Ahli silat maut tertikam keris bukan ahli Gayong Malaysia
KUALA LUMPUR, Selasa – Remaja yang maut tertikam ketika persembahan silat pada majlis kenduri kahwin di Labuan Sabtu lalu, bukan ahli Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM), sebaliknya dia mewakili silat seni Gayong lain.
Malah, PSSGM juga tidak mengiktiraf persatuan silat berkenaan, kata Yang Dipertuanya, Datuk Adiwijaya Abdullah ketika mengulas kejadian itu, semalam.
Sabtu lalu, seorang remaja berusia 17 tahun, Mohd Amil Zulkarnain meninggal dunia selepas secara tidak sengaja ditikam dengan keris ketika mengadakan persembahan silat pada sebuah majlis kenduri kahwin di Labuan.
Remaja itu dikatakan sedang menunjukkan persembahan silat bersama sepupunya yang juga berusia 17 tahun berserta beberapa pesilat lain ketika kejadian di Kampung Patau-Patau pada waktu tengah hari.
BERITA BERKAITAN: Ahli silat maut tertikam keris ketika persembahan kenduri kahwin
PSSGM turut kesal dengan insiden yang pertama kali berlaku dalam sejarah sepanjang 61 tahun penubuhan silat seni Gayong di negara ini.
“Wakil PSSGM di Labuan mengesahkan bahawa mangsa dan peserta terlibat dengan persembahan itu bukan ahli bawah pertubuhan kami. Tetapi ia membabitkan pertubuhan silat seni gayong lain yang tidak diiktiraf persatuan kami.
“Daripada pakaiannya juga jelas ia bukan seperti mana yang digunakan kami. Salah guna nama dan lambang pertubuhan kami bukan perkara baru, malah ia semakin tidak terkawal sekarang. Jadi apabila berlaku perkara seperti ini, nama pertubuhan kami akan terpalit,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.
Adiwijaya, berkata, penafian yang dibuat bukannya untuk mengelak daripada tanggungjawab, tetapi adalah tidak adil sekiranya insiden itu menyebabkan penggunaan senjata tidak lagi dibenarkan dalam ilmu silat.
“Tidak kena jika mahu dibatalkan penggunaan senjata dalam latihan atau persembahan, kerana kita turunkan ilmu bukan untuk bunuh orang. Tetapi untuk pertahanan diri.
“Bahkan, di peringkat sekolah, pertubuhan kami tidak benarkan penggunaan senjata dalam latihan. Di sini pentingnya peranan guru. Mereka boleh nampak jika permainan melibatkan senjata ini beremosi, dia perlu hentikan,” katanya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan