Tugas Pendakwah Bukan Sekadar Memindah Maklumat
SEREMBAN, Ahad – Pendakwah diseru supaya mempunyai kemahiran untuk mempengaruhi dan memberi inspirasi kepada masyarakat, bukan semata-mata memindahkan maklumat.
Ketua Penerangan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana, Ustaz Mohd Hazizi Abd Rahman berkata kemahiran tersebut adalah asas yang paling penting bagi seorang pendakwah.
“Sebagai pendakwah dan pemimpin, penyampaian yang berkesan bukan semata-mata untuk memindahkan maklumat, tetapi yang lebih penting berperanan untuk mempengaruhi, mengubah cara fikir dan memberi inspirasi.”
Katanya, mesej adalah elemen paling penting yang memainkan peranan tersebut.
“Terdapat puluhan teknik dan petua untuk membuat penyampaian berkesan. Namun teknik dan petua yang banyak itu ibarat puluhan ranting dan daun.”
“Dua tonggak utama bagi penyampaian yang berkesan ialah diri anda dan mesej yang anda ingin sampaikan.”
“Anda adalah mesej, yang pertama sampai ke fikiran hadirin. Sebelum audiens mendengar kata-kata anda, mereka sudah mempunyai persepsi awal terhadap mesej yang mahu anda sampaikan.”
Demikian pesanan yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Hazizi Abd Rahman kepada para perserta Persidangan Pendakwah Nasional dalam pembentangannya ‘Teknik Penyampaian Berkesan’.
Persidangan Pendakwah Nasional adalah program anjuran Biro Dakwah Isma bertujuan membincangkan bagaimana teknik dan bahan terbaik untuk menggencarkan dakwah Islam kepada masyarakat.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan