Penambahbaikan rasuah: SPRM beri amaran kepada ketua jabatan, GLC

PUTRAJAYA, 26 Dis -- Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Datuk Seri Mustafar Ali ketika temubual bersama Bernama di pejabatnya baru-baru ini. --fotoBERNAMA (2015) HAK CIPTA TERPELIHARA

Foto Bernama

PUTRAJAYA, Ahad — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi amaran kepada ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan supaya mematuhi syor penambahbaikan yang bakal dicadangkan suruhanjaya itu tidak lama lagi.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata ketua jabatan, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan dikenakan tindakan jika gagal mematuhi penambahbaikan itu.

Beliau berkata, SPRM akan mencadangkan satu pekeliling baharu dikeluarkan kepada agensi kerajaan yang mengandungi syor-syor penambahbaikan suruhanjaya itu dalam menutup ruang dan peluang rasuah.

Pekeliling itu akan menjadi garis panduan kepada kementerian, jabatan, GLC dan pihak-pihak berkaitan untuk mematuhi cadangan yang dikemukakan SPRM dalam kertas pemeriksaan dan perundingan, lapor Bernama yang menemubual beliau baru-baru ini dan disiarkan hari ini.

Laporan itu menyebut Mustafar sebagai berkata, dalam pekeliling itu akan menjelaskan secara terperinci, antaranya mengenai saluran undang-undang sedia ada, sistem prosedur yang patut dilakukan serta carta aliran kerja.

“Sekiranya agensi kerajaan atau GLC gagal mematuhi syor penambahbaikan, maka ketua jabatan atau pihak terlibat boleh dikenakan hukuman seperti yang termaktub dalam pekeliling itu,” katanya.

Mustafar dipetik sebagai berkata, deraf pekeliling itu masih pada tahap perbincangan dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa dan adalah diharapkan ia dapat dipersetujui dan dikeluarkan tahun depan.

Beliau berkata, SPRM mengemukakan syor penambahbaikan ke dalam kertas pemeriksaan dan perundingan yang dikeluarkan setiap tahun kepada agensi kerajaan.

Bagaimanapun, katanya, ada kalanya ketua jabatan atau pihak-pihak tertentu akan lewat dalam melaksanakan cadangan penambahbaikan itu walaupun SPRM melakukan pemantauan berkala – tiga bulan, enam bulan dan satu tahun.

Beliau berkata, kegagalan melaksanakan penambahbaikan itu merupakan satu perkara yang serius dalam urus tadbir.

“Ketua jabatan akan dipertanggungjawabkan terhadap ketidakpatuhan itu. Namun sekiranya, ketua jabatan telah mengarahkan pegawai tertentu untuk melaksanakan cadangan itu dan pegawai pula tidak mematuhinya, maka soal tindakan ketidakpatuhan akan diambil terhadap pengawai berkenaan,” katanya.

Mustafar menerangkan Akta SPRM 2009 Seksyen 7 (c), (d) dan (e) memberi kuasa kepada SPRM untuk menasihati dan membantu kementerian, jabatan atau mana-mana pihak sekiranya organisasi itu mempunyai masalah dalam sistem urus tadbir dan meminta SPRM menyelesaikannya.

“Dalam akta SPRM, ada peruntukan untuk hanya memastikan bagaimana kementerian dan jabatan mematuhi perakuan oleh SPRM berhubung dengan pemeriksaan dan perundingan.

“Bagaimanapun, dengan adanya pekeliling itu, dengan klausa mengatakan jika gagal mematuhi pekeliling itu, tindakan boleh diambil. Kita hendak melibatkan kesepaduan antara penguatkuasaan dan pencegahan supaya dapat membanteras gejala rasuah secara keseluruhan,” katanya.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian