Tun Dr M sekali lagi gesa ahli, pemimpin UMNO akar umbi tolak Najib
Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, Isnin – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi secara terang-terangan menggesa ahli dan pemimpin UMNO di peringkat akar umbi supaya menolak kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak.
Sambil menyifatkan UMNO kini sudah menjadi milik peribadi Najib, beliau berkata, dengan menyokong Najib mungkin memberi nikmat kepada orang tertentu, namun apabila Barisan Nasional (BN) kalah, semua nikmat itu akan hilang.
“Sebaliknya jika Najib berhenti dari menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri, besar kemungkinan UMNO akan pulih semula dan BN akan menang PRU 14.
“Dengan itu bangsa, negara dan agama akan lebih selamat. Negara akan maju semula dan semua rakyat akan dapat nikmat,” katanya dalam laman blog beliau bertajuk ‘Surat kepada ahli dan pemimpin UMNO akar umbi’, hari ini.
Sehubungan itu, katanya, jika ingin selamat dan menang, ahli dan pemimpin UMNO akar umbi mesti menolak kepemimpinan Najib sebelum Pilihan Raya Umum Ke 14.
Tun Dr Mahathir berkata, beliau menulis dalam blog berikutan sekatan yang ketat dikenakan terhadapnya supaya tidak berjumpa dan bercakap dengan ahli UMNO serta orang awam.
Beliau menggesa ahli dan pemimpin UMNO supaya tidak memberikan sokongan secara membuta tuli kepada Najib.
Katanya, tidak mustahil BN dan UMNO akan berubah menjadi pembangkang sekiranya Najib kekal sebagai Presiden dan Perdana Menteri sekarang ini.
“Sebagai pembangkang tidak akan ada apa-apa yang boleh dibuat oleh UMNO untuk bangsa, negara dan agama.
“Sebaliknya jika Najib berhenti dari menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri, besar kemungkinan UMNO akan pulih semula dan BN akan menang PRU 14,” katanya.
Tun Dr Mahathir yang juga bekas Presiden UMNO berkata, kedudukan UMNO dibawah pimpinan Najib akan memberi peluang kepada parti lawan untuk mengambil kesempatan disebabkan kesilapan pemimpinnya ketika memerintah.
“Bangsa kita akan kutuk kita jika nasib bangsa menjadi buruk kerana kita tamak dan lupakan perjuangan UMNO.
“Dan segala nikmat yang kita dapati akan musnah, bahkan kerajaan parti lawan akan bertindak keatas kesalahan mereka semasa memerintah.
“Semua ini memburukkan nama Malaysia dan merugikan rakyat,” katanya.
Beliau menggariskan beberapa sebab kenapa Najib perlu ditolak. Iaitu:
1. Memperkenalkan slogan Satu Malaysia yang sama dengan Malaysian Malaysia;
2. Penjajah dahulu dilantik sebagai penasihat dan penggunaan konsultan Barat;
3. Penubuhan Pemandu untuk mengganti Unit Perancang Ekonomi;
4. Bayaran gaji kepada badan bukan kerajaan yang amat tinggi;
5. Meletak negara di bawah kehendak Singapura;
6. Meminjam berbillion ringgit yang dilabur sebahagian besar di luar negera;
7. Menubuhkan 1MDB dengan modal pinjaman yang besar, tidak dapat membuktikan di mana modal yang dilabur berada dan gagal membayar faedah hutang. Membeli tanah kerajaan dengan harga yang amat murah, menjual tanah ini kepada institusi kerajaan dengan harga 50 kali ganda lebih tinggi. Wang Tabung Haji diguna secara yang sama, keuntungan yang berlebihan ini diguna untuk menampung kerugian 1MDB;
8. RM2.6 billion ringgit tiba-tiba berada dalam akaun peribadi Najib, kononnya derma dari orang Arab, siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Bank Negara ditamat oleh Najib sebelum tindakan dapat diambil, Pendakwa Raya dibuang, PAC dibubar supaya tidak dapat menyiasat 1MDB;
9. Cara hidup mewah lebih dari kemampuan Perdana Menteri;
10. Gaji minimum dinaikkan sehingga kilang-kilang berpindah ke negara lain dan pekerja hilang pekerjaan;
11. Kejatuhan mata wang dan nilai saham yang teruk;
12. Pelaksanaan cukai GST sehingga peniaga kecil terpaksa tutup kedai, kos sara hidup meningkat, beban bagi rakyat bertambah; dan
13. Sesiapa yang menegur disoal oleh polis, dituduh mensabotaj bank dan kewangan negara dan dimasuk dalam tahanan mengikut undang-undang yang salah.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan