Penjajah tertipu, Tok Janggut tidak terkorban
KUALA LUMPUR, Rabu — Tahun 2015 yang akan melabuhkan tirai pada Khamis agak signifikan daripada segi sejarah kerana ia menandakan genap 100 tahun berlakunya peristiwa Tok Janggut menentang British di Kampung Dalam Pupoh, Pasir Puteh, Kelantan.
Kalau hendak diikutkan, sudah banyak artikel Tok Janggut diketengahkan sebelum ini.
Namun apabila diselidiki hampir kesemua berkongsi sumber yang sama dan tidak banyak maklumat catatan yang boleh diambil sebagai rujukan serta pengajaran bersama.
Pada masa yang sama masih banyak persoalan yang tidak terjawab. Ada juga pihak yang sangsi dengan banyak fakta yang didakwa mengikut acuan penjajah.
Mereka percaya kisah Tok Janggut dibunuh oleh British hanyalah dongengan bagi menggelapkan sejarah sebenar perjuangan tokoh Serambi Mekah itu.
Sebaliknya mereka beranggapan penjajah sendiri tertipu kerana Tok Janggut sebenarnya telah berjaya menyelamatkan diri.
Gambar mayat lelaki yang digantung songsang untuk tatapan umum juga bukanlah Tok Janggut.
BUKAN TOK JANGGUT YANG TERBUNUH
Cucu sepupu Tok Janggut, Ustaz Wan Asrul Wan Hussin, 31, mendedahkan Tok Janggut atau nama penuhnya Haji Mat Hassan Munas sebenarnya hanya mengalami cedera di bahu kirinya ketika kemuncak pertempuran dengan British di Kampung Dalam Pupoh, Pasir Puteh pada 24 Mei 1915.
Tok Janggut kemudiannya disembunyikan oleh pengikutnya di Hulu Kelantan (Gua Musang) untuk menyelamatkan beliau.
“Sesudah sembuh daripada kecederaan di bahunya, Tok Janggut berpindah ke Machang sebelum kedatangan tentera Jepun ke Tanah Melayu,” katanya.
Mengulas mengenai kononnya mayat Tok Janggut diarak di sekeliling bandar Kota Bharu dan kemudiannya ia digantung songsang separuh bogel selama tiga hari, Wan Asrul sekeras-kerasnya menolak dakwaan itu.
Tegas beliau, kisah itu adalah semata-mata rekaan serta dibuat atas desakan British yang mahu menakut-nakutkan orang Melayu bagi memastikan tiada lagi kebangkitan kedua di negeri itu.
“Kebanyakan orang yang tinggal di Kota Bharu tidak kenal wajah sebenar Tok Janggut dan mereka hanya mendengar cerita dari mulut ke mulut sahaja.
“Dan secara logiknya, jika kita melihat pada faktor fizikal gambar mayat itu, adakah sedemikian rupa seorang Melayu asli? Wajarkah Tok Janggut yang mempunyai ilmu agama tinggi diaibkan begitu?
Gambar mayat itu diperolehi daripada Perpustakaan Bodleian, Oxford, United Kingdom, England hasil usaha tokoh sejarah Allahyarham Prof Datuk Nik Anuar Nik Mahmud ketika melakukan kajian di sana.
Jelas Wan Asrul penampilan fizikal Tok Janggut adalah Melayu Kelantan Asli. Ibunya, Che Mah berasal dari Pattani manakala ayahnya Munas orang Melayu dari Kampung Saring, Pasir Puteh.
“Adik-beradik Tok Janggut termasuk dirinya tiga orang, dua lagi Tahir dan Yah@Sepiah meninggal dunia ketika dilahirkan.
“Tidak ada mana-mana anak-beranak Tok Janggut berwajah Sikh seperti dalam gambar itu. Malah, Tok Samad, iaitu datuk kepada Tok Janggut adalah Melayu Asli dan antara orang yang terawal membuka daerah Pasir Puteh,” katanya.
TIDAK MENGISYTIHARKAN DIRI
Perkara yang sering kali menjadi persoalan ialah sekiranya Tok Janggut masih hidup selepas peristiwa pertempuran di Pasir Puteh itu, kenapa beliau tidak mengisytiharkan diri seperti yang dilakukan pejuang Pahang Mat Kilau.
Wan Asrul berkata perlu diingat satu ketika Mat Kilau pernah bertemu dengan Tok Janggut di Kedai Lalat, Kota Bharu iaitu pada 1966.
Berlaku perbualan antara mereka berdua: ” Abe Mad (Tok Janggut), tidak mahu keluar ke? Orang Putih (British) dah balik ini.”
Jawab Tok Janggut; ” Puak-puak kamu itu nak pilih orang Putih, biar mereka dah balik pun, biarlah aku hidup macam ini.” Tambahan menurut Wan Asrul, keadaan Tok Janggut ketika itu sudah uzur dengan umur dipercayai sekitar 116 tahun dan bagi beliau lebih baik memilih mendiamkan diri.
Dalam erti kata lain, meskipun Tanah Melayu ketika itu sudah mencapai kemerdekaan, bagi diri Tok Janggut paling utama pesanan yang di bawa daripada gurunya Ahmad al- Fatani, iaitu bebaskan tanahair daripada penjajah sudah
tercapai, katanya.
Tiga tahun kemudian pada 1969 Mat Kilau menggemparkan negara dengan mengisytiharkan diri sebenarnya selepas solat Jumaat di Kampung Pulau Tawar, Jerantut, Pahang.
================================================================================
RUANGAN SISI
ULAMA BERJIWA PANGLIMA
Ketika berusia 27 tahun, Tok Janggut telah mula mendalami ilmu agama di Mekah dengan gurunya Syeikh Ahmad al-Fatani yang juga guru kepada tokoh ulama nusantara Tok Kenali.
Ilmu persilatan pula diwarisi daripada ayahnya Munas Samad, seorang guru agama dan panglima yang tangkas di istana Jeram, Pasir Puteh.
“Tok Janggut kembali ke Kelantan pada tahun 1910 pada usia 63 tahun membawa amanah besar gurunya supaya berikhtiar membebaskan Patani daripada penjajahan Thai.
Tok Janggut adalah seangkatan dengan pejuang-pejuang lain Tanah Melayu termasuk Mat Kilau, Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Haji Abdur Rahman Limbong.
Berlaku beberapa siri pertemuan antara kesemua pejuang Melayu itu tetapi tidak banyak yang diketahui mengenai hasil pertemuan itu.
Salah satu pertemuan itu adalah dengan ulama Terengganu, Tok Ku Paloh pada tahun 1913 yang turut dihadiri kelima-lima pejuang Melayu itu.
Pada pertemuan itu, Tok Ku Paloh berpesan dengan pejuang-pejuang Melayu itu sekiranya beliau meninggal dunia, Tok Janggut adalah penggantinya untuk meneruskan perjuangan bangsa Melayu dan Islam.
KISAH DI SEBALIK KUBUR TOK JANGGUT
Sama ada Tok Janggut gugur dalam pertempuran dengan British di Kampung Dalam Pupoh, Pasir Puteh, Kelantan atau meninggal dunia pada usia tua, persoalannya di mana pula jasad pejuang itu disemadikan?
Sejak sekian lama masyarakat diberitahu kuburnya terletak di Pasir Pekan, Tumpat.
Bagaimanapun, usaha penulis menjejaki sejarah pejuang ikonik Kelantan itu membawa kepada penemuan beberapa sumber baharu lokasi lain kubur Tok Janggut.
Cerita cucu Tok Janggut Ustaz Wan Asrul Wan Hussin, datuknya dikebumikan di perkuburan lama Kampung Hutan Puteh, Machang akibat sakit tua selepas pendudukan Jepun di Tanah Melayu.
Tok Janggut memang tidak dikenali kecuali di kalangan segelintir pengikutnya dan identiti sebenarnya diminta dirahsiakan sehinggalah beliau meninggal dunia.
Pada akhir hayat Tok Janggut berpesan kepada orang-orang terdekatnya, ” Kebumikanlah saya sama sebagaimana dengan mana-mana orang lain juga.”
Jelas Wan Asrul, kubur di Pasir Pekan itu dibuat-buat oleh pihak British bagi mengaburi mata rakyat Kelantan yang mahu membuktikan mereka berjaya membunuh Tok Janggut.
“Hanya kaum tua yang hidup lebih daripada 100 tahun mengetahui kisah sebenar kubur di Pasir Pekan itu,” katanya.
KUBUR BERTANDA BOTOL KACA ZAMAN BRITISH
Dakwaan Wan Asrul itu dikuatkan lagi oleh dua individu lain yang penulis temui iaitu seorang penduduk di Kampung Hutan Puteh, Roslan Mustafa dan Pengkaji Sejarah Islam Kelantan Ustaz Abdullah Al-Qari Salleh.
Bertitik tolak daripada keyakinan kisah yang sama didengari oleh sebahagian penduduk di Pasir Puteh yang mendakwa Tok Janggut tidak terbunuh, Abdullah Al-Qari berkata beliau berjaya menemui bukti secara berlisan.
Pujangga Islam itu berkata beliau mendapat cerita Tok Janggut daripada pengakuan tiga orang penggali kuburnya iaitu Adam Ahmad, Pakteh Taib dan Paksu Yunus Abd Rahman yang ditemuramahnya pada tahun 2010.
Hasil temuramah itu ditulis dalam halaman terakhir bukunya bertajuk Ensiklopedia Unggul Doa Hajat Jampi Mujarab Segala Penyakit Tanpa Ubat.
Bagaimanapun, sekarang hanya Adam yang masih hidup sementara dua orang lagi sudah meninggal dunia kira-kira dua tahun lalu.
Dikatakan ketika Tok Janggut meninggal umur ketiga-tiga penggali kubur itu berusia dalam lingkungan 19 hingga 22 tahun.
Mengimbas kembali pertemuan dengan mereka, Abdullah Al-Qari berkata Tok Janggut meninggal dunia selepas menghabiskan sisa-sisa hidupnya di Kota Simpul Berlubang, bersempadan dengan Kampung Hutan Puteh di mana terletak lokasi kuburnya kini.
“Kematian Tok Janggut pada tengah hari Selasa disaksikan ramai orang kampung dan jenazahnya diiringi kira-kira 30 orang.
“Mengikut adab orang kampung di situ apabila seseorang dikebumikan, kuburnya di tanda dengan botol kaca, satu di kaki dan satu di kepala.
“Di bahagian kepala kubur Tok Janggut diletakkan sebuah batu merah bersama botol, manakala bahagian kakinya kekal dengan botol kaca,” katanya.
Tinjauan penulis ke lokasi perkuburan itu yang terletak di ladang getah mendapati tidak kurang daripada empat kubur yang bertanda botol kaca.
Botol kaca di kubur yang dikatakan milik Tok Janggut tertera ayat “Bottle Made In England”. Bagaimanapun, tarikhnya tidak dapat disahkan.
PENAMPILAN TOK JANGGUT SESUDAH PERANG PASIR PUTEH
Rentetan daripada usia yang sudah semakin lanjut, Wan Asrul berkata Tok Janggut mengambil keputusan untuk menghabiskan masanya dengan mengabdikan diri kepada Allah selain mengajar ilmu agama dan persilatan untuk penduduk kampung.
Daripada segi fizikal dan susuk badan, Wan Asrul berkata Tok Janggut adalah seorang yang tidak tinggi, kulitnya pula bewarna cerah dan janggutnya mencecah ke dada sejak muda lagi.
Disebabkan perwatakan yang zuhud, rendah diri dan juga dikenali dengan nama lain seperti Pakcu Hj Mat Hassan, ramai yang tidak tahu beliaulah sebenarnya Tok Janggut.
Dalam hal ini, Abdullah Al-Qari juga bersependapat dengan Wan Asrul yang mengatakan penampilan Tok Janggut gemar memakai pakaian serban dan jubah yang bewarna hijau.
“Pada penelitian saya, Tok Janggut adalah seorang yang bertaqwa atau bertaraf Wali di mana setiap masa terutamanya pada waktu malam beliau mengajak orang-orang kampung bertahlil dan membentuk majlis zikir yang dibuat secara berjadual sama ada di rumah atau di masjid.
“Di sini jelas kelihatan keperibadian Tok Janggut yang mempunyai tujuan yang baik dan ikhlas semata-mata hanya kerana Allah,” kata Abdullah Al-Qari.
WARIS DAN CUCU TOK JANGGUT
Apabila menghuraikan perihal waris atau salasilah, Wan Asrul mengingatkan adalah penting untuk berhati-hati dalam membuat pengakuan bahawa beliau adalah waris atau cucu Tok Janggut.
Ini adalah untuk mengelakkan timbulnya sebarang fitnah. Tok Janggut, katanya, berkahwin selepas perang di Pasir Puteh dan mempunyai dua isteri yang kemudiannya bercerai mati.
Isterinya Che Yah mempunyai tiga orang anak manakala isteri yang seorang lagi, Che Timah, mempunyai dua orang anak.
Beliau pernah berjumpa dengan salah seorang anak Tok Janggut yang dikenali Haji Ahmad berusia 68 tahun pada 1996 dan pertemuan itu berlaku di perkuburan lama Hutan Puteh, Machang.
Bagaimanapun, Wan Asrul berkata itulah kali terakhir beliau berjumpa dengannya dan tidak pasti sama ada anaknya itu masih hidup atau sebaliknya sekarang.
Selain itu, kata Wan Asrul waris Tok Janggut ada daripada kumpulan kanan dan kiri kerana kurang sepakat dan tidak tahu sejarah sebenar Tok Janggut.
“Saban tahun ada himpunan waris Tok Janggut. Saya juga turut hadir dan cerita hal ini. Tetapi hanya sekadar berkumpul, tidak ada objektif bagaimana sama-sama menjernihkan balik sejarah Tok Janggut.
“Kalau kita mengaku waris Tok Janggut, sepatutnya kena tahu ceritanya, misalnya apabila ditanya hal Tok Janggut dan kita mesti tahu untuk menjelaskannya, bukan diam sahaja,” katanya.
DICERITAKAN SEMULA OLEH MOYANGNYA
Dalam pada itu Wan Asrul memberitahu Bernama, kisah pejuang itu diceritakan kembali oleh moyangnya, Allahyarhamah Che Yah Adam yang meninggal dunia pada usia 139 tahun pada tahun 2008.
Adam, bapa kepada moyangnya merupakan adik beradik kepada Munas, iaitu bapa Tok Janggut. Selain Adam dan Munas, seorang lagi ialah Minah. Che Yah pernah berkahwin dengan Pak Do Yasin yang juga dikenali sebagai Mat
Kelubi dan antara pengikut Tok Janggut.
Wan Asrul berkata, moyangnya seorang yang pendiam dan menjadi rujukan masyarakat setempat dalam hal-hal agama terutamanya yang berkaitan ilmu falak.
“Dalam keluarga, antara adik beradik saya orang yang paling rapat dengan moyang saya. Mungkin disebabkan itu, beliau kerap bercerita kepada saya sejak berusia lapan tahun.
“Meskipun pada mulanya tidak mengetahui siapa sebenar yang diceritakan itu kerana disebut tok fakir, tok fakir sehinggalah moyang saya mendedahkan cerita sebenar.
“Ada masa boleh berkunjung ke kampung Batu 8, Nilam Puri dan berjumpa dengan Tok Su Yah. Insya-Allah sampai sekarang orang tua tidak lupa pada arwah moyang saya,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Asrul memiliki beberapa barang peribadi yang dipercayai milik Tok Janggut di mana kesemuanya pemberian moyangnya.
Antara barang yang masih disimpan adalah periuk, parang calok, pisau rejam, tempayan dan tulisan tangan ayat perang.
SEJARAH TOK JANGGUT PERLU DIKAJI SEMULA
Bahagian 3 dan akhir mengupas kesahihan rekod sejarah berhubung Tok Janggut dan kajian sejarah yang harus dilakukan untuk menjawab pelbagai persoalan yang berkaitan dengan episod sejarah Tok Janggut.
Kecelaruan fakta berhubung nasib yang menimpa Tok Janggut bukan satu perkara yang baru, kata Pakar sejarah Prof Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali.
Beliau mengambil contoh pejuang Melayu lain seperti Datuk Maharajalela dan Datuk Sagor di Perak yang mengikut rekod mereka mati digantung namun maklumat daripada keluarga mereka menceritakan yang sebaliknya.
“Orang yang membuat dakwaan itu biasanya mengaku daripada keturunan tokoh itu tetapi tiada catatan sistematik. Itu yang menyukarkan pengkaji sejarah.
“Sumber lisan turun temurun boleh diterima, tak salah tetapi kita mesti teliti orang yang menyampaikan keterangan itu dan bandingkan dengan sumber-sumber lain,” katanya.
Beliau memberi contoh, menurut rekod Tok Janggut mati di Kampung Pupoh, Jeram, Pasir Puteh dan mayatnya diusung di Kota Bharu sebelum dikebumikan di Pasir Pekan, Tumpat. Itulah kebenarannya hingga kini.
“Tetapi kesahihan rekod itu akan diuji jika ada kajian baru dibuat. Jadi, kajian yang dibuat oleh Abdullah Al-Qari berkenaan kubur Tok Janggut di Machang boleh dipertimbangkan dan boleh mempengaruhi sumber asal itu,” katanya.
Dalam pada itu, Abdullah Zakaria berkata antara penulisan terawal mengenai sejarah Tok Janggut adalah daripada Yahya Abdullah, Peperangan Tok Janggut Atau Balasan Derhaka (1955), Ibrahim Nik Mahmud, The Tok Janggut Rebellion of 1915 (1974) dan Prof Datuk Nik Anuar Nik Mahmud, Sejarah Jeram Dan Kebangkitan Tok Janggut (1972).
Nik Anuar meneruskan penyelidikan dan menerbitkan buku Tok Janggut, Pejuang Atau Penderhaka (1999) dan kali terakhir ditulis oleh Dr Cheah Boon Kheng, To’ Janggut: Legends, Histories and Perceptions of the 1915 Rebellion in Kelantan (2006), katanya.
MAJORITI PENGKAJI KATA TOK JANGGUT GUGUR
Pensyarah Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan Universiti Malaysia Kelantan, Prof Datuk Dr Abdul Latiff Bakar pula berkata pengkaji sejarah masih dengan keputusan majoriti bahawa Tok Janggut terbunuh dalam peperangan di Pasir Puteh.
“Dokumen British jelas menyatakan beliau mati ditembak dan mayatnya digantung. Gambar yang dipaparkan itu dengan cerita tahun 50an oleh penulis-penulis Tok Janggut adalah sama.
“Begitu juga dengan cucu Tok Janggut di Pasir Puteh yang mengakui Tok Janggut mati. Namun, saya ada dengar kata beliau tidak mati tapi tiada apa-apa bukti,” katanya.
Abdul Latiff berkata pengkaji sejarah bersepakat mengangkat Tok Janggut sebagai seorang pejuang agama dan bangsa dan bukan penderhaka kepada sultan.
“Tok Janggut tidak menentang sultan tapi menentang tindakan British yang campur tangan dalam urusan pentadbiran sultan menyebabkan kemungkinan sultan tertipu dan terhutang budi kepada British.
“Padahal, beliau masih taat kepada sultan dan membela nasib orang Melayu,” katanya.
PENGKAJI SEJARAH TIDAK HARUS DIIKAT SUMBER PENJAJAH
Sementara itu, Jawatankuasa Induk Persatuan Pencinta Sejarah Kelantan Noyeens M. Noor berpendapat seseorang pengkaji sejarah tidak seharusnya terikat dengan buku dan catatan bertulis penjajah British walaupun diakui tulisan mereka lengkap daripada sudut kronologi.
Tambah Noyeens, pengkajian sejarah Tok Janggut wajib diteruskan dan tidak harus dihentikan dengan hanya bergantung kepada sumber sedia ada kerana masih banyak persoalan yang masih tidak terjawab sehingga kini.
“Semua orang tahu kubur Tok Janggut di Pasir Pekan, Tumpat itu adalah kubur palsu hatta pengetahuan ini diketahui oleh sebahagian pengkaji. Namun perkara itu hanya cakap mulut, tiada satu kenyataan khas dan lebih dipercayai dibuat.
“Malah di kalangan waris Tok Janggut sendiri berbelah bahagi. Ada kata mati dan sebaliknya. Itu menunjukkan mereka tak bersependapat.
“Tidak cukup buat seminar dan pameran sahaja. Pihak berkaitan harus keluar modal dan buat kajian, ketengahkan sumber-sumber tempatan dan cari titik persamaan.
“Sedangkan kajian sejarah Melayu yang sudah beribu-ribu tahun lamanya boleh dikaji, inikan pula sejarah Tok Janggut yang hanya berusia 100 tahun,” tegasnya.
SEJARAH DITULIS MEREKA YANG MENANG
Dalam pada itu, penganalisis politik dan sejarah, Dr Nik Azman Nik Mustafa apabila ditanya kesahihan Tok Janggut masih hidup selepas serangan British di Pasir Puteh menegaskan, itu boleh berlaku kerana tidak mungkin British dengan mudah boleh membunuh tokoh seperti Tok Janggut.
“Tok Janggut berkemungkinan disembunyikan oleh pengikutnya bagi menjaga maruah beliau sebagai seorang pemimpin supaya tidak dipandang hina kerana ditangkap dan diseksa.
“Boleh jadi juga Tok Janggut selepas itu berperwatakan tidak seperti sebelumnya dan menggunakan nama lain serta hidup sebagai orang biasa.
“Ini sama juga dengan kisah pejuang Pahang, Mat Kilau di mana pada peringkat awal British melaporkan beliau terbunuh tetapi sebenarnya masih hidup dengan menggunakan banyak nama dan hidup seperti orang biasa,” katanya.
Nik Azman juga bersendapat bahawa Perbadanan Muzium Negeri Kelantan dan jabatan berkaitan perlu menjalankan kajian secara serius ke atas sumber-sumber baharu yang diketengahkan ini.
“Jika tidak percaya dakwaan kubur Tok Janggut itu di Machang dan bukannya di Pasir Pekan, gali semula dan buat kajian saintifik seperti ujian DNA.
BERSEDIA KAJI DAN TELITI SUMBER BAHARU
Sementara itu, Pengarah Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, Dr Nik Mohd Azlan Ab Hadi berkata pihaknya bersedia melakukan kajian terperinci dan tidak menolak bukti baharu yang dikemukakan itu.
“Dakwaan itu tentunya tidak keluar semudah itu, mesti ada sebabnya. Nak menolak bukti yang sedia ada tidak boleh juga kerana akan menimbulkan polemik.
“Bagaimanapun, proses kajian terhadap sumber baharu akan dilakukan secara teliti supaya tidak berlaku kecelaruan dan percanggahan daripada segi penerimaan maklumat,” katanya.
Buat masa ini, jelas Nik Mohd Azlan, pihaknya perlu menggunakan bukti yang sedia ada sekarang iaitu kubur Tok Janggut terletak di Pasir Pekan dan beliau terbunuh di Pasir Puteh.
Jelasnya, bukti itu berdasarkan rekod daripada Arkib Negaran serta kajian yang dilakukan pengkaji sejarah termasuk tokoh negarawan Allahyarham Datuk Prof Nik Anuar Nik Mahmud dan mereka yang ada pertalian dengan Tok Janggut.
Ditanya sama ada pihaknya bersedia melakukan ujian DNA bagi menentukan kesahihan kubur Tok Janggut, beliau tidak menolak kemungkinan itu walaupun prosesnya dianggap sukar dan menelan belanja yang besar.
“Bagi peringkat permulaan, kita akan memanggil mereka yang membawa sumber baharu ini dan perkembangan selepas itu akan diberitahu kelak.
“Cadangan ujian DNA termasuklah menggali kubur ini satu proses yang rumit termasuk perlu meminta keizinan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan terlebih dahulu,” katanya.
DIPENTASKAN DALAM TEATER
Pada tahun 2014 penceritaan sejarah Tok Janggut tidak terbunuh telah diangkat ke pementasan teater dan berjaya dinobatkan sebagai johan Festival Teater Peringkat Negeri Kelantan.
Teater yang bertajuk “Iyakah Tok Janggut” dipersembahkan oleh ahli Persatuan Anak Seni Pendidikan Kelantan (ASPEK).
Pengarah teater, Muhammad Zaidin Hussin berkata beliau tertarik dengan penceritaan Tok Janggut tidak mati kerana menyakini bahawa cerita itu lebih kepada kebenaran daripada versi British.
Beliau berkata, teater itu berkisarkan persoalan yang merungkai kembali apakah benar yang didakwa pejuang yang gugur semasa perang di Kampung Dalam Pupoh, Pasir Puteh itu adalah Tok Janggut atau sebaliknya.
“Saya mengajak penonton supaya berfikir dan merenung kembali mengenai fakta
sejarah yang ditulis oleh penjajah sehingga Tok Janggut dilabel sebagai
penderhaka.
“Lazimnya teater yang berunsurkan sejarah tiada daya tarikan sehingga menyebabkan penonton berasa bosan kerana mereka sudah tahu pengakhiran ceritanya.
“Namun berbeza dengan teater ini yang menerima sambutan yang luar biasa sehingga penonton yang hadir tidak berganjak dari tempat duduk mereka,” katanya. — Bernama
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan