Kerajaan ganti Tanah Rizab Melayu dengan tanah tak bernilai
Oleh Siti Fatimah Ishak
CYBERJAYA, Isnin – Meskipun kerajaan negeri bersedia untuk mengembalikan semula Tanah Rizab Melayu (TRM) yang tidak diganti namun menjadi pertikaian apabila tanah yang diganti tidak mempunyai nilai kepada pemilik.
Mengakui perkara itu, Ketua Pengarah Jabatan Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG), Dato’ Dr Sallehuddin Ishak berkata sememangnya kerajaan berhasrat untuk menggantikan semula tanah yang diambil dengan tanah yang mempunyai nilai setara di lokasi strategik bagi meneruskan pembangunan orang Melayu, namun kerajaan tidak mampu berbuat demikian.
“Kerajaan tak mampu, kerajaan tiada keupayaan untuk gantikan semula dengan tanah yang baik. Stok tanah yang baik tidak banyak.
“Macam Pahang misalnya, macam mana nak ganti tanah yang ada nilai, sedangkan tanah yang tinggal pun hanya gunung-ganang.
“Walaupun begitu, isu ini pernah dibawa ke hadapan, tetapi perundangan tidak membenarkan. Namun kerajaan tetap akan menggantikan semula Tanah Rizab Melayu yang diambil,” katanya dalam Bicara Halaqah Intelek Siri ke-15 bertajuk ‘Konsep Tanah di Malaysia dan Hubungkaitnya dengan Institusi Kesultanan Melayu’ di Cyberjaya pagi tadi.
Beliau berkata demikian menjawab persoalan yang ditimbulkan apabila melihat kerajaan menggantikan Tanah Rizab Melayu yang langsung tidak memberi manfaat kepada pemilik. Antaranya tanah yang mempunyai nilai rendah, tidak dapat dibangunkan bahkan jauh di pelosok negeri.
Bagaimanapun, Dato’ Dr Sallehuddin berkata tanah yang diganti itu mengikut keluasan apatah lagi ianya disebut dalam Perlembagaan Malaysia sebagai suatu aset yang dilindungi dan dijamin hak untuk memulihara hak milik orang Melayu di negara ini.
“Keluasan sama seperti hari merdeka. Kita ukur sendiri keadaan sebenar tanah seperti yang diwartakan,” katanya.
Bicara Halaqah Intelek ke-15 ini merupakan anjuran Universiti Islam Malaysia (UIM) yang bertujuan untuk menyuburkan minda dengan diversiti ilmu tanpa sempadan.
Ia juga memberi ruang kepada para ilmuwan untuk menzahirkan keprihatinan mereka tentang kelestarian kehidupan yang memerlukan kefahaman yang mendalam terhadap ilmu yang akan menentukan kualiti kehidupan.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan