SPRM serah kertas siasatan SRC International, RM2.6 bilion kepada Peguam Negara

unnamed

PUTRAJAYA, Khamis – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) telah mengemukakan kertas siasatan kes SRC International dan RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak kepada Peguam Negara, hari ini.
 
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, berkata SPRM juga mengemukakan beberapa cadangan dan tindakan bagi kedua-dua kes yang membabitkan tiga kertas siasatan untuk tindakan Peguam Negara.
 
“Justeru, SPRM menaruh keyakinan tinggi kepada Peguam Negara selaku Pendakwa Raya untuk membuat keputusan secara profesional,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
 
Bagi kes SRC International, SPRM berpuas hati dengan keterangan daripada lebih 100 saksi.
 
Semalam, SPRM membentangkan syor dan penemuan siasatan terhadap SRC International kepada panel bebas khas terdiri daripada lima anggota yang mewakili badan-badan bebas yang memantau perjalanan SPRM, sebelum dikemukakan kepada Peguam Negara.

“Mereka merupakan pakar dalam bidang undang-undang, perbankan, korporat dan juga bidang siasatan,” katanya.
 
Lima anggota berkenaan ialah bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah; bekas Timbalan Gabenor Bank Negara, Datuk Zamani Abdul Ghani; bekas Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee dan peguam bela dan peguam cara, Datuk Zuraidah Atan.
 
Mohd Shukri berkata, anggota panel berkenaan juga telah mengemukakan cadangan dan pandangan yang bernas kepada SPRM.
 
SRC International ialah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.
 
Sementara itu, beliau berkata, satu kertas siasatan berkaitan kes RM2.6 bilion membabitkan saksi-saksi di dalam negara juga telah selesai sepenuhnya selain memperoleh keterangan daripada pihak yang mendakwa sebagai penderma.
 
Bagaimanapun, katanya SPRM masih perlu melengkapkan siasatan berkaitan dokumen dan keterangan membabitkan beberapa institusi kewangan di luar negara.
 
Katanya, dokumen dan keterangan itu hanya boleh diambil melalui proses Bantuan Perundangan Bersama (MLA) kerana ia terikat kepada peruntukan undang-undang perbankan di negara berkenaan.
 
“Proses MLA hanya boleh dikeluarkan dengan persetujuan dan kebenaran Peguam Negara seperti mana diperuntukkan oleh undang-undang antarabangsa,” katanya.
 
Beliau berkata, SPRM juga telah membuat permohonan di bawah MLA kepada Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan dokumen dan keterangan itu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?