar negara, maka tiada jangka masa ditetapkan untuk penyelesaian kes itu,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen BN-Jelebu, Datuk Zainudin Ismail mengenai status terkini siasatan Pasukan Petugas Khas dan samada laporan itu akan dibentangkan di Parlimen.
Nancy berkata, perkara itu hanya akan diputuskan oleh Peguam Negara sebaik siasatan 1MDB selesai.
“Hasil siasatan Pasukan Petugas Khas itu akan dikemukakan kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan